Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘Solat’


Benarkah antara tanda seorang itu wahabi ialah menggerakkan jari ketika tasyahhud?

Jawapan ;

Isu menggerakkan jari ketika tasyahhud ialah masalah yang diperselisihkan oleh ulama dikalangan empat mazhab lagi, beratus tahun sebelum gelaran wahabi kedengaran. Berikut ringkasannya ;

Pendapat pertama ; isyarat jari diangkat tanpa digerakkan.
( Mazhab Hanafi. Lihat badaie’ al-sanaie’ 1/214. Satu pendapat dlm Mazhab Malik. Lihat Al-zakhirah 2/212. Mazhab Syafie. Lihat mughni al-Muhtaj 1/378. Mazhab Hanbali. Lihat al-Insof 2/76)

Pendapat kedua ; digerak-gerakkan jari.
( Mazhab Malik. Lihat al-zakhirah 2/212. Satu pendapat dlm Mazhab Syafie. Lihat al-Majmuk 3/454. Satu pendapat dalam Mazhab Hanbali. Lihat al-Insof 2/76.)

Pendapat ketiga ; haram menggerak-gerakkan jari dan batal solat.
( diriwayatkan dari Ibn Abi Hurairah al-Syafie. Lihat al-Majmuk 3/454. Kata Al-Nawawi ; pendapat yg ganjil dan lemah).

Secara ringkasnya, sebab berlakunya perbezaan dlm masalah ini ialah kerana percanggahan diantara dua hadis iaitu ;

1- Hadis Abdullah bin Zubair ;
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يشير بأصبعه إذا دعا ولا يحركها
Maksudnya ; sesungguhnya nabi sallallahualaihiwasallam membuat isyarat dengan telunjuknya, jika berdoa, dia tidak menggerakkan jarinya itu.( riwayat Abu Daud no 989, al-Nasaie no 1270).

2- Hadis Wail bin Hujr ;
…ثم رفع إصبعه فرأيته يحركها يدعو بها.
Maksudnya ..kemudian baginda-sallallahualaihiwasallam-mengangkat jarinya, aku melihat dia menggerak-gerakkannya, sambil berdoa padanya. (Riwayat al-Nasaie no 889.)

Para ulama yang menyatakan isyarat jari telunjuk tidak digerakkan kerana menghukum hadis Wail sebagai syaz.

Adapun yang menyatakan sunnah menggerakkan jari pula mengatakan tambahan lafaz “لا يحركها” sebagai dhaif.(zaadul maad 1/238)

Kata Ibn Uthaimin( lihat al-Syarh al-Mumti’ 3/145-146 ) ; untuk menghimpunkan hadith-hadith ini mudah, penafian gerakan itu beerti pergerakan yang berterusan, dan menetapkan adanya gerakan itu beerti digerakkan ketika doa apabila anda berdoa,maka gerakkan sebagai isyarat ketinggian Allah swt. Iaitu pada ketika ;
١-السلام عليك أيها النبي
٢- السلام علينا
٣- اللهم صل على محمد
٤- اللهم بارك على محمد
٥- اللهم إني أسألك رضاك والجنة،،،الخ.
Justeru, apa yang dilakukan sebahagian orang yang berpegang bahawa menggerakkan jari itu sunnah dengan menggerakkan jari secara berterusan, sebahagiannya seperti bermain-main dengan jari, dibuat bentuk bulatan,atau mengeja lafaz Allah, kelihatannya tidak menepati sunnah.

Wallahua’lam.

Read Full Post »


Di RnR, ada diantara mereka yang tidak mahu solat jemaah mungkin disebabkan ;
( ini yang saya rasa la, mungkin ya mungkin tak) kalau ya, berikut sedikit ringkasan dlm hal ni, saya cuba ringkas berdasarkan mazhab al-imam Syafie rh. ;

1- takut berbeza niat dgn imam
2- mungkin tak tahu tatacara nk jemaah kalau berbeza niat dan jumlah rakaat.
3- tak tahu imam nak solat tamam ke qasar.

1- Boleh solat berjemaah sekalipun berbeza niat antara imam dan makmum.

