Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘ukkasyah’


Diceritakan ketika Baginda saw di akhir-akhir hayatnya, dikatakan bahawa Rasulullah saw berucap di masjid, kemudian bertanya kepada orang ramai:

مَنْ كَانَتْ لَهُ قِبَلِي مَظْلَمَةٌ فَلْيَقُمْ فَلْيَقْتَصَّ مِنِّي

“Siapa yang pernah aku zalimi sebelum ini, balaslah semula perbuatan aku itu (qisas)…”

Baginda bertanya sehingga tiga kali, bangun seorang sahabat bernama ‘Ukkasyah. Dipendekkan cerita, ‘Ukkasyah memberitahu bahawa dalam satu peperangan, ketika telah selesai, unta tunggangan beliau dan unta tunggangan Rasulullah beriringan, lalu beliau pun turun dari tunggangan untuk mencium peha baginda, tiba-tiba baginda mengangkat cemetinya dan terpukul dada beliau tanpa disedari dan tidak sengaja. Jadi sekarang ‘Ukkasyah hendak membalasnya semula kepada Rasulullah.

Semua para sahabat marah dan menangis, sampai hati ‘Ukkasyah hendak melakukan hal itu kepada rasulullah. Ada yang ingin menggantikan tempat Rasulullah saw, tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah, dan ‘Ukkasyah juga tidak mahu.

Kata beliau, semasa baginda memukulnya, perutnya terbuka tidak berlapik, jadi beliau meminta Rasulullah membuka perutnya, apabila baginda membuka perutnya, beliau pun terus mengucupnya. Sebenarnya itulah yang dikehendaki oleh beliau, bukan untuk melakukan qisas. Dikatakan Rasulullah menyebut bahawa ‘Ukkasyah adalah temannya di syurga.

Betulkah kisah ini?

Sedih tak mendengar atau membaca kisah ini? Memang menyedihkan, lebih-lebih lagi kalau dibaca dengan teks asalnya dalam bahasa arab. Cerita ini begitu popular dalam kalangan masyarakat, selalu diulang-ulang, ceramah agama, mahupun kem motivasi, disebar melalui media sosial.

Tetapi malangnya kisah ini tidak sabit, ianya diriwayatkan dalam hadis yang panjang, riwayat al-Tabaraniy dalam al-Kabir, juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya’[1].

Kisah ini adalah sebahagian daripada hadis panjang yang sama dimana diceritakan Malaikat Maut meminta izin untuk mencabut nyawa Baginda saw. Jadi tidak perlu diulang perbahasan sanadnya, Cuma secara ringkas, ianya tidak sabit, bahkan palsu menurut al-Haitsamiy, kerana terdapat perawi yang bernama Abdul Mun’im bin Idris yang disebut sebagai kuat berbohong, juga bapanya Idris bin Sinan yang berstatus matruk.[2]

Kisah yang sabit mirip kisah ‘Ukkasyah

Kisah ‘Ukkasyah yang tidak sabit itu, jalan penceritaannya memang bermain dengan air mata, itu yang menjadi halwa telinga, tapi janganlah disebarkan lagi, kerana ianya tidak sabit.

Ada kisah yang sabit, mirip kisah ‘Ukkasyah ini, tetapi bukan ‘Ukkasyah orangnya, orangnya ialah sahabat yang bernama Usaid bin Hudhair. Abu Dawud meriwayatkan dalam Sunannya:

عَنْ أُسَيْدِ بْنِ حُضَيْرٍ – رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ – قَالَ بَيْنَمَا هُوَ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ وَكَانَ فِيهِ مِزَاحٌ بَيْنَا يُضْحِكُهُمْ فَطَعَنَهُ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم فِى خَاصِرَتِهِ بِعُودٍ فَقَالَ أَصْبِرْنِى. فَقَالَ « اصْطَبِرْ ». قَالَ إِنَّ عَلَيْكَ قَمِيصًا وَلَيْسَ عَلَىَّ قَمِيصٌ.

فَرَفَعَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم عَنْ قَمِيصِهِ فَاحْتَضَنَهُ وَجَعَلَ يُقَبِّلُ كَشْحَهُ قَالَ إِنَّمَا أَرَدْتُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ

“Daripada Usaid bin Hudhair –seorang lelaki Ansar-, beliau berkata, pada satu hari ketika sekumpulan orang sedang bersembang, ada gurauan dan jenaka dalam perbualan itu yang menyebabkan mereka tertawa. Tiba-tiba Rasulullah saw memukul bahagian dada Usaid dengan kayu. Lalu kata Usaid, mari sini aku pukul semula. Jawab baginda, pukullah. Kata Usaid, kau ada baju, tadi kau pukul aku, aku tak berbaju, lalu Baginda saw pun mengangkat bajunya, lalu Usaid pun mencium tubuh Rasulullah saw, kata beliau, ini yang aku hendak sebenarnya.”

(HR Abu Dawud: 5226)[3]

Hadis ini dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabiy.[4] Syeikh Syu’aib al-Arnauth berkata, sanadnya sahih mengikut syarat sahihain,[5] dinilai sahih juga Syeikh al-Albaniy.[6]

Kisah ini lebih kepada gurauan, bukanlah serius seperti kisah ‘Ukkasyah. Apapun, begitulah tabiat para sahabat, sangat mencintai Baginda saw. Demikianlah kita, berusahalah mengamalkan sunnah-sunnah baginda sebagai bukti kecintaan kita kepada Rasulullah saw, hendak dipeluk cium, baginda telah wafat, tinggallah warisan Baginda saw kepada kita, iaitu hadis-hadis sahih yang menjadi panduan kita.

Sebagai faedah tambahan, ‘Ukkasyah bin Mihson adalah orang yang disebut sebagai antara 70 ribu umat nabi yang akan masuk ke syurga tanpa hisab.[7]

[1] Hilyah al-Awliya’, 4/73

[2] Rujuk perbahasan dalam blog ini berkaitan benarkah Malaikat Maut meminta Izin Rasulullah saw untuk mencabut nyawanya.

[3] Turut direkodkan oleh al-Baihaqiy dalam al-Sunan al-Kubra: 13970

[4] Lihat al-Mustadrak: 5262

[5] Musnad Ahmad, Tahqiq: Syeikh Syu’aib al-Arnauth, 17/328.

[6] Sahih Sunan Abi Dawud, al-Albaniy, no: 5224

[7] Lihat Sahih al-Bukhari: 5705

Read Full Post »