Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘Fiqh’


Soalan : saya seorang anak wanita yang berkerjaya dan telah berkahwin, dan memiliki gaji yang agak besar, dan saya memiliki bapa yang miskin, adakah boleh saya mengeluarkan zakat kepada bapa saya itu?

jawapan : wallahua’lam, antara kewajiban seorang anak-lelaki atau perempuan keatas orang tuanya ialah, memberi nafkah jika mereka dikalangan orang miskin dan si anak itu berkemampuan. Ia adalah kesepakatan para ulama,[lihat al-majmuk ;17/172, al-mughni;7/582].

 

Ini berdasarkan dalil-dalil yang sabit dari al-Quran dan Sunnah, antaranya seperti berikut ;

 

1- Firman allah swt ; وقضى ربك ألا تعبدوا إلا إياه وبالوالدين إحسانا

maksudnya ;  “Tuhan kamu telah mewajibkan kamu untuk tidak menyembah selain allah dan berbuat baiklah kepada ibu bapa kamu”(surah al-isra;23)

Berdasarkan ayat ini, seorang anak wajib berlaku ihsan kepada ibu bapanya, Memberi nafkah termasuk didalam maksud ihsan yang wajib keatas anak.

 

2-  Firman Allah swt; وصاحبهما في الدنيا معروفا

maksudnya ; “dan santunilah mereka berdua di dunia ini dengan cara yang baik”(surah Luqman;15)

berdasarkan ayat ini, bukanlah dianggap seorang itu baik jika dia hidup senang lenang sedang ibu bapanya hidup dalam kesusahan.

 

3- Sabda nabi saw dari Aishah ra : إن أطيب ما أكل الرجل من كسبه، وولده من كسبه

Maksudnya : “sebaik-baik sesuatu yang dimakan oleh seorang lelaki itu ialah dari hasil usahanya sendiri, dan anaknya adalah sebahagian dari hasil usahanya”(riwayat Abu Daud; 3528).

 

Justeru, adalah tidak harus bagi anak-lelaki atau perempuan-untuk mengeluarkan zakat kepada ibu bapanya, ini kerana wajib keatas mereka untuk memberi nafkah kepada ibu bapa mereka.

 

kata Ibn Munzir ; “Telah sepakat ahli ilmu bahawa tidak harus seorang anak membayar zakat kepada kedua ibu bapanya sedang wajib keatasnya memberi nafkah kepada mereka berdua…ini kerana ia seperti membayar zakat kepada dirinya sendiri..(lihat al-mughi 7/583).

Advertisements

Read Full Post »

Uban dan Pau Rendang


Kelmarin, ketika aku memandu kereta seorang diri ke Hulu Langat, terlihat seorang makcik menjual pau, aku pun22ki berhenti untuk mengepau sebarang dua pau rendang daripadanya,,

Ketika menunggu makcik membungkus pau rendang, terlihat sepasang suami isteri sedang “berasmara” dibawah pokok yang rendang, si isteri sedang mencabut uban di kepala sang suami…

 Badan suami dia, pergh.. macam badang, sedang badan aku pula macam badang juga, tapi tanpa “G”..

Hadith berkaitan mencabut uban.

Sebenarnya ada larangan dari baginda saw tentang mencabut uban.

Antaranya seperti :

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ، مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ إِلَّا كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ.  وَقَالَ فِي حَدِيثِ يَحْيَى – إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً، وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Maksudnya : dari ‘Amru bin Syuaib, dari bapanya, dari datuknya ; berkata Rasulullah saw : janganlah kamu mencabut uban, tidaklah bagi seorang muslim yang tumbuh uban didalam Islam kecuali ia menjadi cahaya di hari kiamat. ( pada riwayat Yahya ; kecuali Allah menulis kebaikan padanya dan menghapuskan kesalahan padanya.)