Samada berimamkan orang yg solat sunat, atau solat wajib yg berbeza, seperti solat zohor dibelakang orang yg solat asar. ( lihat al-Majmuk 4/271, Raudhah al-thalibin 1/366)

Ianya bersandarkan hadis Jabir ra ; Muaz bin Jabal telah bersolat isya bersama baginda sallallahualaihiwasallam, kemudian beliau balik ke kampungnya, dan menjadi imam pula untuk solat yang sama kepada orang kampungnya. ( riwayat Bukhari ; 6106, Muslim ; 465 )

Hadis ini menceritakan tentang Muaz yang mengimami orang kampungnya, beliau melakukan solat isya kali kedua dengan niat sunat bukan wajib, sedang makmumnya menunaikan isya dengan niat wajib, keumuman hadis ini menunjukkan perbezaan niat antara imam dan makmum tidak menjadi masalah.

2- jika boleh berbeza niat antara imam dan makmum, jadi bagaimana caranya jemaah solat boleh dibuat sekalipun niat berbeza beza?

– jika jumlah rakaat sama, maka tidak menjadi masalah, solat seperti biasa.
– jika jumlah rakaat makmum lebih dari jumlah rakaat imam, tambah rakaat setelah imam beri salam.
– jika jumlah rakaat makmum kurang dari jumlah rakaat imam, seperti makmum nk solat maghrib dn imam solat isya, maka makmum ada dua pilihan samada ;

a- duduk tasyahhud akhir dan tunggu imam selesai rakaat keempat, kemudian beri salam bersama imam, dan ini adalah lebih baik. Atau ;
b- niat mufaraqah dan terus beri salam setelah selesai tiga rakaat. (Lihat al-Majmuk 4/247).

3- kita nak qasar solat, dan imam solat tamam atau kita x tahu imam nk qasar atau tamam, maka ringkasnya camni;

a- jika kita tahu atau ada kebarangkalian tinggi yang imam solat tamam,maka kita wajib untuk solat tamam, sekalipun kita hanya sempat tasyahhud akhir bersamanya.
Ini berdasarkan umum hadis nabi sallallahualaihiwasallam yg bermaksud ; “sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti”( riwayat Bukhari 722, Muslim ; 414)
Dan sabdanya lagi yg bermaksud ; “apa yg kamu sempat maka solatlah (bersamanya), dan apa yg terlepas, maka sempurnakanlah”( Bukhari ; 635, Muslim ;152)
Ini juga kerana hukum asal ialah solat tamam, qasar dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu, jika syarat x terpenuhi, maka kembali kepada hukum asal.

b- jika kita yakin atau ada kebarangkalian tinggi yang imam nak qasar, ini biasanya jika solat di RnR atau di airport, maka kita boleh berniat qasar.
Ini kerana zahir dan kebiasaannya, org yg bersolat ditempat2 sebegini adalah musafir.

Tetapi jika didapati setelah itu yg imam itu solat tamam, maka makmum mesti mengikut imam, jadi niat qasar itu ditukar dari qasar kepada tamam. Ini juga berdasarkan keumuman dalil “sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti”

Dan jika kita x tau apakah niat imam, boleh juga ta’liq niat berdasarkan niat imam; cthnya camni ; ” jika imam qasar, aku qasar , jika imam tamam, aku solat tamam jgk”. Ianya sah menurut pendapat yg lebih tepat dlm mazhab Syafie rh. (Lihat perincian masalah dlm al-Majmuk 4/356)

Wallahualam,,

*tak dinafikan ada perbezaan pendapat dikalangan mazhab empat dlm permasalahan2 diatas.
*saya rasa tak selesa bila melihat masyarakat solat sendiri2 di surau2 RnR mahupun airport,

Read Full Post »


# mungkin entri ini seperti khutbah jumaat di Malaysia, tak kena dengan suasana semasa…=p Upin ipin 3

Kejadian 1.

Beberapa ketika dahulu, aku pernah singgah untuk solat jamak ta’khir –maghrib dan isya’- di surau KL Sentral, ada seorang brother mengajak aku untuk sembahyang berjemaah dengan dia, dia minta aku jadi imam, aku pun cakap kat dia, “kita solat maghrib dulu tau,” dia menolak, katanya, “tak boleh, kita kena solat isyak dulu, baru maghrib..” aku pun iyekan aje,, kerana kelihatan dia begitu yakin dengan pendapatnya dan aku kelihatan salah dari apa yang boleh difahami dari nada suaranya.

Perselisihan ulama didalam hal ini

Cerita diatas memang tak menarik pun,( lagi pula dah lama berlalu, tiba-tiba teringat semula) tapi Cuma nak kongsikan permasalahan fiqh didalam situasi diatas berkaitan jamak ta’khir, mana satu yang mesti dilaksanakan dahulu, solat tuan rumah? atau mengikut tertib, iaitu maghrib dahulu, kemudian baru isya’.

