Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘hadith’ Category

Hidup tak selalu indah..


Menulis  abjad meluah rasa,

 memujuk jiwa yang sedang gulana,

 jari jemari yang menari,

 merakam kalam bisu,

 berkongsi rasa dalam jiwa,

 agar diri merasa akrab,

dengan si Dia Yang Maha Mencipta..

huh..semakin menghampiri peperiksaan, dikala dapur dan mesin basuh merajuk, seakan tiada harapan untuk dipujuk, entah kenapa jiwa ni sentiasa hendak berpuitis pula..

namun, aku tidaklah hendak menerus rentak puitis canggung ini, ayat tonggang langgang tidak disisir rapi, kelak mengundang kehairanan si pencinta bahasa..

aku ingin berkongsi.

Apa yang ditulis diatas bukanlah mukaddimah kepada matlamat, sekadar mengalun jari tanpa tujuan.

Sabda baginda saw sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah ibn Amru :

 لكل عمل شرة ولكل شرة فترة فمن كانت فترته إلى سنتي فقد أفلح ومن كانت إلى غير ذلك فقد هلك 

Maksudnya : bagi setiap amalan itu ada masa kemuncaknya(pen ; semangat sangat), dan bagi setiap kemuncak itu, ada fatrahnya( masa lemahnya), barang siapa yang masa lemahnya itu, dia berada pada sunnahku, maka dia berjaya, barang siapa yang masa lemahnya itu, dia berada bukan pada sunnahku, maka hancurlah dia,[ Ahmad ; 6958 ].

Hadith ini memberi petunjuk, bahawa adanya satu masa, yang kita akan lemah dan tidak semangat menerus juang, memburu redha pada ketaatan..

Ada hari kita kuat, semua dugaan menjadi mudah,terasa diri amat dekat, dengan taufiq dan hidayat..

Namun hikmah Allah, ada yang tidak tergapai dek akal dan kewarasan, namun semuanya demi kebaikan, untuk Dia melihat, siapakah yang benar imannya.

Semalam begitu semangat dengan dakwah, mengajak manusia mendatangi kebaikan, namun hari ini, kemana hilang perginya jiwa itu?

Semalam tenggelam dengan keenakan ibadah, terasa hati suci dek penangan kebaikan yang menyulami kehidupan, namun mana perginya semua itu pada hari mendatang?

Inilah hikmah tuhan

Fitrah kurniaan tuhan, demi menguji kebenaran iman, jika insan merasa lemah, menerus juang memburu iman..

 kembalilah kepada sunnah rasul saw, berpegang teguh tanpa ragu, pohon padaNya, agar kekuatan yang hilang, dikembalikan kepada hati, agar rindu pada iman membunga tidak layu..

terasa lemah di jalan dakwah, jangan gundah memohon padaNYA, tiada rasa putus harap, teruslah meminta agar dikembalikan semangat dan ketekunan, menabur bakti membina ummat..

jangan diikut rasa hati, usah biar nafsu menjadi tuhan, tatkala lemah, jangan lari dari rahmatNya, kelak binasa tewas dengan cubaanNYA..

demikian insan, Allah menguji manusia dengan pelbagai ujian, membezakan antara kebenaran iman dan kepalsuannya.

Dan ini satu darinya, apabila terasa lemah dalam mentaatiNya, berdoalah kepadaNya, agar dikembalikan semangat itu, jangan dibiar diri tewas dan terus merasa lemah..kelak binasa entah kemana..

Sekian perkongsian..Allah kurniakan kami kesabaran dalam mentaatiMu, kesabaran dalam meninggalkan laranganMu, dan kesabaran dalam setiap ujian dariMu..

Wallahua’lam,,,,

Read Full Post »

« Newer Posts