Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘musafir’


Di RnR, ada diantara mereka yang tidak mahu solat jemaah mungkin disebabkan ;
( ini yang saya rasa la, mungkin ya mungkin tak) kalau ya, berikut sedikit ringkasan dlm hal ni, saya cuba ringkas berdasarkan mazhab al-imam Syafie rh. ;

1- takut berbeza niat dgn imam
2- mungkin tak tahu tatacara nk jemaah kalau berbeza niat dan jumlah rakaat.
3- tak tahu imam nak solat tamam ke qasar.

1- Boleh solat berjemaah sekalipun berbeza niat antara imam dan makmum.

Samada berimamkan orang yg solat sunat, atau solat wajib yg berbeza, seperti solat zohor dibelakang orang yg solat asar. ( lihat al-Majmuk 4/271, Raudhah al-thalibin 1/366)

Ianya bersandarkan hadis Jabir ra ; Muaz bin Jabal telah bersolat isya bersama baginda sallallahualaihiwasallam, kemudian beliau balik ke kampungnya, dan menjadi imam pula untuk solat yang sama kepada orang kampungnya. ( riwayat Bukhari ; 6106, Muslim ; 465 )

Hadis ini menceritakan tentang Muaz yang mengimami orang kampungnya, beliau melakukan solat isya kali kedua dengan niat sunat bukan wajib, sedang makmumnya menunaikan isya dengan niat wajib, keumuman hadis ini menunjukkan perbezaan niat antara imam dan makmum tidak menjadi masalah.

2- jika boleh berbeza niat antara imam dan makmum, jadi bagaimana caranya jemaah solat boleh dibuat sekalipun niat berbeza beza?

– jika jumlah rakaat sama, maka tidak menjadi masalah, solat seperti biasa.
– jika jumlah rakaat makmum lebih dari jumlah rakaat imam, tambah rakaat setelah imam beri salam.
– jika jumlah rakaat makmum kurang dari jumlah rakaat imam, seperti makmum nk solat maghrib dn imam solat isya, maka makmum ada dua pilihan samada ;

a- duduk tasyahhud akhir dan tunggu imam selesai rakaat keempat, kemudian beri salam bersama imam, dan ini adalah lebih baik. Atau ;
b- niat mufaraqah dan terus beri salam setelah selesai tiga rakaat. (Lihat al-Majmuk 4/247).

3- kita nak qasar solat, dan imam solat tamam atau kita x tahu imam nk qasar atau tamam, maka ringkasnya camni;

a- jika kita tahu atau ada kebarangkalian tinggi yang imam solat tamam,maka kita wajib untuk solat tamam, sekalipun kita hanya sempat tasyahhud akhir bersamanya.
Ini berdasarkan umum hadis nabi sallallahualaihiwasallam yg bermaksud ; “sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti”( riwayat Bukhari 722, Muslim ; 414)
Dan sabdanya lagi yg bermaksud ; “apa yg kamu sempat maka solatlah (bersamanya), dan apa yg terlepas, maka sempurnakanlah”( Bukhari ; 635, Muslim ;152)
Ini juga kerana hukum asal ialah solat tamam, qasar dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu, jika syarat x terpenuhi, maka kembali kepada hukum asal.

b- jika kita yakin atau ada kebarangkalian tinggi yang imam nak qasar, ini biasanya jika solat di RnR atau di airport, maka kita boleh berniat qasar.
Ini kerana zahir dan kebiasaannya, org yg bersolat ditempat2 sebegini adalah musafir.

Tetapi jika didapati setelah itu yg imam itu solat tamam, maka makmum mesti mengikut imam, jadi niat qasar itu ditukar dari qasar kepada tamam. Ini juga berdasarkan keumuman dalil “sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti”

Dan jika kita x tau apakah niat imam, boleh juga ta’liq niat berdasarkan niat imam; cthnya camni ; ” jika imam qasar, aku qasar , jika imam tamam, aku solat tamam jgk”. Ianya sah menurut pendapat yg lebih tepat dlm mazhab Syafie rh. (Lihat perincian masalah dlm al-Majmuk 4/356)

Wallahualam,,

*tak dinafikan ada perbezaan pendapat dikalangan mazhab empat dlm permasalahan2 diatas.
*saya rasa tak selesa bila melihat masyarakat solat sendiri2 di surau2 RnR mahupun airport,

Read Full Post »


# mungkin entri ini seperti khutbah jumaat di Malaysia, tak kena dengan suasana semasa…=p Upin ipin 3

Kejadian 1.

Beberapa ketika dahulu, aku pernah singgah untuk solat jamak ta’khir –maghrib dan isya’- di surau KL Sentral, ada seorang brother mengajak aku untuk sembahyang berjemaah dengan dia, dia minta aku jadi imam, aku pun cakap kat dia, “kita solat maghrib dulu tau,” dia menolak, katanya, “tak boleh, kita kena solat isyak dulu, baru maghrib..” aku pun iyekan aje,, kerana kelihatan dia begitu yakin dengan pendapatnya dan aku kelihatan salah dari apa yang boleh difahami dari nada suaranya.