Secara ringkasnya masalah ini terbahagi kepada dua pendapat :

Pendapat pertama : MESTILAH(disyaratkan) melakukan solat mengikut tertib.

Iaitu solat maghrib dahulu, kemudian baru solat isya’.

Ia adalah pendapat Mazhab Maliki [lihat al-zakhirah 2/376], dan sebahagian syafi’iyah[ lihat al-Majmu’ 4/256] dan mazhab Hanbali [lihat al-Inshof 5/110]

Antara dalil yang menjadi sandarannya ialah :

1- Nabi saw melakukan solat jamak ta’khir di Muzdalifah ketika haji wida’, baginda melakukan maghrib terlebih dahulu sebelum isya’.[ riwayat al-Bukhari ; no : 139].

2- solat isya'(kedua) dianggap sebagai mengikut solat maghrib(pertama), maka yang mengikut tidak boleh didahulukan kepada yang diikut(sebagaimana makmum tidak boleh mendahului perbuatan imam)

Pendapat kedua : tidak disyaratkan tertib, tetapi disunatkan.

Ia adalah pendapat yang terpilih didalam mazhab Syafie.[ lihat al-Majmu’ ; 4/256].

Antara dalil sandarannya ialah :

1-  Jamak ta’khir dilakukan pada waktu kedua, maka ia tidak lagi dikira mengikut solat waktu pertama.

Sandaran ini dibahas oleh sebahagian ulama, iaitu solat jamak adalah gabungan dua solat menjadi satu, maka sebagaimana kita mesti melakukan seseuatu solat itu mengikut tertib, begitu juga solat jamak, mesti dilakukan mengikut tertib.

2- ia seperti jika kita tertinggal solat, maka tidak diwajibkan tertib dalam melaksanakannya. Sebagai contoh kita belum menunaikan solat zohor, kemudian tertidur sehingga masuk waktu asar. Maka kita boleh untuk menunaikan solat asar terlebih dahulu sebelum menggantikan solat zohor menurut pendapat sebahagian ulama.

Namun, jika kita cenderung kepada pendapat kedua sekalipun, adalah diutamakan untuk solat mengikut tertib, kerana ulama yang berpendapat tidak diwajibkan tertib menyatakan yang tertib itu adalah mustahab.

Kejadian 2.

Pada musim haji  2 tahun yang lalu, aku dan seorang kawan aku, loqman, pergi menunaikan solat zohor di masjidil haram. Setelah selesai solat, aku terus menunaikan solat asar secara qosar dan jamak, loqman pula menunaikan solat jenazah terlebih dahulu, kemudian baru dia menunaikan solat asar secara jamak dan qasar.

Persoalannya disini, sahkah solat asar yang dilakukan oleh loqman? Kerana dia tidak melakukan solat zohor dan asar secara mualah(berterusan tanpa terputus lama diantara solat zohor dan asar).

Kisah ini juga seperti kejadian 1, tiada apa yang menarik, Cuma ingin berkongsi hukum fiqh yang terdapat pada kejadian tersebut.

Didalam permasalahan ini, ulama terbahagi kepada dua pendapat.

Pendapat pertama : solat loqman tidak sah kerana mualah adalah syarat sah solat jamak, kecuali  tempoh terputus antara dua solat itu sekejap sahaja.

Ini adalah pendapat mazhab Maliki [lihat az-zakhirah 2/376], syafi’iah [ lihat raudhah at-talibin ; 1/297 ], dan hanabilah [ lihat al-Mughni ; 3/138].

Antara dalil sandaranya ialah :

1- sifat solat jamak nabi saw yang tidak pernah memisahkan antara dua solat dalam tempoh yang panjang.

2- kerana solat jamak menjadi solat yang satu, maka diwajibkan mualah.

Pendapat kedua : solat asar loqman sah, kerana mualah didalam solat jamak tidak diwajibkan.

Ia adalah satu riwayat didalam mazhab syafi’e[lihat al-majmuk ; 3/255] dan pendapat ini dipilih oleh Ibn Taimiyyah [ lihat al-Majmu’ al-Fatawa 24/51]

Antara sandarannya ialah ;

1- jamak beerti menggabungkan dua waktu menjadi satu waktu, maka jika dipisahkan antara dua solat itu dengan tempoh yang lama sekalipun tidak mengapa, asalkan tetap dilakukan dalam satu waktu.

