Benarkah antara tanda seorang itu wahabi ialah menggerakkan jari ketika tasyahhud?
Jawapan ;
Isu menggerakkan jari ketika tasyahhud ialah masalah yang diperselisihkan oleh ulama dikalangan empat mazhab lagi, beratus tahun sebelum gelaran wahabi kedengaran. Berikut ringkasannya ;
Pendapat pertama ; isyarat jari diangkat tanpa digerakkan.
( Mazhab Hanafi. Lihat badaie’ al-sanaie’ 1/214. Satu pendapat dlm Mazhab Malik. Lihat Al-zakhirah 2/212. Mazhab Syafie. Lihat mughni al-Muhtaj 1/378. Mazhab Hanbali. Lihat al-Insof 2/76)
Pendapat kedua ; digerak-gerakkan jari.
( Mazhab Malik. Lihat al-zakhirah 2/212. Satu pendapat dlm Mazhab Syafie. Lihat al-Majmuk 3/454. Satu pendapat dalam Mazhab Hanbali. Lihat al-Insof 2/76.)
Pendapat ketiga ; haram menggerak-gerakkan jari dan batal solat.
( diriwayatkan dari Ibn Abi Hurairah al-Syafie. Lihat al-Majmuk 3/454. Kata Al-Nawawi ; pendapat yg ganjil dan lemah).
Secara ringkasnya, sebab berlakunya perbezaan dlm masalah ini ialah kerana percanggahan diantara dua hadis iaitu ;
1- Hadis Abdullah bin Zubair ;
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يشير بأصبعه إذا دعا ولا يحركها
Maksudnya ; sesungguhnya nabi sallallahualaihiwasallam membuat isyarat dengan telunjuknya, jika berdoa, dia tidak menggerakkan jarinya itu.( riwayat Abu Daud no 989, al-Nasaie no 1270).
2- Hadis Wail bin Hujr ;
…ثم رفع إصبعه فرأيته يحركها يدعو بها.
Maksudnya ..kemudian baginda-sallallahualaihiwasallam-mengangkat jarinya, aku melihat dia menggerak-gerakkannya, sambil berdoa padanya. (Riwayat al-Nasaie no 889.)
Para ulama yang menyatakan isyarat jari telunjuk tidak digerakkan kerana menghukum hadis Wail sebagai syaz.
Adapun yang menyatakan sunnah menggerakkan jari pula mengatakan tambahan lafaz “لا يحركها” sebagai dhaif.(zaadul maad 1/238)
Kata Ibn Uthaimin( lihat al-Syarh al-Mumti’ 3/145-146 ) ; untuk menghimpunkan hadith-hadith ini mudah, penafian gerakan itu beerti pergerakan yang berterusan, dan menetapkan adanya gerakan itu beerti digerakkan ketika doa apabila anda berdoa,maka gerakkan sebagai isyarat ketinggian Allah swt. Iaitu pada ketika ;
١-السلام عليك أيها النبي
٢- السلام علينا
٣- اللهم صل على محمد
٤- اللهم بارك على محمد
٥- اللهم إني أسألك رضاك والجنة،،،الخ.
Justeru, apa yang dilakukan sebahagian orang yang berpegang bahawa menggerakkan jari itu sunnah dengan menggerakkan jari secara berterusan, sebahagiannya seperti bermain-main dengan jari, dibuat bentuk bulatan,atau mengeja lafaz Allah, kelihatannya tidak menepati sunnah.
Wallahua’lam.