 [ Hadith riwayat Abu Daud ;4202, at-Tirmizi ; 2821, an-Nasa’ie ;5068, Ibn Majah ;3721, lafaz hadith diatas ialah dari riwayat Abu Daud ]

Berdasarkan hadith diatas, dapatlah kita ketahui bahawa mencabut uban kepala adalah sesuatu yang dilarang, ia termasuk juga uban dimisai..

Secara zahirnya, hadith diatas menunjukkan larangan yang membawa maksud haram. Namun ianya diperselisihkan oleh para Ulama, sebahagiannya mengatakan yang ianya adalah haram, dan sebahagian yang lain pula mengatakannya adalah makruh.

Kata al-Muwaffaq Ibn Qudamah-berdasarkan hadith diatas dan yang lain- ; “dan dimakruhkan mencabut uban.” [lihat al-Mughni ; 1/68].

Sekian cerita hari kelmarin,, sebenarnya ada cerita lain, iaitu cerita “sibapa menegah anaknya memegang mushaf al-quran tanpa wudu’ sedang ditangan kirinya terjuntai batang rokok tinggal separuh”..

Entah bila nak diceritakan untuk diingat dan disembang dihari tua..

Read Full Post »

Bolehkah aku Digugurkan 3


Lewat ini, begitu banyak kejadian rogol berlaku ditengah masyarakat kita, bahkan diseluruh dunia. Pelbagai punca dan sebab yang menyumbang kepada kejadian rogol, bukanlah ini yang ingin saya perbincangkan. Tetapi, berkaitan janin yang terhasil dari kerakusan sang lelaki meratah sang wanita. Siapakah punca kepada perbuatan tersebut, samada lelaki yang sedia ada ‘lapar’ atau wanita yang menayang tubuh, memakai pakaian yang seolah meminta dirogol.

Didalam masyarakat Malaysia, kita membezakan antara rogol dan sumbang mahram. Sebenarnya, istilah berbeza, tapi maksudnya sama. Sumbang mahram merujuk kepada ‘haruan makan anak’, seperti bapa merogol anak, abang memperkosa adik dan seumpamanya.

Janin yang terhasil akibat dirogol.

Apapun puncanya wanita dirogol, bagaimana nasib si anak yang terhasil dari hal tersebut? Apakah boleh digugurkan demi menjaga maruah si wanita? Bagaimana jika puncanya datang dari wanita itu sendiri? Dengan pakaian yang tidak senonoh, pergaulan bebas dan sebagainya.

Disini suka saya menukilkan fatwa yang dinyatakan oleh Dr. ‘Atiyah Saqr dalam hal ini. Beliau ditanya tentang perihal wanita muslimah yang dirogol oleh musuh semasa dalam peperangan. Jawab beliau :

“…….. telah berkata ramai ulama tentang masalah hamil dari hubungan diluar pernikahan : tidak boleh digugurkan kandungan selepas ditiupkan roh keatasnya iaitu selepas kandungan berusia 4 bulan, kerana kandungan itu berhak hidup dan haram dibunuh tanpa sebab, selagimana tiada bahaya yang mengancam wanita itu menyempurnakan kandungan. Adapun sebelum ditiupkan roh, disana banyak pendapat dikalangan ulama, ada yang mengharamkannya secara total, ada yang mengharuskannya secara total, ada yang mengharamkannya jika tidak wujud keuzuran untuk menggugurkannya. Maka dari itu, harus bagi mereka yang dirogol untuk menggugurkan kandungan sebelum janin ditiupkan roh. [ Fatawa Darul Ifta’ al-Misriah ; perkara 158].

Beberapa kaedah fiqh yang diguna pakai dalam masalah ini.

1- الضرورات تبيح المحظورات

Maksudnya : Perkara darurat mengharuskan perbuatan yang dilarang syara’

2- الضرر الأشد يزال بالضرر الأخف

Maksudnya : Kemudaratan yang teruk dihilangkan dengan kemudaratan yang lebih ringan darinya.

Namun harus diingatkan bahawa bukan semua kemudaratan mengharuskan sesuatu larangan syara’ dibuat, kerana kemedaratan itu ada had tertentunya. Kaedah fiqh menyebut

الضرورة تقدر بقدرها

Maksudnya : Sesuatu darurat itu dikadarkan dengan hadnya.

