Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘tawassul’

Permasalahan Tawassul.


Sering menjadi perdebatan dikalangan kaum muslimin tentang permasalahan ini. Tulisan ini bukanlah untuk menghangatkan lagi perdebatan, jauh sekali untuk menyesatkan dan membida’ahkan orang.

Tetapi berharap, sekurang-kurangnya kita tahu apakah yang dimaksudkan tawassul? Dan tawassul yang bagaimanakah yang wujud di zaman rasulullah saw serta para sahabat dan tawassul yang bagaimana yang tiada dizaman tersebut.

Pengertian tawassul.

Secara umumnya tawassul beerti mengambil sesuatu sebab yang dibenarkan syara’ untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.

Atau, melakukan sesuatu ibadah, yang mana ibadah tersebut dijadikan perantara untuk mendapat keredhaannya.

Tawassul biasanya berkait dengan doa, dimana seseorang yang berdoa menjadikan sesuatu sebagai perantara supaya doanya dikabulkan oleh Allah.

Sebagai contoh : “Wahai Allah yang maha pengampun, ampunkanlah aku.”

 Didalam doa ini, si pendoa menjadikan sifat Allah yang maha pengampun, sebagai wasilah(perantara) agar Allah mengampunkan doanya.

Pembahagian tawassul.

Secara umumnya, tawassul terbahagi kepada dua;

1– tawassul yang mempunyai dalil pensyariatannya.

Antara tawassul bagi bahagian ini adalah seperti ;

a-bertawassul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatnya.

Contohnya ; ” Ya Allah yang Maha Pemurah, kurniakanlah aku rezeki yang luas.”

Dalil pensyariatannya ialah firman Allah ;

ولله الأسماء الحسنى فادعوه بها

Maksudnya : “Bagi Allah itu nama-nama yang baik, berdoalah dengannya” [al-A’raf; 180]

b-bertawassul dengan amalan soleh.

Seseorang itu bertawassul dengan amalan soleh yag dilakukannya didalam doa, sebagai perantara agar Allah mengkabulkan doanya.

Contohnya : ” Ya Allah aku bertawassul dengan kecintaanku kepadaMu dan kepada RasulMu, mudahkanlah urusanku “

Dalil pensyariatannya ialah ;

Hadis Ibn Umar yang menceritakan kisah 3 orang lelaki yang terperangkap didalam gua yang tertutup dengan batu besar, menyebabkan mereka tidak dapat keluar, mereka berdoa dan menjadikan amalan soleh mereka sebagai wasilah agar Allah melepaskan mereka dari gua tersebut. Yang pertama berdoa dengan amalan solehnya iaitu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, yang kedua pula berdoa dengan ketakutannya dari melakukan zina ketika sudah berada di tengah kedua peha wanita, dan yang ketiga pula bertawassul dengan sifat amanahnya, maka Allah melepaskan mereka dari terperangkap didalam gua tersebut.[lihat riwayat bukhari ;2215, Muslim; 2743].

c–  Meminta orang yang soleh, yang masih hidup untuk mendoakan kita.

Sebagai contoh, kita meminta ibu bapa kita mendoakan untuk kita, sebagaimana yang kita tahu, doa ibu bapa adalah antara doa yang makbul disisi Allah.

 Juga kita meminta orang yang ingin bermusafir untuk mendoakan kita, kerana doa orang yang bermusafir juga adalah antara doa yang mustajab disisi Allah.

Antara dalil pensyariatannya ialah ;

Hadis Umar al-Khatab, dalam kisah yang masyhur, dimana beliau meminta dengan bapa saudara nabi untuk berdoa meminta hujan. Kata beliau ;

اللهم إنا كنا إذا أجدبنا نتوسل إليك بنبيك فتسقينا وإنا نتوسل إليك بعم نبينا

Maksudnya : Ya Allah, sesungguhnya dahulu(ketika hayat baginda) jika kami ditimpa kemarau, kami bertawassul dengan Nabi kami, Engkau turunkan hujan, kini kami bertawassul dengan bapa saudara nabi kami…[lihat riwayat Bukhari; 1010]

Hadis ini menunjukkan Umar al-Khatab meminta dengan bapa saudara baginda saw yang masih hidup ketika itu, untuk diturunkan hujan. Maka beliau(bapa saudara baginda saw_al-Abbas) pun berdoa agar diturunkan hujan.