2- tempoh terpisah yang diambil kira antara dua solat itu ialah keluarnya waktu, adapun terpisah diantara dua solat tersebut tetapi masih didalam waktu, tidak mengapa. Ini kerana solat asar mengikut solat zohor, ia seperti solat sunat ba’diah yang dilakukan selepas solat fardhu. Sunat ba’diah tersebut mengikut solat fardhu, tetapi boleh dilakukan pada bila-bila waktu selagimana belum masuk waktu solat yang seterusnya. Maka begitu juga dalam masalah solat jamak…

Sekian dua masalah berkaitan solat jamak yang ingin dikongsikan berdasarkan kisah yang dilalui sebelum ini,,,semoga ianya bermanfaat.

Read Full Post »


Sebelum berbicara tentang sah atau tidak, apakah yang dimaksudkan dengan pakaian haram?

Yang dimaksudkan disini ialah sutera( haram bagi lelaki memakainya) atau baju yang dicuri atau baju yang dibeli hasil dari duit yang haram.

Para ulama’ telah berselisih pendapat, adakah sah solat mereka yang ketika menunaikan solat, memakai pakaian haram seperti yang disebut diatas?

Pendapat pertama : tidak sah solat dengan pakaian haram.

Ia adalah pendapat yang masyhur di dalam mazhab Hanbali. [ lihat al-Insof ; 1/457 ]

Antara hujah bagi pendapat pertama ini ialah ;

 Solat adalah sesuatu yang diperintahkan, manakala mencuri pakaian dan memakainya adalah haram, jadi, mereka yang memakai pakaian haram ketika solat telah melakukan perkara wajib(solat) dan haram(pakaian haram) pada masa yang sama. Maka mustahil sesuatu perbuatan itu menjadi wajib dan haram dalam satu masa yang sama.

Bagaimana seseorang itu melakukan sesuatu amalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, dalam masa yang sama dia dihukum kerana melakukan perkara haram? Justeru mustahil seseorang itu diberi pahala dan dosa bagi satu amalan yang sama(solat dengan pakaian haram).

Pendapat kedua : sah solat tersebut tetapi berdosa.

Ia adalah pendapat jumhur(majoriti) Ulama, termasuk Mazhab Syafie[ lihat Majmu’ ; 3/179].

Antara hujah bagi pendapat kedua ini ialah ;

1- solat sah kerana perintah solat dan larangan memakai pakaian sutera sebagai contoh, adalah dari arah yang berbeza, iaitu, solat adalah suatu yang diperintah oleh Allah; “tunaikanlah solat” dan memakai sutera bagi lelaki sebagai contoh, adalah haram ; “Jangan memakai sutera”. Maka solat adalah suatu perkara dan pakaian haram pula satu perkara yang lain.

 Larangan tersebut bukan berbentuk –sebagai contoh-; “jangan memakai sutera/ pakaian curi ketika solat”, jika bentuk larangan sebegitu, maka barulah dikatakan solat itu tidak sah.. jadi, solat seseorang yang memakai pakaian curi atau pakaian dari rezeki yang haram adalah sah, tetapi dia berdosa kerana pakaian tersebut.

2- jika diberi perumpamaan ; seorang bos(Ahmad) memberi arahan kepada pekerjanya(abu) ; “Abu ! buat air kopi untuk saya, dan satu lagi, jangan masuk bilik mesyuarat!”

 Abu pun buat lah kopi untuk bosnya tetapi dia buat kopi itu didalam bilik mesyuarat..

Maka, Abu berhak untuk mendapat hukuman kerana memasuki bilik mesyuarat, dalam masa yang sama, dia juga berhak untuk mendapat penghargaan dari Ahmad kerana dia telah membuat kopi untuknya.

Demikianlah solat, Allah memerintahkan ; “dirikan solat!” dan melarang ; “jangan pakai sutera !” maka hamba tersebut berhak mendapat pahala solat, dan dalam masa yang sama, berhak untuk dihukum kerana memakai sutera.

Kesimpulannya

Fuhh,,, penat nak buat ayat supaya diri sendiri faham dengan apa yang ditulis, semoga bermanfaat,,ameeen,,

Apapun, mana satu pendapat yang dipilih, yang pentingnya, semua bersepakat yang dosa tetap terpalit, sah atau tidak, itu perkara kedua. Jika pun pendapat majoriti ulama adalah yang tepat dan betul dan dipilih, tetapi pendapat yang pertama usah dipandang sebelah mata, memang kita secara fitrahnya akan terfikir, bagaimana seorang yang pakaiannya dari sumber yang haram, bersolat dan cuba mendekatkan diri dengan Allah menggunakan pakaian yang haram?

