Sering ditanya tentang permasalahan berkaitan tentang bolehkah bulu di peha, betis dan dada dicukur.
Secara umumnya, bulu yang tumbuh di badan manusia terbahagi kepada tiga bahagian mengikut hukum.
Bahagian pertama : bulu yang dilarang untuk dicukur.
Bulu yang tidak harus dicukur ialah janggut bagi lelaki dan bulu kening bagi lelaki dan perempuan. Ia bersandarkan kepada hadis nabi yang berikut ;
1- hadis berkaitan janggut. Diriwayatkan oleh Ibn Umar, sabda nabi saw :
أحفوا الشوارب وأعفوا اللحى
Maksudnya: tipiskanlah misai dan peliharalah janggut [ riwayat muslim; 52 ]
Daripada hadis ini dan hadis-hadis yang lain berkaitan dengan janggut seperti larangan menyerupai golongan majusi, majority ulama bersepakat bahawa adalah tidak dibenarkan untuk mencukur janggut.
2- hadis berkaitan bulu kening. Diriwayatkan dari Ibn Mas’ud, beliau berkata :
لعن رسول الله صلى الله عليه وسلم الواشمات والمستوشمات والمتنصمات
Maksudnya :rasulullah saw melaknat mereka yang membuat tatu dan meminta dibuatkan tatu, dan yang mencukur kening…..[riwayat bukhari ; 4886 ]
Hadis ini dan banyak lagi hadis-hadis yang berkaitan dengannya menjadi sandaran bahawa mencukur bulu kening adalah sesuatu yang diharamkan.
Bahagian kedua : bulu yang digalakkan untuk dicukur.
bulu yang digalakkan untuk dibuang dari tubuh manusia adalah berdasarkan sabda baginda saw seperti hadis yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra :
الْفِطْرَةُ خَمْسٌ – أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ – الْخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ، وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ، وَنَتْفُ الْإِبِطِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ
Maksudnya : lima perkara fitrah bagi insan, iaitu berkhitan (bersunat), mencukur bulu ari-ari, mengerat kuku, mencabut bulu ketiak dan memotong misai. [ riwayat Muslim ; 49 ]
Berdasarkan hadis ini, adaalah menjadi sesuatu yang disunatkan untuk kita mencukur atau memotong bulu ari-ari, bulu ketiak dan menipiskan misai.
Bahagian ketiga : tiada dalil syarak melarang untuk kita mencukurnya, dan tiada juga dalil yang menyuruh kita menyimpannya.
beerti tiada larangan untuk kita mencukurnya, atau untuk menyimpannya, seperti bulu hidung, bulu dada, dan bulu kaki serta tangan.
Justeru ia termasuk didalam perkara yang didiamkan oleh syarak, maka terpulang pada individu tersebut, samada hendak menyimpannya ataupun mencukurnya.
Ini berdasarkan sabda nabi saw :
الحلال ما أحل الله في كتابه ، والحرام ما حرم الله في كتابه وما سكت عنه فهو مما عفا عنه
Maksudnya : yang halal itu ialah yang dihalalkan oleh Allah didalam kitabNYA, yang haram itu ialah apa yang diharamkan oleh Allah didalam kitabNYA, apa-apa yang disenyapkan darinya(hukumnya), maka ia adalah dari apa yang dimaafkan. [riwayat Tirmizi ; 1726 ].
Wallahua’lam.