Perselisihan ulama didalam hal ini

Cerita diatas memang tak menarik pun,( lagi pula dah lama berlalu, tiba-tiba teringat semula) tapi Cuma nak kongsikan permasalahan fiqh didalam situasi diatas berkaitan jamak ta’khir, mana satu yang mesti dilaksanakan dahulu, solat tuan rumah? atau mengikut tertib, iaitu maghrib dahulu, kemudian baru isya’.

Secara ringkasnya masalah ini terbahagi kepada dua pendapat :

Pendapat pertama : MESTILAH(disyaratkan) melakukan solat mengikut tertib.

Iaitu solat maghrib dahulu, kemudian baru solat isya’.

Ia adalah pendapat Mazhab Maliki [lihat al-zakhirah 2/376], dan sebahagian syafi’iyah[ lihat al-Majmu’ 4/256] dan mazhab Hanbali [lihat al-Inshof 5/110]

Antara dalil yang menjadi sandarannya ialah :

1- Nabi saw melakukan solat jamak ta’khir di Muzdalifah ketika haji wida’, baginda melakukan maghrib terlebih dahulu sebelum isya’.[ riwayat al-Bukhari ; no : 139].

2- solat isya'(kedua) dianggap sebagai mengikut solat maghrib(pertama), maka yang mengikut tidak boleh didahulukan kepada yang diikut(sebagaimana makmum tidak boleh mendahului perbuatan imam)

Pendapat kedua : tidak disyaratkan tertib, tetapi disunatkan.

Ia adalah pendapat yang terpilih didalam mazhab Syafie.[ lihat al-Majmu’ ; 4/256].

Antara dalil sandarannya ialah :

1-  Jamak ta’khir dilakukan pada waktu kedua, maka ia tidak lagi dikira mengikut solat waktu pertama.

Sandaran ini dibahas oleh sebahagian ulama, iaitu solat jamak adalah gabungan dua solat menjadi satu, maka sebagaimana kita mesti melakukan seseuatu solat itu mengikut tertib, begitu juga solat jamak, mesti dilakukan mengikut tertib.

2- ia seperti jika kita tertinggal solat, maka tidak diwajibkan tertib dalam melaksanakannya. Sebagai contoh kita belum menunaikan solat zohor, kemudian tertidur sehingga masuk waktu asar. Maka kita boleh untuk menunaikan solat asar terlebih dahulu sebelum menggantikan solat zohor menurut pendapat sebahagian ulama.

Namun, jika kita cenderung kepada pendapat kedua sekalipun, adalah diutamakan untuk solat mengikut tertib, kerana ulama yang berpendapat tidak diwajibkan tertib menyatakan yang tertib itu adalah mustahab.

Kejadian 2.

Pada musim haji  2 tahun yang lalu, aku dan seorang kawan aku, loqman, pergi menunaikan solat zohor di masjidil haram. Setelah selesai solat, aku terus menunaikan solat asar secara qosar dan jamak, loqman pula menunaikan solat jenazah terlebih dahulu, kemudian baru dia menunaikan solat asar secara jamak dan qasar.

Persoalannya disini, sahkah solat asar yang dilakukan oleh loqman? Kerana dia tidak melakukan solat zohor dan asar secara mualah(berterusan tanpa terputus lama diantara solat zohor dan asar).

Kisah ini juga seperti kejadian 1, tiada apa yang menarik, Cuma ingin berkongsi hukum fiqh yang terdapat pada kejadian tersebut.

Didalam permasalahan ini, ulama terbahagi kepada dua pendapat.

Pendapat pertama : solat loqman tidak sah kerana mualah adalah syarat sah solat jamak, kecuali  tempoh terputus antara dua solat itu sekejap sahaja.

Ini adalah pendapat mazhab Maliki [lihat az-zakhirah 2/376], syafi’iah [ lihat raudhah at-talibin ; 1/297 ], dan hanabilah [ lihat al-Mughni ; 3/138].

Antara dalil sandaranya ialah :

1- sifat solat jamak nabi saw yang tidak pernah memisahkan antara dua solat dalam tempoh yang panjang.

2- kerana solat jamak menjadi solat yang satu, maka diwajibkan mualah.

Pendapat kedua : solat asar loqman sah, kerana mualah didalam solat jamak tidak diwajibkan.

Ia adalah satu riwayat didalam mazhab syafi’e[lihat al-majmuk ; 3/255] dan pendapat ini dipilih oleh Ibn Taimiyyah [ lihat al-Majmu’ al-Fatawa 24/51]

Antara sandarannya ialah ;

1- jamak beerti menggabungkan dua waktu menjadi satu waktu, maka jika dipisahkan antara dua solat itu dengan tempoh yang lama sekalipun tidak mengapa, asalkan tetap dilakukan dalam satu waktu.

2- tempoh terpisah yang diambil kira antara dua solat itu ialah keluarnya waktu, adapun terpisah diantara dua solat tersebut tetapi masih didalam waktu, tidak mengapa. Ini kerana solat asar mengikut solat zohor, ia seperti solat sunat ba’diah yang dilakukan selepas solat fardhu. Sunat ba’diah tersebut mengikut solat fardhu, tetapi boleh dilakukan pada bila-bila waktu selagimana belum masuk waktu solat yang seterusnya. Maka begitu juga dalam masalah solat jamak…

Sekian dua masalah berkaitan solat jamak yang ingin dikongsikan berdasarkan kisah yang dilalui sebelum ini,,,semoga ianya bermanfaat.

Read Full Post »