Solat itu maknanya di sudut bahasa ialah doa..

Sabda nabi saw:

…الرجل يطيل السفر أشعث أغبر يمد يديه إلى السماء يا رب يا رب، ومطعمه حرام، ومشربه حرام، وملبسه حرام، وغذي بالحرام، فأنا يستجاب لذلك

Maksudnya : ” seorang lelaki yang panjang perjalanannya, rambutnya kusut masai dan dipenuhi debu(kerana perjalanan yang panjang), mengangkat kedua tangannya ke langit, ya tuhanku ya tuhanku( berdoa kepada Allah) makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram, maka bagaimana ingin dimustajab doanya? [ riwayat Muslim ; 1015]

Read Full Post »

Saya bermukim atau bermusafir?


Allah mencipta bumiNya yang luas untuk manusia bertebaran diatasnya, mencari bekal menuju hari kekal abadi, disamping tidak melupakan keperluan hidupnya. Adakalanya manusia perlu bermusafir dan merentas ratusan, malah ribuan kilometer  demi mencari bekalan hidup, seperti menuntut ilmu, bekerja, berniaga dan sebagainya.

Kerap timbul pertanyaan, bilakah dia boleh mengqasarkan solatnya? Seperti seseorang yang berkerja diluar kawasan, yang memakan masa berminggu, malah berbulan, adakah dia boleh mengqasarkan solatnya dan mendapat semua keringanan musafir yang lain sepanjang tempoh berada diluar kawasan tersebut?

Kesepakatan Ulama’

Secara umumnya Ulama bersepakat terhadap dua perkara yang menyebabkan samada seseorang itu mendapat keringanan safar atau pun tidak mendapatnya iaitu ;

  1. mereka yang bermastautin di sesuatu tempat, maka dia tidak lagi mendapat keringanan safar di tempat tersebut.
  2. mereka yang bermusafir ke sesuatu tempat, dan dia sendiri tidak tahu bila dia akan pulang ke tempat asalnya, contohnya ” nak balik hari ini atau esok, atau selepas seminggu…” maka orang seperti ini, yang tidak pasti bila dia akan pulang, maka dia mendapat keringanan safar walaupun panjang tempoh dia tinggal di tempat tersebut.

Perselisihan Ulama’

Selain daripada dua masalah diatas, para ulama dan mazhab fiqh berselisih pendapat dalam menentukan tempoh hari seseorang boleh menjamak qasarkan solatnya ataupun tidak apabila bermusafir ke sesuatu tempat. Berikut saya nyatakan secara ringkas perselisihan tersebut ;

Pendapat pertama ; mereka yang berniat untuk menetap di sesuatu tempat  selama 4 hari atau lebih, maka tidak lagi mendapat keringanan safar.

Ia adalah pendapat mazhab Syafie, Malik dan Ahmad, 4 hari tidak termasuk hari pergi dan balik. Adapun mazhab Ahmad berpendapat ia termasuk hari pergi dan balik.

Antara dalil bagi pendapat pertama ialah :

1- Nabi saw bersabda yang maksudnya :” golongan Muhajirin bermukim di Makkah selama 3 hari selepas selesai menunaikan amalan haji “[ Riwayat Muslim ]

Taujih Hadith : 3 hari adalah tempoh yang masih mengekalkan hukum musafir bagi seseorang.

2- Nabi saw masuk ke Makkah untuk menunaikan haji pada 4 zulhijah dan keluar darinya untuk ke Mina pada 8 zulhijjah. [ riwayat Bukhari ].

Taujih ; 4 hari adalah tempoh maksimum bari seseorang untuk mendapat keringanan musafir.

Pendapat kedua : tempoh maksimum ialah 15 hari.

Ia adalah pendapat mazhab Hanafi.

Antara dalil sandaran pendapat kedua ialah ;

Kata Ibn Abbas yang maksudnya : “jika kamu bermusafir ke sesuatu tempat, dan kamu berniat untuk bermukim selama 15 hari, maka sempurnakan solat( solat 4 rakaat, tidak mengqasarkan solat) tetapi jika kamu tidak tahu bila kamu hendak pulang, maka qasarkanlah solat [ riwayat at-Tahawi ]

Pendapat ketiga : tempoh maksimum ialah 20 hari.

