Niat pada hakikatnya adalah suatu yang sangat mudah, tetapi dikalangan masyarakat kita, kelihatan ianya sukar dan menjadi suatu masalah, antara yang sering menjadi tanda tanya ialah :
1- melafazkan niat.
Adakah melafazkan niat solat dengan lisan suatu yang dilakukan oleh baginda saw? Saya merasakan telah ramai yang menjawab persoalan ini, Cuma saya tertarik untuk membetulkan sedikit salah faham dikalangan ramai orang yang mengatakan bahawa Imam Syafie menganjurkan kita untuk melafazkan niat.
Hal ini disanggah oleh Imam Nawawi, beliau menyebut bahawa mereka yang beranggapan sedemikian telah salah faham dengan apa yang dimaksudkan oleh Imam Syafie,
“لأن الشافعي قال في الحج إذا نوى حجا أو عمرة أجزأ وإن لم يتلفظ وليس كالصلاة, لا تصح إلا بالنطق…..وليس مراد الشافعي بالنطق في الصلاة هذا, بل مراده التكبير…”
Maksudnya : …kerana Imam Syafie berkata bahawa jika seseorang berniat untuk haji atau umrah, sah sekalipun tidak dilafazkan niat dengan lisan, ia tidak seperti solat, solat tidak sah kecuali dengan kita melafazkannya…dan bukanlah maksud beliau dengan lafaz itu adalah niat, tetapi beliau memaksudkan takbir…”[al-Majmuk 3/277]
Dapat kita fahami disini bahawa melafazkan niat bukan suatu anjuran oleh Imam Syafie, dan tidak pula dikatakan bidaah.
Namun, adalah lebih baik kita mengikuti apa yang diajari oleh baginda saw semampu yang kita mungkin, tidak warid dari nabi saw suatu hadis pun yang menunjukkan baginda saw melafazkan niat.
Sebagai mana kita tidak ragu-ragu ketika menyuap makanan, tanpa perlu melafazkan apa-apa niat sebelum makan, demikianlah juga ketika ibadah seperti solat.
2- Mestikah niat disekalikan dengan takbir?
Di negara kita Malaysia, antara pemandangan yang selalu kita perhatikan di masjid-masjid ialah kesukaran untuk niat solat, berkali-kali mengangkat takbir, tetapi “niat tak masuk” katanya.. mestikah niat disertakan ketika mengangkat takbir? Atau boleh sebenarnya kita berniat sebelum mengangkat takbir.
Sebelum dibincangkan permasalahan diatas, perlu dibezakan antara niat dan menyusun ayat didalam hati. Ia adalah dua perkara yang berbeza, hakikat niat adalah lintasan hati, terdetik dihati itulah yang dinamakan niat.
Telah berlaku perbezaan dikalangan fuqaha dalam permasalahan ini, adakah wajib niat ketika mengangkat takbir atau niat terlebih dahulu kemudian mengangkat takbir :
Pendapat pertama : wajib niat ketika takbir, ia adalah pendapat Imam Syafie. [al-majmuk 3/277].
Pendapat kedua : boleh mendahulukan niat daripada takbir dalam tempoh yang pendek iaitu, niat dahulu kemudian mengangkat takbir, ia adalah pendapat mazhab Hanafi dan Hanbali [ lihat al-mughni 1/339, badaie’ sanaie’ 1/129]
Pendapat ketiga : boleh mendahulukan niat daripada takbir, sekalipun dalam tempoh yang panjang. Ia adalah pendapat dalam mazhab maliki dan riwayat dalam mazhab Hanbali. [ lihat syarh Umdah m/s 387]
Umum mengetahui mazhab asas di negara kita ialah Mazhab Syafie, maka tidak hairan kita dapati masalah “niat tak masuk” ini melanda sebahagian masyarakat kita, dan jika kita ke negara lain, jarang(bahkan tiada) kita lihat pemandangan mengangkat takbir berkali-kali ini berlaku.
Kesimpulan ringkas
Bagi mereka yang tiada masalah “memasukkan niat dengan takbir” maka bolehlah jika ingin meneruskan kebiasaannya, tetapi bagi mereka yang terasa susah, sesungguhnya khilaf( bahkan ia adalah pendapat majority) yang berlaku ini memberi ruang untuknya keluar dari kesusahan untuk mengangkat takbir dan tidak mengganggu jemaah yang lain.
Jika kita boleh menerima yang niat untuk berpuasa boleh dilakukan sebelum kita memulakan puasa, kenapa tidak pada solat? Demikian antara hujah sandaran majoriti ulama [ lihat al-mughni 1/339 ]
Justeru, perlu ada penerangan kepada masyarakat kita tentang keluasan dan kemudahan fiqh islam, jangan disulitkan masyarakat dengan perkara yang hakikatnya sangat mudah. Tidak perlulah “menangkap-nangkap” ketika mengangkat takbir…
Wallahu’alam