Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Kembara’ Category


Di RnR, ada diantara mereka yang tidak mahu solat jemaah mungkin disebabkan ;
( ini yang saya rasa la, mungkin ya mungkin tak) kalau ya, berikut sedikit ringkasan dlm hal ni, saya cuba ringkas berdasarkan mazhab al-imam Syafie rh. ;

1- takut berbeza niat dgn imam
2- mungkin tak tahu tatacara nk jemaah kalau berbeza niat dan jumlah rakaat.
3- tak tahu imam nak solat tamam ke qasar.

1- Boleh solat berjemaah sekalipun berbeza niat antara imam dan makmum.

Samada berimamkan orang yg solat sunat, atau solat wajib yg berbeza, seperti solat zohor dibelakang orang yg solat asar. ( lihat al-Majmuk 4/271, Raudhah al-thalibin 1/366)

Ianya bersandarkan hadis Jabir ra ; Muaz bin Jabal telah bersolat isya bersama baginda sallallahualaihiwasallam, kemudian beliau balik ke kampungnya, dan menjadi imam pula untuk solat yang sama kepada orang kampungnya. ( riwayat Bukhari ; 6106, Muslim ; 465 )

Hadis ini menceritakan tentang Muaz yang mengimami orang kampungnya, beliau melakukan solat isya kali kedua dengan niat sunat bukan wajib, sedang makmumnya menunaikan isya dengan niat wajib, keumuman hadis ini menunjukkan perbezaan niat antara imam dan makmum tidak menjadi masalah.

2- jika boleh berbeza niat antara imam dan makmum, jadi bagaimana caranya jemaah solat boleh dibuat sekalipun niat berbeza beza?

– jika jumlah rakaat sama, maka tidak menjadi masalah, solat seperti biasa.
– jika jumlah rakaat makmum lebih dari jumlah rakaat imam, tambah rakaat setelah imam beri salam.
– jika jumlah rakaat makmum kurang dari jumlah rakaat imam, seperti makmum nk solat maghrib dn imam solat isya, maka makmum ada dua pilihan samada ;

a- duduk tasyahhud akhir dan tunggu imam selesai rakaat keempat, kemudian beri salam bersama imam, dan ini adalah lebih baik. Atau ;
b- niat mufaraqah dan terus beri salam setelah selesai tiga rakaat. (Lihat al-Majmuk 4/247).

3- kita nak qasar solat, dan imam solat tamam atau kita x tahu imam nk qasar atau tamam, maka ringkasnya camni;

a- jika kita tahu atau ada kebarangkalian tinggi yang imam solat tamam,maka kita wajib untuk solat tamam, sekalipun kita hanya sempat tasyahhud akhir bersamanya.
Ini berdasarkan umum hadis nabi sallallahualaihiwasallam yg bermaksud ; “sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti”( riwayat Bukhari 722, Muslim ; 414)
Dan sabdanya lagi yg bermaksud ; “apa yg kamu sempat maka solatlah (bersamanya), dan apa yg terlepas, maka sempurnakanlah”( Bukhari ; 635, Muslim ;152)
Ini juga kerana hukum asal ialah solat tamam, qasar dibenarkan dengan syarat-syarat tertentu, jika syarat x terpenuhi, maka kembali kepada hukum asal.

b- jika kita yakin atau ada kebarangkalian tinggi yang imam nak qasar, ini biasanya jika solat di RnR atau di airport, maka kita boleh berniat qasar.
Ini kerana zahir dan kebiasaannya, org yg bersolat ditempat2 sebegini adalah musafir.