Ia adalah pendapat Ibn Hazm.

Antara sandaran pendapat ini ialah Nabi saw mengqasarkan solat di Tabuk selama 20 hari.[ riwayat Ahmad dan Abu Daud ]

Pendapat keempat :  sesiapa yang duduk di suatu tempat dan menghadkan tempoh dia duduk disitu dengan sesuatu had, seperti tamatnya belajar, atau selesainya kerja ; maka dia dikira musafir

Sebagai contoh ; pelajar yang belajar diluar Negara, dia dianggap sebagai musafir sepanjang dia berada di perantauan, kerana dia menghadkan tempoh menetap di tempat tersebut dengan tamatnya pengajian.

Pendapat ini dinyatakan oleh Syeikh Ibn ‘Uthaimin.

Antara dalilnya :

1- bermukimnya Nabi saw di Makkah untuk menunaikan haji. [ hadis Ibn ‘Abbas riwayat Bukhari]

Taujih hadith ; nabi saw bermukim di Makkah untuk tujuan haji menunjukkan baginda mengikatnya dengan waktu yang tertentu iaitu selesainya amalan haji.

2- nabi saw bermukim di Makkah pada hari pembukaan kota Makkah dan di Tabuk ketika Peperangan Tabuk, dan baginda mengqasarkan solat sepanjang tempoh itu.

Taujih : baginda saw menghadkan tempoh berada di dua tempat ini dengan selesainya urusan; iaitu pembukaan kota Makkah dan selesainya peperangan.

3-Abdullah bin Umar berada di Ajebaizan selama 6 bulan berperang, beliau mengqasarkan solat [ riwayat Abd razzak]

Pendapat kelima : seseorang itu dikira samada sebagai musafir atau bermukim dengan melihat ‘urufnya( keadaannya).

Dengan bahasa yang lebih mudah ; “si fulan ni bukan orang sini, dia berpindah randah cari rezeki, bermusafir kesana sini”. Maka orang ini dianggap musafir, walaupun dia menetap di satu-satu tempat itu berbulan lamanya.

Ia adalah pendapat Syeikhul Islam Ibn Taimiyah.

Antara dalilnya ialah ;

1- ayat dalam surah an-Nisa’;101, Allah menyebut perkataan ‘safar’ secara umum, maka perlulah dilihat lafaz umum itu dari sudut syarak, jika tiada, dirujuk kepada maksub disudut bahasa, dan jika tiada juga, maka dilihat dari sudut ‘uruf. Secara ringkas dan kesimpulannya, tiadanya dalil yang jelas menyebut tentang tempoh maksimum seseorang berada di suatu tempat untuk membolehkannya mendapat keringanan musafir, juga tidak mungkin kita menghadkan tempoh seseorang berada di sesuatu tempat disudut bahasa, maka perkataan umum itu ditafsirkan dari sudut ‘uruf.

2- zahir hadis-hadis baginda saw tidak pun menunjukkan sebarang petanda baginda menghadkan tempoh-tempoh tertentu dalam menetapkan samada seseoran boleh ataupun tidak mendapat keringanan musafir.

3- mengqasarkan solat adalah satu ibadah kepada Allah swt, jika ia adalah suatu ibadah yang terikat dengan tempoh-tempoh tertentu, maka pasti baginda saw akan menerangkan tempoh tersebut dengan jelas sebagaimana hukum hakam lain yang berkaitan dengan tempoh-tempoh tertentu ; seperti tempoh menyapu khuf, iddah mereka yang kematian suami, dan lain-lain lagi yang diterangkan secara jelas oleh baginda saw tentang tempohnya.

Justeru, oleh kerana tiada tempoh yang jelas disebut oleh nabi saw, maka tempoh dan keadaan musafir itu dilihat dari sudut ‘uruf.

Mana satukah pendapat terpilih? ;

Untuk menentukan mana satukah pendapat yang paling tepat, maka saya bukanlah orang yang layak menentukannya  untuk pembaca, namun bagi diri saya sendiri secara peribadi, saya lebih cenderung kepada pendapat kelima, berdasarkan kekuatan dalil dan kekuatan di sudut logik.