Contohnya, jika seseorang yang sesat ditengah hutan, langsung tiada bekalan makanan, kemudian terjumpa dengan ular, dipanggangnya ular itu, dia hanya boleh memakan sekadar untuk mengelakkan dari mati kelaparan, bukannya makan sehingga sendawa dan tersandar kekenyangan.

Telah dinyatakan sebelum ini tentang kesepakatan ulama tentang keharaman  menggugurkan kandungan selepas roh ditiupkan. Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyah[ al-Fatawa al-Kubra 3/401] ;

” Sepakat Kaum Muslimin pada keharaman menggugurkan kandungan, dan ia termasuk dalam perbuatan menanam anak secara hidup-hidup. Firman Allah :

وإذا الموءدة سئلت , بأي ذنب قتلت

Maksudnya : Dan apabila anak-anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya, kerana dosa apa dia dibunuh. [ Surah at-Takwir ; 8-9 ].

Kata Imam ar-Ramli : ” dan yang rajihnya ( tepatnya ), haram secara mutlak(total) menggugurkan kandungan selepas ditiupkan roh. Adapun sebelum ditiupkan roh, harus. [ Nihayatul Muhtaj ; 8/443]

Kesimpulan

Walaupun belum boleh disimpulkan pada pandangan saya, kerana tulisan ini terlalu ringkas dan umum, perlu kepada pembacaan yang lebih luas. Tetapi suka saya menyebut, hukum ini bagi wanita yang dirogol, adapun bagi wanita yang ‘dirogol’ iaitu didalam hatinya merasa nikmat dan kepingin pula untuk dirogol lagi selepas itu, maka pada pendapat saya, wanita itu tidak boleh menggugurkan kandungan sekalipun sebelum roh ditiupkan.

Nasihat saya kepada diri saya sendiri, jagalah agama, peliharalah hati, jangan kau nodai. Hari ini, pandanglah kemana arah sekalipun, aurat terdedah disana sini.. bagi si wanita pula, elakkanlah dari mencabar iman lelaki dengan berpakaian yang serba terdedah.. wallahhua’lam

p/s : seperti yang telah saya nyatakan, artikel dalam blog ini adalah untuk saya mengingati dan merumuskan pembelajaran yang telah dilalui, maka ia tidak boleh dijadikan sandaran pembaca, tetapi perlulah diluaskan lagi pembacaan, pengajian dan pertanyaan kepada mereka yang lebih mengetahui..wallahua’lam..

Read Full Post »

Bolehkah Aku Digugurkan 2


Janin hasil hubungan zina.

Sebenarnya, para fuqaha tidak pun membezakan hukum menggugurkan kandungan, samada hasil dari hubungan yang sah (nikah ) ataupun tidak iaitu zina.

1- Harus digugurkan

Pendapat yag mengatakan keharusan menggugurkan kandungan yang terhasil dari perbuatan zina, sama seperti keharusan yang dinyatakan bagi kandungan yang terhasil dari hubungan yang sah. Iaitu keharusan digugurkan kandungan sebelum roh ditiupkan kepada janin dengan syarat-syarat yang telah saya nyatakan pada tulisan yang lepas, adapun selepas 120 hari, dimana roh telah ditiupkan kepada janin, maka telahpun saya nyatakan kesepakatan ulama mengharamkan pengguguran dijalankan melainkan pada keadaan yang benar-benar mendesak.

Sandaran pendapat yang menyatakan keharusan janin yang terhasil dari hubungan zina harus digugurkan adalah :

a- Terbukanya aib si ibu jika kandungan dilahirkan

b- Kemungkinan si ibu membunuh diri jika si lelaki enggan bertanggungjawab

c-  Terputusnya nasab si anak, kemungkinan anak tersebut akan menjadi buah mulut masyarakat.