Tetapi jika didapati setelah itu yg imam itu solat tamam, maka makmum mesti mengikut imam, jadi niat qasar itu ditukar dari qasar kepada tamam. Ini juga berdasarkan keumuman dalil “sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti”

Dan jika kita x tau apakah niat imam, boleh juga ta’liq niat berdasarkan niat imam; cthnya camni ; ” jika imam qasar, aku qasar , jika imam tamam, aku solat tamam jgk”. Ianya sah menurut pendapat yg lebih tepat dlm mazhab Syafie rh. (Lihat perincian masalah dlm al-Majmuk 4/356)

Wallahualam,,

*tak dinafikan ada perbezaan pendapat dikalangan mazhab empat dlm permasalahan2 diatas.
*saya rasa tak selesa bila melihat masyarakat solat sendiri2 di surau2 RnR mahupun airport,

Read Full Post »

Suatu ketika di Sudan.


220px-Flag-map_of_Sudan.svgSemasa aku berada di Khartoum, Sudan, aku sentiasa mengikuti pengajian kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik rh yang disampaikan oleh Syeikh Umar( sudah lupa nama penuhnya)   disebuah masjid( juga lupa nama masjidnya), pada setiap hari Isnin selepas maghrib.

 Ketika beliau mensyarahkan hadith berkenaan tentang sunnah zikir subhanallah , juga Alhamdulillah dan allahuakbar ;

مَنْ سَبَّحُ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثاً وَثَلاَثِينَ. وَكَبَّرَ ثَلاَثاً وَثَلاَثِينَ. وَحَمِدَ ثَلاَثاً وَثَلاَثِينَ. وَخَتَمَ الْمِائَةَ بِلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، غُفِرَتْ ذُنُوبُهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya : barangsiapa yang bertasbih dan bertakbir dan bertahmid sebanyak 33 kali setiap satunya selepas solat, dan ditutup dengan la ilaha illa allah wahdahu la syarikalah lahulmulku walahulhamdu wahua ‘ala kulli syai’in qadir, nescaya akan diampunkan oleh Allah dosanya walaupun sebanyak buih dilautan dosanya itu.[ lihat al-Muwatta, hadith no. 714 ].

 Beliau ditanya oleh seorang daripada mereka yang hadir pada majlis tersebut ; ” ya syeikh, apakah jika seseorang bertasbih, bertakbir dan bertahmid lebih dari jumlah yang disebut didalam hadith tersebut, beliau akan mendapat ganjaran yang sama? Dan apakah ianya dibolehkan?”

Lebih kurang jawab syeikh begini ; pasti ada hikmahnya diberikan jumlah tertentu pada setiap kalimah tersebut( iaitu 33 kali) dan aku suka untuk berpada dengan apa yang disebut oleh baginda saw tanpa menambah mahupun mengurangkannya. Tidak aku katakan salah atau betul bagi mereka yang menambah atau mengurangi jumlah itu, tetapi bukankah hadith itu mengikat setiap zikir tersebut dengan jumlah tertentu? Ditakuti jika jumlah itu ditambah atau dikurangi, kita tidak dapat ganjarannya iaitu keampunan daripada dosa walaupun sebanyak buih dilautan.

Kesimpulan.

Aku cemburu dengan kesungguhan syeikh untuk berpegang teguh dengan sunnah dan berusaha mengikut ajaran nabi saw tanpa menambah atau menguranginya, walaupun sekadar berkaitan dengan jumlah zikir.  Dan siapalah kita untuk ‘menambah garam dan gula’ dalam ibadah dan sunnah, kerana dengan sangkaan ianya kurang menusuk dan umph…  berpadalah kita dengan apa yang ditunjuki oleh al-quran dan sunnah, walaupu urusan itu kelihatan remeh disisi manusia…

Read Full Post »

Ziarah Kemboja Part 2


Bermusafir bersama-sama Ali(pelajar kemboja di Universiti Islam Madinah), pada hari terakhir saya di bumi Kemboja dari Kampung Soi ke ibu Negara Kemboja, Phnom Penh. Perjalanan mengambil masa kira-kira 5 jam, banyak maklumat dan kisah perjuangan serta pengorbanan masyarakat Islam di kemboja diceritakan oleh beliau.

Ali, berusia 26 thn, masih bujang.

