Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘Tangkal’

Tangkal Azimat


Beberapa bulan yang lalu, saya terlihat seorang ibu yang mendukung anaknya, yang kira-kira berusia setahun lebih. Apa yang menyebabkan saya tertarik pada anaknya itu ialah, terdapat ikatan benang hitam pada pergelangan tangan anaknya itu.

Perkara yang ingin saya ketengahkan ialah persoalan sekitar hukum memakai ikatan tersebut dan kaitannya dengan pegangan aqidah yang sejahtera.

Sejarah tangkal.

Pemakaian tangkal sudah wujud sejak zaman jahiliyah lagi, mereka mengikat ikatan benang atau selainnya pada lengan atau leher si anak. Dengan tujuan untuk menghindari anak tersebut dari terkena kecelakaan, pandangan orang yang tidak berpuas hati atau sihir dan sebagainya.

Adakah tangkal dibenarkan dalam Islam?

Secara umumnya, terdapat beberapa hadis yang menceritakan tentang tangkal, antaranya :

إِنَّ الرُّقَى، وَالتَّمَائِمَ، وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Maksudnya : “sesungguhnya, jampi, tangkal dan pengasih adalah syirik”[ hadis riwayat Abu Daun ; 3883, Ibn Majah ; 3530, Ahmad ; 3615 ].

من علق شيئا, وكل إليه

Maksudnya : “sesiapa yang menggantung sesuatu, dia diserahkan kepadanya( apa yang digantungnya)” [ riwayat at-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir ; 960].

Diringkaskan,  tangkal terbahagi kepada dua bahagian.

1- Tangkal yang dibaca dengan mentera dan apa sahaja selain dari al-Quran atau hadis atau nama-nama dan sifat-sifat Allah.

Para ulama sepakat mengatakannya haram dan jatuh kepada syirik, kerana percaya bahawa ada kuasa lain yang menolak bala atau memberi nikmat selain dari Allah swt.

2- tangkal yang dibaca atau ditulis padanya ayat-ayat al-Quran atau hadis.

Para cendikiawan dan ulama berbeza pendapat tentang hukum bagi bahagian kedua ini. Ada dikalangan mereka yang mengharuskannya, tidak kurang juga yang mengharamkannya.

a- Antara pendapat yang mengatakan bahawa harus ialah Ibn Abidin, seorang Ulama mazhab Hanafi. Begitu juga pendapat yang dinyatakan oleh Imam Baihaqi, yang dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu Syarh al-Muhazzab. Katanya yang bermaksud :

“Larangan memakai tangkal kepada sesiapa yang memakainya dan melihat tangkal itu yang menolak bala. Adapun yang menggantungnya dengan membaca al-Quran dan beriktikad bahawa Allah yang berkuasa menolak bala. Bukannya tangkal, maka tidak mengapa .”

Kata Imam al-Qurtubi :

.berubat dengan al-Quran, samada digantung atau pun tidak,bukanlah syirik. Sebagaimana hadis Nabi saw( yang bermaksud) : “sesiapa yang menggantung sesuatu, dia diserahkan kepada apa yang digantungnya”. Jadi, sesiapa yang menggantung sesuatu dari al-Quran, hendaklah dia berserah kepada Allah, dan bukan pada selainNYA

b- Tidak kurang juga dikalangan ulama yang mengharamkan pemakaian tangkal dari bahagian kedua ini. Antara pendapat mereka ialah, hadis yang melarang pemakaian tangkal, datang secara umum dalam pengharamannya. Tiada dalil yang mengkhususkan keharusan pemakaian tangkal dari al-Quran. Jadi, keharaman tangkal kekal haram tanpa ada pengecualian.

Selainnya, para ulama melihat, pengharaman ini adalah untuk menutup lubang daripada terjebak kedalam lembah syirik. Ini kerana, bahaya yang menunggu sangat besar. Boleh sahaja ada yang tergelincir dengan pergantungan kepada tangkal.

mujurlah aku pakaikan tangkal pada anak aku, rasa selamat sikit”

Dan banyak lagi dialog yang mungkin tertutur dek lisan yang menyebabkan kita terjerumus ke lembah kegelapan syirik.

Kesimpulan.

Saya berpendapat, sesiapa yang ingin memakai tangkal dari al-Quran, atau memakaikannya pada si anak kecil, mestilah membulatkan tawakkal kepada Allah. Bukannya berlindung dengan tangkal, tetapi mengambil berkat dengan berubat menggunakan ayat-ayat al-Quran demi mendapat perlindungan dari Allah.

Namun, amat mendukacitakan jika, kita bersungguh benar bertangkal dengan ayat-ayat al-Quran. Tetapi di rumah, Mushaf al-Qurannya juga sudah suci dalam debu, apa yang disuruh Allah didalam al-Quran tidak diamal, apa yang suruh dijauhi, lagi didekatinya. Tiba-tiba mahu mengambil berkat al-Quran dengan tangkal pula..sungguh celaru cara berfikir..

Bagi keselamatan pula(dan ini lebih utama untuk didahulukan), eloklah dieelakkan (pemakaian tangkal dari al-Quran), kerana, demi menjaga kesejahteraan aqidah. Takut-takut, ada waktunya, kita hilang pergantungan pada Ilahi, dan mengucap kata-kata yang boleh menghumban kita ke lembah dosa syirik. Syaitan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan dan memesongkan aqidah kita.

Sama-samalah kita cakna terhadap aqidah yang sejahtera..

p/s ; seperti biasa, tulisan ini adalah ringkasan, pembaca yang ingin megetahui lebih mendalam, perlu membaca ditempat yang lain pula. Semoga Allah memelihara Iman kita….wallahua’lam..

Read Full Post »