Namun, bagi menentukan `uruf(keadaan) untuk seseorang itu dikategorikan sebagai musafir  atau bermukim tidaklah susah, antara contoh mereka yang dikira sebagai bermusafir atau bermukim ;

1- pelajar yang menuntut ilmu disuatu tempat secara sementara, tiada tempat tinggal, hanya menumpang di surau sebagai contoh, tidak tahu bila dia akan pulang, maka dia dianggap sebagai musafir.

Adapun pelajar yang menuntut disuatu tempat, ada rumah sewa ataupun disediakan asrama yang selesa, memang dia berniat untuk menetap lama di tempat pengajian tersebut, tidak lagi dianggap sebagai bermusafir, dia dianggap bermukim.

2- begitu juga pekerja atau peniaga, diangkut semua anak beranak tinggal bersama, semua asas kehidupan dibeli, seperti kereta, peralatan rumah dan sebagainya. Anak dihantar bersekolah ditempat tersebut, maka dia tidak lagi dianggap sebagai musafir, sebaliknya dianggap sebagai bermukim.

Tetapi bagi yang secara sementara, urusan perniagaan atau kerja disesuatu tempat, tidak berniat pun nak tinggal lama di tempat tersebut, lepas seminggu lebih kurang, akan pulang, maka orang seperti ini dianggap musafir dan boleh mengambil keringanan musafir.

Kesimpulan ;

Secara fitrahnya,  kita semua tahu adakah kita dikira bermusafir atau bermukim, seorang askar yang pergi menjaga sempadan, yang tiada tempat tinggal, sekalipun berbulan lamanya didalam hutan, maka kita secara fitrahnya akan mengatakan mereka itu dikira musafir.

Demikian Islam, agama yang sentiasa meraikan fitrah manusia, mampu diamal oleh semua penganutnya, dan `uruf(keadaan) seseorang itu berbeza-beza, maka oleh kerana itulah, tiadanya dalil jelas menetapkan tempoh bagi seseorang dikira musafir atau bermukim.

p/s ; bagi mereka yang dikira bermusafir, mereka juga boleh menjamakkan solat mereka, namun, jamak bukanlah keringanan kerana bermusafir, tetapi jamak adalah kerana musafir berhajat kepada menjamakkan solat.

Read Full Post »


Hampir terlupa kata laluan untuk membuka blog ini, menunjukkan betapa lama ia terbiar tidak terusik, entah semangat apa yang mencetus gerak jari menaip aksara untuk berkongsi rasa pada hari ini.

Seminggu yang lalu, kita telahpun selesai menunaikan kewajiban berpuasa, diraikan kemenangannya pun sudah, tetapi biasalah kebiasaan orang kita, kunjung mengunjungi masih berjalan hingga hari ini. Ada yang beraya di rumah kawannya yang terletak nun di daerah yang membolehkan kita mengqasarkan solat, juga ada yang sejengkal cuma dari  pintu rumah.

Apakah pencetus luahan rasa ini?
Saya tidak terfikir untuk menulis satu artikel yang sarat dengan dalil dan nas , tetapi lebih suka untuk mengisinya dengan memuhasabah diri, apakah tujuan saya beramal, dan atas landasan apakah saya mendirikan sesuatu amal ibadat yang diperintahkan oleh Allah.

Ketika seperti ada perbalahan kecil antara dua orang yang berbeza cama beramal berkaitan jarak perjalanan yang diharuskan solat jamak dan qasar, saya seakan dijadikan benteng pertahanan untuk membenarkan pendapatnya. Buntu untuk menjawabnya..bukan kerana tidak tahu langsung, tetapi tahu bahawa jawapan pada ketika itu tidak menyelesaikan masalah, maka jawapan terpancul sekadar untuk menenangkan suasana tegang.

Ringkasan pendapat berkaitan masalah ini.

وإذا ضربتم في الأرض فليس عليكم جناح أن تقصروا من الصلاة

Maksudnya :”apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa jika kamu mengqasarkan solat…”[ Surah an-Nisa’; 101]

Ayat ini menjadi asas pensyariatan solat qasar apabila seseorang melakukan sesuatu perjalanan, justeru, perjalanan yang bagaimanakah seseorang dibolehkan mengqasarkan solatnya? Berapa jarak perjalanan tersebut? Bolehkah seseorang mengqasarkan solatnya pada perjalanan yang berjarak kurang 80KM?

Perbezaan pendapat dalam masalah jarak perjalanan yang membolehkan seseorang menunaikan solat wajib secara jamak dan qasar, merupakan satu permasalahan fiqh yang sangat panjang. Justeru sebagaimana tulisan saya yang sebelum ini, artikel di blog ini cuma ringkasan dan bukan bingkisan muktamad..

