Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Posts Tagged ‘Fiqh solat’


Benarkah antara tanda seorang itu wahabi ialah menggerakkan jari ketika tasyahhud?

Jawapan ;

Isu menggerakkan jari ketika tasyahhud ialah masalah yang diperselisihkan oleh ulama dikalangan empat mazhab lagi, beratus tahun sebelum gelaran wahabi kedengaran. Berikut ringkasannya ;

Pendapat pertama ; isyarat jari diangkat tanpa digerakkan.
( Mazhab Hanafi. Lihat badaie’ al-sanaie’ 1/214. Satu pendapat dlm Mazhab Malik. Lihat Al-zakhirah 2/212. Mazhab Syafie. Lihat mughni al-Muhtaj 1/378. Mazhab Hanbali. Lihat al-Insof 2/76)

Pendapat kedua ; digerak-gerakkan jari.
( Mazhab Malik. Lihat al-zakhirah 2/212. Satu pendapat dlm Mazhab Syafie. Lihat al-Majmuk 3/454. Satu pendapat dalam Mazhab Hanbali. Lihat al-Insof 2/76.)

Pendapat ketiga ; haram menggerak-gerakkan jari dan batal solat.
( diriwayatkan dari Ibn Abi Hurairah al-Syafie. Lihat al-Majmuk 3/454. Kata Al-Nawawi ; pendapat yg ganjil dan lemah).

Secara ringkasnya, sebab berlakunya perbezaan dlm masalah ini ialah kerana percanggahan diantara dua hadis iaitu ;

1- Hadis Abdullah bin Zubair ;
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يشير بأصبعه إذا دعا ولا يحركها
Maksudnya ; sesungguhnya nabi sallallahualaihiwasallam membuat isyarat dengan telunjuknya, jika berdoa, dia tidak menggerakkan jarinya itu.( riwayat Abu Daud no 989, al-Nasaie no 1270).

2- Hadis Wail bin Hujr ;
…ثم رفع إصبعه فرأيته يحركها يدعو بها.
Maksudnya ..kemudian baginda-sallallahualaihiwasallam-mengangkat jarinya, aku melihat dia menggerak-gerakkannya, sambil berdoa padanya. (Riwayat al-Nasaie no 889.)

Para ulama yang menyatakan isyarat jari telunjuk tidak digerakkan kerana menghukum hadis Wail sebagai syaz.

Adapun yang menyatakan sunnah menggerakkan jari pula mengatakan tambahan lafaz “لا يحركها” sebagai dhaif.(zaadul maad 1/238)

Kata Ibn Uthaimin( lihat al-Syarh al-Mumti’ 3/145-146 ) ; untuk menghimpunkan hadith-hadith ini mudah, penafian gerakan itu beerti pergerakan yang berterusan, dan menetapkan adanya gerakan itu beerti digerakkan ketika doa apabila anda berdoa,maka gerakkan sebagai isyarat ketinggian Allah swt. Iaitu pada ketika ;
١-السلام عليك أيها النبي
٢- السلام علينا
٣- اللهم صل على محمد
٤- اللهم بارك على محمد
٥- اللهم إني أسألك رضاك والجنة،،،الخ.
Justeru, apa yang dilakukan sebahagian orang yang berpegang bahawa menggerakkan jari itu sunnah dengan menggerakkan jari secara berterusan, sebahagiannya seperti bermain-main dengan jari, dibuat bentuk bulatan,atau mengeja lafaz Allah, kelihatannya tidak menepati sunnah.

Wallahua’lam.

Read Full Post »


Sebagai contoh, Bolehkah seorang yang bertaklid dengan mazhab Syafie berimamkan imam yang bermazhab Hanbali?

Masalah begini mungkin boleh dibahagikan kepada dua keadaan;

Keadaan pertama- Imam meninggalkan perbuatan yang diyakini oleh Makmum bahawa ianya wajib.

Contoh masalah ;
Ali meyakini pendapat yang mengatakan menyentuh wanita walau tanpa syahwat membatalkan wudhu’, Abu pula meyakini pendapat sebaliknya, sahkah solat Ali berimamkan Abu? Sedangkan dia tahu Abu telah batal wudu’ berdasarkan keyakinannya.

Ringkasnya fuqaha berbeza pendapat didalam hal ini,sebahagian mengatakan yang tidak sah solat Ali, dan sebahagian yg lain mengatakan sah solatnya.-wallahua’lam-pendapat yang lebih tepat ialah sah solat Ali yang berimamkan Abu.

Ia adalah pendapat Mazhab Malik( lihat Mukhtasar al-Khalil ; 32), satu pendapat dlm Mazhab Syafie( Raudhah al-Talibin 2/347), satu riwayat dr Imam Ahmad, kata al-Qhadi Abu Ya’la,ia adalah pendapat yang sahih didlm Mazhab Hanbali(al-Insof 2/262).

Kata Al-Muwaffaq Ibn Qudamah ; “adapun mereka2 yang berkhilaf dalam permasalahan furu’, seperti pengikut Mazhab Hanafi, Maliki, dan Syafie, maka sah solat dibelakang mereka dan tidak makruh. Ini adalah pendapat Ahmad. Ini kerana para sahabat dan tabien, serta yang datang selepas mereka berimamkan sesama mereka sedang mereka berkhilaf dalam perkara furu’…(al-Mughni 2/11).

Ini juga demi kemaslahatan yg lebih besar iaitu menzahirkan kesatuan dan kasih sayang sesama umat Islam.

Keadaan kedua – Imam meninggalkan sesuatu perbuatan yang dia yakini wajib sedang makmum tidak menganggapnya wajib.

Contoh masalah ;
Ali dan Ahmad makan daging unta bersama-sama,kemudian masuk waktu solat, Ali memegang pendapat bahawa wajib berwudhu selepas makan daging unta, sedang Ahmad berpendapat tidak wajib wudhu kerana makan daging unta,
jika Ali menjadi imam tanpa berwudhu setelah makan daging unta, adakah sah solat Ahmad sebagai makmum?

Fuqaha berselisih pendapat,-wallahua’lam, pendapat yang lebih tepat ialah tidak sah solat Ahmad berimamkan Ali.

Ini kerana imam meninggalkan perbuatan yang diyakini wajib, maka batal solatnya, dan batal solat orang yang mengikut imam yang batal solatnya dalam keadaan dia mengetahui hal itu.

Ini adalah pendapat sebahagian fuqaha Hanafi( Fath al-Qadir 1/381), pendapat al-Qafal dari Syafieah(al-Majmu’4/164), dan pendapat kebanyakan fuqaha Hanbali(al-Insaf 2/262).

#ASAR

Read Full Post »