………..

Demikian jenis-jenis tawassul yang memiliki sandaran dalil yang mensyariatkannya bahkan dituntut. Seterusnya saya akan menyatakan pula tawassul yang tidak memiliki sandaran dalil menyatakan keharusannya.

2-tawassul yang tidak mempunyai dalil menyatakan keharusannya.

Ia terbahagi kepada dua bahagia iaitu:

Yang menyebabkan syirik besar ; iaitu dengan berdoa kepada selain Allah, contohnya :

Seseorang meminta hajat di kubur dengan berkata cth ; “wahai wali Allah, tolong lah aku…”

Dan yang kedua ; tidak syirik tetapi boleh membawa kepada syirik.

 Ia terbahagi kepada 3 :

a- bertawassul dengan zat seseorang yang telah meninggal dunia, ia merangkumi semua zat, termasuklah zat baginda saw dan para anbiya yang mulia.

Contohnya ; “Ya Allah aku bertawassul dengan nabi Muhammad, Kabulkanlah doaku…”

b- bertawassul dengan kedudukan dan kehormatan atau keberkatan seseorang.

Contohnya :” Aku bertawassul dengan kedudukan wali sekian sekian, tunaikanlah hajatku”

c- bersumpah kepada selain Allah

contohnya: “Ya Allah aku bersumpah kepada engkau dengan kehormatan wali sekian sekian, tunaikanlah hajatku,,,”

antara dalil yang menunjukkan semua jenis tawassul pada bahagian kedua ini tidak disyariatkan ialah :

1-  kisah Umar al-Khatab yang meminta al-Abbas( bapa saudara Nabi saw) berdoa untuk diturunkan hujan, beliau bertawassul dengan doa al-Abbas, dan bukannya dengan zat al-Abbas, jika beliau bertawassul dengan kedudukan atau zat al-Abbas, maka adalah lebih baik beliau bertawassul dengan zat baginda saw yang sudah pastinya lebih mulia dan agung. Namun ia tidak dilakukan oleh beliau dan sekalian sahabat, samada semasa hayat baginda, mahupun selepas kewafatan baginda saw.

Ini menjadi dalil bahawa tawassul yag dibenarkan ialah bertawassul dengan doa dan syafaat, dan bukannya dengan zat dan kedudukan seseorang.

2- sebagaimana yang disebut didalam pendalilan pertama diatas, para sahabat tidak bertawassul dengan zat baginda saw semasa hayatnya, mahupun selepas kewafatannya, sebaliknya para sahabat bertawassul dengan syafaat dan doa nabi saw ketika hayat baginda saw, dan setelah kewafatan baginda saw, mereka bertawassul dengan doa dan syafaat mereka yang masih hidup. Antara contoh lain ialah Mu’awiyyah bertawassul dengan doa Yazid bin al-Aswad. Ini menunjukkan bertawassul dengan mereka yang telah meninggal dunia adalah tidak disyariatkan.

Kesimpulan

Sebagai penutupnya, bertawassullah dengan cara yang diajar oleh syara’, adapun yang samar, tidak jelas hukumnya atau tidak dibenarkan syara, maka tinggalkanlah..

Berdoalah dengan ” Ya Allah, aku bertawassul kepada engkau ya Allah dengan cintaku kepada Rasulullah, mudahkanlah urusanku..”

Berdoalah dengan ” Ya Allah, syafaatkanlah aku dengan syafaat nabi saw di akhirat kelak..”(disyariatkan)

daripada kita berdoa, “wahai rasulullah, syafaatkan daku..”(tidak disyariatkan)

akhirnya, semoga kita berhati-hati dengan setiap perkataan yang diucap lisan kita, kerana ditakuti ia mengandungi perkara syirik yang menyebabkan kita dimurkai Allah.

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا ، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Maksudnya : sesungguhnya seorang lelaki mengucapkan satu perkataan yang dia melihat perkataan tersebut tiada apa-apa masalah, menyebabkan dia berada didalam neraka selama 70 tahun [riwayat Ahmad ; 7042]

Berhati-hatilah dengan apa yang saya dan anda ucapkan! Semoga Allah selamatkan kita semua dari neraka yang tiada peri pedihnya.

Read Full Post »