Terserempak dengan rombongan Dr Hasan Ali di sebuah pasar di Ibu Kota Kemboja, sempat bersalaman dengan mufti kerajaan Kemboja, Ustaz Kamaruddin. Juga tidak ketinggalan saya sempat mengunjungi pejabat HPA Kemboja, apa yang mengejutkan ialah, sahabat serumah saya ketika mengajar di Maahad al-Manar, Kelantan, adalah pengurus besar HPA Kemboja. Saudara Sulaiman Muhammad, sungguh tidak disangka pertemuan tersebut. Saya kagum dengan semangat beliau berjuang untuk membantu membangunkan ekonomi Muslim di Kemboja, cara berfikirnya jelas, untuk melihat survival Muslim di Kemboja terus maju.

Perjuangan Muslim di muka bumi Allah ini tidak akan berakhir melainkan nyawa yang dikandung tercerai dari badan. Perjuangan masyarakat Islam yang menjadi minoriti di Negara-negara yang berjiran dengan Malaysia, berterusan sehingga misi yang ingin digapai terlaksana. Lihat saja kesungguhan masyarakat Islam Mindanao di Filipina, dan saudara kita di selatan Thailand.

Sepintas tentang Muslim di Kemboja.

Ziarah saya ke Kemboja, membuka satu lagi lembaran kesedaran dalam diri ini, untuk tidak terus lena dan hanyut dibuai dunia yang sementara. Melihat perjuangan masyarakat Melayu Islam Champa yang berhijrah ke Kemboja sejak lebih seabad yang lalu. Setelah Kerajaan Melayu Champa ditewaskan oleh kerajaan Vietnam, penduduknya bertempiaran lari ke beberapa negeri nusantara, Kemboja satu daripadanya.

Kemboja dijajah oleh Perancis sehinggalah mencapai kemerdekaan pada tahun 1953. Sejarah hitam masyarakat Muslim di Kemboja bermula apabila kerajaan Kemboja dikuasai oleh Presiden yang bernama Pol Pot pada tahun 1975. Beliau menjalankan usaha penghapusan etnik Melayu Champa di Kemboja.

Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham serta mempunyai adat resam dan sejarah yang tersendiri menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Sejak tahun 1974 lagi ‘alim ulama’ Islam sudah mula dibunuh. Apabila Pnom Penh, ibukota Kemboja jatuh pada tahun 1975, keseluruhan ahli Majlis Mufti Kemboja telah ditangkap, dipenjara dan kemudiannya terus dibunuh.

Wanita ditegah dari memakai tudung, berbaju labuh, sesiapa yang melakukan ritual agama seperti solat dan membaca al-Quran akan dibunuh, masjid dan surau menjadi stor simpanan makanan, dipaksa memakan babi, dan pelbagai lagi seksaan dan penderitaan yang ditanggung oleh masyarakat Muslim dibawah pemerintahan Pol Pot. Hampir 90 ribu Muslim yang dibunuh dibawah pemerintahan lelaki ini.

Keadaan ini berlarutan sehingga tahun 1979, sehinggalah Hun sen( sehingga hari ini beliau terus menjadi Presiden Kemboja) berpakat dengan kerajaan Vietnam untuk menjatuhkan Pol pot, dan ianya berhasil, berakhirlah penderitaan Masyarakat Islam dibawah kekejaman Pol Pot.

Hari ini, masyarakat Islam di Kemboja bebas mengamalkan agama, aktiviti keagamaan tidak dihalang. Namun, terpancar kebimbangan di wajah-wajah sahabat saya di Kemboja, betapa mereka bimbang, bantuan yang dihulurkan oleh Vietnam suatu masa dahulu, bukanlah percuma, hari ini sedikit demi sedikit terlihat, ekonomi dipegang dan dikawal Vietnam, malah mereka dapat membaca yang Vietnam punya misi untuk menjadikan Kemboja itu sebagai sebahagian dari Vietnam, sebagaimana negeri Melayu Champa yang kini hanya tinggal sejarah.