2-  Haram digugurkan.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan diatas, para ulama tidak membezakan hukum menggugurkan kandungan, samada terhasil dari hubungan yang sah ataupun tidak, maka kandungan haram digugurkan, ditambah dengan beberapa lagi sandaran seperti berikut :

1- Si anak tidak menanggung dosa yang dilakukan oleh pasangan yang berzina, maka kenapa si anak mesti digugurkan? Kerana untuk menutup malu, anak digugurkan? Firman Allah :

ولا تزر وازرة وزر أخرى

Maksudnya : dan seseorang tidak menanggung beban dosa orang lain [ al-An’am 164 ]

2- Kisah al-Ghamidiah, kisah seorang wanita yang datang kepada Rasulullah, mengaku yang beliau telah berzina dan hamil hasil dari hubungan tersebut. Beliau meminta supaya rasulullah saw menghukumnya dengan hukuman rejam, Rasulullah menyuruh beliau balik, lahirkan dahulu bayi tersebut. Setelah wanita itu bersalin, beliau datang lagi dengan bayinya kepada baginda saw, untuk dijalankan hukuman hudud keatasnya, Rasulullah menyuruh wanita itu pulang dan menyusukan bayi tersebut sehingga bayi itu putus dari penyusuan. Maka wanita itu pulang lagi dan menyusukan anaknya, setelah dia memutuskan penyusuan keatas anaknya itu, dan anaknya itu telah pun memakan makanan lain, beliau datang lagi kepada Rasulullah untuk dijalankan hudud keatasnya, setelah itu, Rasulullah menyerahkan bayi itu kepada seorang lelaki dari kalangan muslimin, kemudian Rasulullah memerintahkan agar ditanam wanita itu sehingga paras dada, kemudian direjam. [lihat hadis riwayat Muslim no : 3208 ].

Hadis ini menunjukkan bahawa baginda saw menangguhkan hukuman hudud keatas wanita tersebut, demi menjaga nyawa janin yang dikandung, hal ini memberi petunjuk kepada kita tentang kewajiban memelihara nyawa janin.

3-  Jika pengguguran diharuskan kepada penzina, maka mereka akan lebih berani untuk melakukan zina dimasa akan datang, kerana apa yang hendak ditakutkan, jika ‘melekat’, gugurkan sahaja, maka pengharaman menggugurkan kandungan hasil zina adalah untuk menutup lubang daripada kemungkaran berleluasa.

Kesimpulannya, jika pengguguran janin hasil dari hubungan yang sah juga sangat ketat, bahkan senang cerita, haram melainkan sebab-sebab yang tertentu yang  sangat darurat sebagaimana telah dinyatakan sebelum ini, maka apatah lagi bagi si penzina, haram menggugurkan kandungan!

Hampir tiada alasan lain bagi si penzina dari menggugurkan kandungan melainkan demi menutup malu dan menjaga maruah, habis nyawa anak digadaikan demi menanggung dosa ‘ibu dan ayah’ mereka.

Read Full Post »

Bolehkah Aku Digugurkan ?


Janin yang gugur atau digugurkan

Tulisan ini bukanlah bermaksud saya ingin berfatwa, namun lebih kepada untuk membantu saya mengingati bacaan-bacaan dan pembelajaran yg telah saya lalui

bayi yang digugurkan

Umum mengetahui apa yang dimaksudkan dengan pengguguran, iaitu satu proses mengeluarkan janin dari kandungan atas sebab-sebab tertentu, dengan cara yang tertentu sebelum janin tersebut bersedia untuk menjalani kehidupan di muka bumi ini.

Secara asasnya, terdapat beberapa hukum yang berkaitan dengan pengguguran, samada janin tersebut gugur tanpa dipaksa, iaitu bukannya kehendak si ibu untuk menggugurkan kandungan tersebut, ataupun memang ada usaha disana, untuk menggugurkan kandungan tersebut.

