Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘satu lafaz’


Sekiranya suami mengucapkan lafaz “aku ceraikan engkau dengan talak tiga” atau yang seumpama dengannya, majority ulama dikalangan empat mazhab menghukum lafaz sebegitu sebagai talak tiga, iaitu bainunah kubra.

Antara hujah mereka ialah fatwa dan keputusan Umar ketika beliau menjadi khalifah, beliau memutuskan bahawa hukum bagi talak tiga dengan satu lafaz adalah jatuh tiga. Keputusan Umar ini direkodkan dengan jalur sanad yang pelbagai, yang mana sanad perawinya adalah kuat. Ianya direkodkan antaranya dalam Musannaf Abdul Razzaq, Musannaf Ibn Abi Syaibah dan lain-lain.

Disamping keputusan Umar ini tidak dipertikaikan oleh mana-mana sahabat yang berada di zaman tersebut,tidak diketahui adanya sahabat yang berfatwa menyelisihi keputusan Umar ini, yang menjadikan keputusan Umar ini sekurang-kurangnya sebagai ijma’ sukutiy.

Adapun sebahagian ulama yang menghukum jatuh talak satu bagi lafaz sedemikian, mereka berhujahkan dengan hadis Ibn Abbas yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih beliau, dimana Ibn Abbas menceritakan tentang talaq ketika zaman Rasulullah, khilafah Abu Bakr dan dua tahun awal khilafah Umar, bahawa talaq tiga dihukum sebagai satu, kemudian Umar melihat orang ramai mula tergesa-gesa dalam menjatuhkan talaq, maka Umar mengambil keputusan bahawa talaq tiga jatuh tiga.

Daripada hadis ini, kumpulan ulama ini menyatakan bahawa talaq tiga sememangnya jatuh satu kerana hadis ini lafaznya sarih, tidak ada ruang lagi untuk takwilan dan tafsiran. Malahan hukum tersebut juga kekal tidak dimansukhkan kerana ianya berterusan sehingga selepas kewafatan Nabi saw.

Walaubagaimanapun, jumhur ulama tidak bersetuju dengan hujahan kumpulan ulama tersebut, jumhur melihat bahawa hadis Ibn Abbas tersebut bermasalah daripada sudut sanad, mahupun matan.

Adapun di sudut sanad, jumhur menghukum sanad hadis tersebut sebagai syaz, sebagaimana disebut antaranya oleh Imam Ahmad bahawa hadis ini “syaz dan ditolak”.

Manakala disudut matan pula, juga dihukum syaz, iaitu amalan yang digunapakai tidak dibina di atas hadis ini. Kata Ibn ‘Abd al-Barr berkaitan hadis ini, “hadis ini tidak diamalkan oleh seorang pun fuqaha’, baik di Hijaz, ‘Iraq, barat, timur, mahupun Syam. Bahkan beliau menyebut, ijmak ummat meninggalkan amalan berdasarkan hadis ini yakni kandungan hadis ini tidak dijadikan sandaran amalan.

Oleh itu, wallahua’lam, talaq tiga dengan satu lafaz, adalah dikira sebagai talaq tiga sebagaimana yang menjadi pegangan jumhur mazhab.

Persoalan kedua ialah, lafaz talaq tersebut dijatuhkan ketika isterinya bersih tetapi telah digauli dalam tempoh bersih itu sebelum lafaz talaq diucapkan.

Talaq itu dikategorikan sebagai talaq bid’iy, majority mazhab berpandangan talaq bid’iy walaupun berdosa, tetapi talaq tersebut jatuh. Hal ini berdasarkan hadis Bukhari, Muslim dan lain-lain, tentang kisah Ibn Umar yang menceraikan isterinya ketika tempoh haid, kemudian hal itu ditanyakan kepada Nabi saw, lalu baginda memerintahkan Ibn Umar untuk merujuk kembali isterinya, perintah untuk Ibn Umar merujuk kembali isterinya menunjukkan bahawa talaq tersebut jatuh.

Persoalan ketiga pula, sekiranya talaq itu dilafazkan ketika marah, namun demikian kemarahan itu tidaklah sehingga pelafaz hilang akal, masih sedar dengan apa yang ditutur, maka talaq tersebut dikira jatuh berdasarkan kesepakatan ummat.

Read Full Post »