Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘rahmat’

Ketakutan dan Harapan


index

Tiada kata indah yang pandai untuk aku hamparkannya demi menyemai bibit cinta kepadaNYA di hati, namun aku sedar yang kata-kata penuh puitis bukan sering menjadi kemestian agar hati terikat mengingati Sang Pencipta..

Hidayah itu milik Dia, adakalanya jalan manusia menggapai hidayah itu tak terlintas dek akal manusia yang dangkal, namun, haruslah sentiasa insan itu mengharap dan terus mengharap agar kehidupannya ditunjuki jalannya oleh Tuhan alam ini sehinggalah dia sampai ke negeri yang kekal abadi.

Perasaan seorang manusia.

Fitrah manusia itu memiliki perasaan mengharap dan takut pada sesuatu. Pelbagai harapan yang terus menjadi sasaran bagi seseorang. Mengharapkan kekayaan, kesenangan, keluarga bahagia, pangkat, jawatan dan sebagainya.

Juga makhluk yang bergelar insan ini, tidak terlepas dari merasai ketakutan. Takut pada kegagalan, takut miskin, takut bencana, takut mati, takut hantu, dan pelbagai lagi ketakutan yang menyelubungi dan menghantui manusia.

Perasaan seorang muslim.

Manusia yang memegang gelaran muslim juga demikian, kerana harapan dan ketakutan itu adalah fitrah insan. Namun hidup ini bukan menongkat dunia, perjalanan hidup lebih kurang 60-70 tahun yang dirasa lama, hakikatnya terlalu singkat. Maka harapan dan ketakutan itu bukan sekadar pada urusan keduniaan semata, bahkan akhirat yang panjang itu, jauh lebih berhak untuk diharap dan ditakuti,,

Bunyinya seakan canggung, bagaimana kita mengharap pada sesuatu, tetapi dalam masa yang sama kita takut terhadapnya?

Ia sama sekali tidak canggung dan sumbang, bahkan memang demikianlah hakikatnya, kita mengharapkan keindahan dan kesenangan kurniaan tuhan di akhirat kelak, dan kita takut dengan kehuru-haraan dan kesusahan di akhirat.

Firman Allah swt ;

أمن هو قانت ءانآء الليل ساجدا وقائما يحذر الآخرة ويرجوا رحمة ربه قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون.

Maksudnya : (Pen-apakah orang musyrik lebih beruntung?) atau orang yang beribadah pada waktu malam, sujud dan berdiri kerana takut kepada azab di akhirat dan mengharapkan rahmat tuhannya? Katakanlah; adakah sama antara orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui? [ surah az-Zumar 9 ].

kerana itu, mereka yang berjihad di jalan Allah, tiada lagi ketakutan terhadap kematian, kerana ketakutan mereka kepada azab Allah dan harapan mereka terhadap rahmat dan kasih sayang Allah telah menguasai hati dan jiwa mereka, dan mengusir ketakutan pada sebuah kematian dan pelbagai janji palsu yang dihidangkan oleh dunia.

………..

Namun haruslah dibezakan antara harapan dan angan-angan. Manusia yang mengharapkan kekayaan akan berusaha sedayanya untuk mencapai kejayaan yang diimpi.

Tetapi mereka yang berangan-angan untuk menggapai kekayaan, tidak perlu berusaha, hanya perlu berbaring dan meletakkan tangannya di dahi,,,

Demikian jugalah akhirat, mereka yang mengharapkan kesenangan disitu, haruslah berusaha melakukan kebaikan dan amal soleh dan apa sahaja yang boleh membawanya kearah kesenangan tersebut dengan petunjuk rasul saw.

Perasaan sang munafiq.

Semoga kita dijauhi dan diselamatkan dari menjadi sebahagian darinya.

Kata al-Hasan ra ; ” dan munafiq itu menghimpunkan amalan jahat dan merasa aman dan selamat dari  dibalasan kejahatannya” [ Syarh Aqidah tahawiyah, oleh Ibn Abi al-Izz ; 2/98 ].

Sesorang itu mungkin merasa biasa dengan dosa kecil, bahkan tidak rasa bersalah ketika melakukannya, memandang lekeh dan buat tidak endah atas dosa itu,,Allah,,

أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ

Maksudnya : apakah mereka merasa aman dari seksaan Allah? Maka tiada yang merasa aman dari seksaannya melainkan orang yang rugi [ surah al-A’raf ;99 ].

……….

Kewajiban seorang Muslim.

Bukan sunat, mahupun harus, tetapi wajib bagi setiap individu Muslim itu memiliki rasa takut dan mengharap kepada Allah yang maha penyayang dan maha pedih azabnya.

Ketakutan itulah yang menghalangnya dari melakukan maksiat…

Harapan itulah yang menjadikan dia tidak berputus asa kepada rahmat dan keampunan tuhan tatkala terbabas dan tergelincir melakukan dosa…

Harapan itu jugalah yang mesti ditanam didalam jiwa tatkala melakukan amalan kebaikan, mengharap Allah akan menerimanya tanpa ragu!

لا يموتن أحدكم إلا وهو يحسن الظن بربه

Maksudnya : janganlah seseorang dari kalangan kamu mati kecuali dia mati dalam keadaan berbaik sangka kepada tuhannya [ hadis riwayat Muslim ; 2877 ]

Allah itu tidak pernah menzalimi hambanya,,

harapkanlah rahmat dan keampunannya dengan beramal soleh dan bertaubat..

takutlah akan azabNYA dengan meninggalkan laranganNYA…

Read Full Post »