Suka saya ingin memberi satu perumpamaan ; janin didalam kandungan ibu seperti buah durian yang tergantung di atas pokok, ikatannya kuat, durian tersebut tidak akan gugur melainkan sudah sampai waktunya, cukup masak, durian itu akan gugur dengan sendirinya. Namun memang ada kemungkinan durian tersebut gugur sebelum waktunya dengan sebab-sebab tertentu sepeti, buah tersebut rosak, atau ditebuk tupai dan sebagainya. Begitu juga dengan janin, apabila janin tersebut telah cukup matang, maka proses kelahiran akan berlaku, kecuali kes bayi pra matang dan kes-kes tertentu seperti bayi tidak cukup bulan. Keguguran mungkin berlaku sebelum waktu kelahiran yang sepatutnya dalam keadaan-keadaan tertentu seperti kecelakaan yang berlaku pada si ibu, janin yang bermasaalah dan sebagainya.

Hukum-Hukum yang berkaitan.

Jika kandungan digugurkan bukan dengan usaha atau kehendak si ibu, tidak lah dikira berdosa kerana tiada pun jenayah yang berlaku disitu.

Adapun kandungan yang digugurkan dengan niat, terbahagi kepada beberapa bahagian ;

1- Tujuan perubatan.

Iaitu untuk menyelamatkan nyawa ibu yang terancam jika kandungan diteruskan, para ulama membahagikan hal ini kepada dua bahagia iaitu ;

a. selepas ditiupkan roh( selepas kandungan berusia 120 hari )  : majoriti ulama mengharamkan pengguguran selepas ditiupkan roh sekalipun mengancam nyawa ibu.

Ada pendapat yang mengatakan harus jika kandungan itu mengancam nyawa si ibu, namun siapakah yang boleh memastikan bahawa nyawa ibu itu boleh diselamatkan jika kandungan digugurkan? Sedang si anak juga memiliki hak untuk hidup. Ini kerana, syara melarang untuk membunuh nyawa seseorang demi menyelamatkan nyawa orang lain.

Namun, jika pakar perubatan sepakat mengatakan memang pasti nyawa ibu akan melayang jika kandungan tidak digugurkan, maka disitu ada keringanan untuk menggugurkannya.

b. sebelum ditiupkan roh : diharuskan dalam hal yang sangat mendesak berdasarkan kaedah fiqh :

الضرورات تبيح المحظورات

maksudnya : “perkara dharurat mengharuskan kita untuk melakukan larangan syara”

2- Tujuan menghadkan bilangan anak.

Haram secara total, bahkan ini adalah satu jenayah yang besar. Firman Allah :

ولا تقتلو أولادكم خشية إملق نحن نرزقهم وإياكم

Maksudnya:  Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut miskin, Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu.[Surah isra’ : 31 ]

3- Kerana terdapat kecacatan pada janin.

Majma’ Fiqh yang berpangkalan di Makkah al-Mukarramah memutuskan hukumnya seperti berikut :

a. Selepas 120 hari : tidak boleh digugurkan sekalipun janin itu kurang sifat seperti tiada tangan etc. kecuali jika kandungan benar2 mengancam nyawa ibu berdasarkan kenyataan pakar perubatan.

b. Sebelum 120 hari : jika telah pasti berdasarkan keputusan dan pemeriksaan pakar perubatan, bahawa janin ini, jika dilahirkan, kecacatannya menyusahkan kehidupannya dan kehidupan keluarganya, tiada harapan untuk dirawat, maka diharuskan untuk digugurkan dengan permintaan si ibu dan si ayah. ( Majma’ Fiqh, persidangan kedua, Makkah al-Mukarramah, 10-17 Feb 1990)

p/s ada beberapa lagi bahagian sebab kandungan digugurkan yang belum saya nyatakan, sengaja saya asingkan, kerana bahagian yang seterusnya berkaitan dengan janin yang terhasil dari hubungan yang tidak syarie..wallahualam.

tulisan ini sememangnya kurang ilmiah, kerana kurang dinyatakan sumber rujukan. Jadi, tulisan ini tidak boleh dijadikan satu pegangan kepada pembaca, sebaliknya, teruskan mengkaji ditempat yang lain..=p

Read Full Post »