Antaranya ialah ;

1- Mazhab Syafie dan Ahmad dan Malik: dikadarkan dengan jarak iaitu +-81 KM.

Antara Dalilnya : sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari secara ta’liq dalam bab: [berapakah jarak perjalanan yang diqasarkan solat]

وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ، وَابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ، يَقْصُرَانِ، وَيُفْطِرَانِ فِي أَرْبَعَةِ بُرُدٍ وَهِيَ سِتَّةَ عَشَرَ فَرْسَخًا

Maksudnya : “adalah Ibn Umar dan Ibn ‘Abbas RA mengqasarkan solat dan berbuka puasa apabila bermusafir sejauh 4 burud bersamaan 16 farsakh.”

Satu  farsakh dianggarkan dengan KM, kira-kira +-5 KM, jadi 16 farsakh bersamaan dengan +-80 KM.

Justeru jarak perjalanan yang kurang dari 80KM tidak dibenarkan untuk seseorang menjamak qasarkan solatnya. Dan ini juga adalah pendapat jumhur(majority) menurut Imam Nawawi.[ lihat Syarh Sahih Muslim bagi hadith no. 690]

2- Mazhab Hanafi : dikadarkan dengan jarak +-90 km

Antara dalilnya bersandarkan pada keharusan untuk mereka yang bermusafir menyapu wuduk diatas khuf selama tiga hari [lihat  hadith riwayat Muslim no. 1338].

Jika dengan kiraan farsakh iaitu 18 farsakh bersamaan dengan +-90km

3- Mazhab Zhohiri : tiada jarak yang ditetapkan secara tepat oleh Baginda saw.

Ini juga merupakan pendapat Syeikhul Islam Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim al-jauziyyah sebagaimana yang disebut didalam karangannya Zaadul ma’ad [lihat m/s 196; Darul Kitab al-Arabi] .

Samada jarak perjalanan itu pendek atau panjang, selagi mana ia dinamakan sebagai satu safar, maka dibolehkan seseorang untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar. Bahkan adanya pendapat yang menyatakan bahawa boleh diqasarkan solat bagi jarak perjalanan yang hanya sejauh 15KM. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim[ lihat hadith no.691]. Namun peghujahan menggunakan hadith ini bagi membolehkan qasar bagi jarak itu ditolak oleh Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut.

Sekian ringkasan.

Demikian ringkasan beberapa pendapat mazhab dan para ulama berkaitan dengan permasalahan jarak perjalanan bagi membolehkan seseorang menunaikan solat fardhu secara jamak dan qasar.

Saya bukanlah orang yang layak untuk menentukan mana satu pendapat yang paling tepat berkaitan masalah ini, namun saya sentiasa cuba mengingati diri ini agar sentiasa mengiringi sesuatu amalan dengan taqwa..

Bahkan ketika menyelak lembaran karangan Imam syafie; al-umm, sebagaimana yang telah disebut diatas, Imam Syafie berpendapat jarak +-80KM bagi membolehkan qasar. Namun katanya ; ” adapun aku suka untuk tidak mengqasarkan solat bagi perjalanan kurang 3 marhalah(+-90) sebagai langkah berhati-hati buat diriku”[ lihat al-Umm,1/211].

Demikian sikap seorang Imam..berhati-hati agar tidak tersilap, tidak tergopoh sebagaimana ramai orang pada hari ini..

Justeru untuk mengelakkan daripada hal ini dipermudah-mudahkan, kelak ditakuti ada orang yang mengatakan “aku boleh berbuka puasa kerana aku bermusafir” sedang jarak perjalanannya 10 minit sahaja dengan kereta. Eloklah diperhatikan apakah safar yang dimaksudkan oleh baginda saw,jika disebut rasulullah saw bermusafir, bagaimana jarak yang dilalui oleh baginda yang dinamakan sebagai safar.

Dikesempatan kita masih segar selepas keluar dari bulan tarbiyah, semoga Allah mengurniakan kita taqwa ..semoga Allah menjadikan kita dikalangan mereka yang mengamalkan agama dari sudut fizikal dan rohani..

Walau mana satu pendapat sekalipun yang kita pegang dan amalkan selama ini, semoga kita mengamalkannya diiringi dengan taqwa atas apa yang kita yakini. Tiada yang mengetahui kebenaran berada di tangan siapa melainkan Allah swt.

Read Full Post »