Read Full Post »

Ziarah Kemboja Part 1


Pada 28hb 6 yang lalu, saya bersama dengan 7 orang ikhwah ISMA Arab Saudi berangkat menuju ke Kampung Soi, Kemboja, untuk menjalankan aktiviti kebajikan bersama dengan anak-anak penduduk kampong tersebut, juga bersama dengan penduduk kampong.

di sebuah rumah penduduk kampung

 Penduduk Muslim di Kemboja adalah terdiri dari kaum Melayu Champa, tiada bezanya wajah-wajah mereka dengan melayu di Malaysia, bahasanya juga banyak persamaan.

Setelah seminggu berada di kampong tersebut, pelbagai coretan dan kisah yang ingin saya kongsi agar ia terus kekal di memori saya, menjadi peringatan dimasa akan datang, saya hanya berada di kampong tersebut seminggu sahaja berbanding yang lain, mereka akan terus berada di kampong tersebut sehingga 13hb 7.

“Berat telinga mendengar cerita, berat lagi mereka yang melaluinya.”

Alhamdulillah sepanjang seminggu tersebut, saya memberi yang termampu, mengajar al-Quran, memberi tazkirah maghrib(diterjemahkan oleh Ali, seorang pelajar kemboja yang menuntut di Universiti Islam Madinah) di surau dan masjid sekitar kampong, dan menyertai aktiviti ziarah penduduk kampong.

Kehidupan penduduk kampong yang majoritinya melakukan kerja-kerja pertanian dan penternakan, kelihatan amat dhaif, kebanyakan rumah yang kami ziarahi, tangganya hampir roboh, ada diantara mereka yang hanya memperolehi pendapatan rm1 sehari dengan mengambil upah menjahit jala.

nenek ini berusia 80 tahun, sudah bercicit, anak-anak dan cucunya juga majoritinya miskin

Jika ingin diterjemahkan kesemuanya dengan tulisan, maka ia memerlukan puluhan helaian lembaran untuk menceritakan kesusahan penduduk Kampong soi( boleh dikatakan majority umat Islam di Kemboja berada dibawah paras miskin, bukan sekadar di Kampong Soi).

Kampong soi baru sahaja menerima bekalan elektrik beberapa bulan yang lalu, sebelum ini penduduk hanya menggunakan lampu pelita untuk menerangi kegelapan malam.

Hidup penuh kenikmatan.

Hidup kita di Malaysia, secara umumnya, adalah amat baik dan selesa, tolak tepi dulu soal kerajaan yang makan duit rakyat. Kita kurang rasa syukur, terlalu banyak merungut dan menuntut. Keberadaan saya di Kampong Soi membuat saya kembali berfikir, betapa nikmatnya kehidupan di Malaysia. Anak-anak masih dapat pergi ke sekolah, masih punya wang untuk membeli air sirap dan nasi lemak diwaktu rehat, berpeluang melanjutkan pelajaran diperingkat tertinggi, majoritinya dapat menyediakan keperluan asas, makanan, pakaian, tempat tinggal dan pendidikan kepada keluarga dan anak-anak.

semoga kalian menjadi generasi yang membangunkan ummah

Tetapi mereka, untuk menyediakan makanan untuk santapan malam hari juga perlu berkira-kira. Walaubagaimanapun, Alhamdulillah sudah semakin ramai si kaya( muslim Kemboja sendiri, dan rakyat Malaysia) yang membiayai pendidikan anak-anak kampong sehingga ke peringkat tertinggi.

Sejarah pendudukan Islam di Kemboja.

Saya akan nukilkannya di tulisan akan datang InsyaAllah, sejarah dan pengorbanan penduduk Melayu-Islam champa yang sangat meruntun jiwa dan membangkitkan semangat saya untuk berkhidmat demi agama Islam..

Read Full Post »