Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘hadith’ Category


Diceritakan ketika Baginda saw di akhir-akhir hayatnya, dikatakan bahawa Rasulullah saw berucap di masjid, kemudian bertanya kepada orang ramai:

مَنْ كَانَتْ لَهُ قِبَلِي مَظْلَمَةٌ فَلْيَقُمْ فَلْيَقْتَصَّ مِنِّي

“Siapa yang pernah aku zalimi sebelum ini, balaslah semula perbuatan aku itu (qisas)…”

Baginda bertanya sehingga tiga kali, bangun seorang sahabat bernama ‘Ukkasyah. Dipendekkan cerita, ‘Ukkasyah memberitahu bahawa dalam satu peperangan, ketika telah selesai, unta tunggangan beliau dan unta tunggangan Rasulullah beriringan, lalu beliau pun turun dari tunggangan untuk mencium peha baginda, tiba-tiba baginda mengangkat cemetinya dan terpukul dada beliau tanpa disedari dan tidak sengaja. Jadi sekarang ‘Ukkasyah hendak membalasnya semula kepada Rasulullah.

Semua para sahabat marah dan menangis, sampai hati ‘Ukkasyah hendak melakukan hal itu kepada rasulullah. Ada yang ingin menggantikan tempat Rasulullah saw, tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah, dan ‘Ukkasyah juga tidak mahu.

Kata beliau, semasa baginda memukulnya, perutnya terbuka tidak berlapik, jadi beliau meminta Rasulullah membuka perutnya, apabila baginda membuka perutnya, beliau pun terus mengucupnya. Sebenarnya itulah yang dikehendaki oleh beliau, bukan untuk melakukan qisas. Dikatakan Rasulullah menyebut bahawa ‘Ukkasyah adalah temannya di syurga.

Betulkah kisah ini?

Sedih tak mendengar atau membaca kisah ini? Memang menyedihkan, lebih-lebih lagi kalau dibaca dengan teks asalnya dalam bahasa arab. Cerita ini begitu popular dalam kalangan masyarakat, selalu diulang-ulang, ceramah agama, mahupun kem motivasi, disebar melalui media sosial.

Tetapi malangnya kisah ini tidak sabit, ianya diriwayatkan dalam hadis yang panjang, riwayat al-Tabaraniy dalam al-Kabir, juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya’[1].

Kisah ini adalah sebahagian daripada hadis panjang yang sama dimana diceritakan Malaikat Maut meminta izin untuk mencabut nyawa Baginda saw. Jadi tidak perlu diulang perbahasan sanadnya, Cuma secara ringkas, ianya tidak sabit, bahkan palsu menurut al-Haitsamiy, kerana terdapat perawi yang bernama Abdul Mun’im bin Idris yang disebut sebagai kuat berbohong, juga bapanya Idris bin Sinan yang berstatus matruk.[2]

Kisah yang sabit mirip kisah ‘Ukkasyah

Kisah ‘Ukkasyah yang tidak sabit itu, jalan penceritaannya memang bermain dengan air mata, itu yang menjadi halwa telinga, tapi janganlah disebarkan lagi, kerana ianya tidak sabit.

Ada kisah yang sabit, mirip kisah ‘Ukkasyah ini, tetapi bukan ‘Ukkasyah orangnya, orangnya ialah sahabat yang bernama Usaid bin Hudhair. Abu Dawud meriwayatkan dalam Sunannya:

عَنْ أُسَيْدِ بْنِ حُضَيْرٍ – رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ – قَالَ بَيْنَمَا هُوَ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ وَكَانَ فِيهِ مِزَاحٌ بَيْنَا يُضْحِكُهُمْ فَطَعَنَهُ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم فِى خَاصِرَتِهِ بِعُودٍ فَقَالَ أَصْبِرْنِى. فَقَالَ « اصْطَبِرْ ». قَالَ إِنَّ عَلَيْكَ قَمِيصًا وَلَيْسَ عَلَىَّ قَمِيصٌ.

فَرَفَعَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم عَنْ قَمِيصِهِ فَاحْتَضَنَهُ وَجَعَلَ يُقَبِّلُ كَشْحَهُ قَالَ إِنَّمَا أَرَدْتُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ

“Daripada Usaid bin Hudhair –seorang lelaki Ansar-, beliau berkata, pada satu hari ketika sekumpulan orang sedang bersembang, ada gurauan dan jenaka dalam perbualan itu yang menyebabkan mereka tertawa. Tiba-tiba Rasulullah saw memukul bahagian dada Usaid dengan kayu. Lalu kata Usaid, mari sini aku pukul semula. Jawab baginda, pukullah. Kata Usaid, kau ada baju, tadi kau pukul aku, aku tak berbaju, lalu Baginda saw pun mengangkat bajunya, lalu Usaid pun mencium tubuh Rasulullah saw, kata beliau, ini yang aku hendak sebenarnya.”

(HR Abu Dawud: 5226)[3]

Hadis ini dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabiy.[4] Syeikh Syu’aib al-Arnauth berkata, sanadnya sahih mengikut syarat sahihain,[5] dinilai sahih juga Syeikh al-Albaniy.[6]

Kisah ini lebih kepada gurauan, bukanlah serius seperti kisah ‘Ukkasyah. Apapun, begitulah tabiat para sahabat, sangat mencintai Baginda saw. Demikianlah kita, berusahalah mengamalkan sunnah-sunnah baginda sebagai bukti kecintaan kita kepada Rasulullah saw, hendak dipeluk cium, baginda telah wafat, tinggallah warisan Baginda saw kepada kita, iaitu hadis-hadis sahih yang menjadi panduan kita.

Sebagai faedah tambahan, ‘Ukkasyah bin Mihson adalah orang yang disebut sebagai antara 70 ribu umat nabi yang akan masuk ke syurga tanpa hisab.[7]

[1] Hilyah al-Awliya’, 4/73

[2] Rujuk perbahasan dalam blog ini berkaitan benarkah Malaikat Maut meminta Izin Rasulullah saw untuk mencabut nyawanya.

[3] Turut direkodkan oleh al-Baihaqiy dalam al-Sunan al-Kubra: 13970

[4] Lihat al-Mustadrak: 5262

[5] Musnad Ahmad, Tahqiq: Syeikh Syu’aib al-Arnauth, 17/328.

[6] Sahih Sunan Abi Dawud, al-Albaniy, no: 5224

[7] Lihat Sahih al-Bukhari: 5705

Read Full Post »


Dikatakan ketika Baginda ﷺ berada hampir dengan saat kewafatannya, Malaikat Maut diutuskan menyerupai lelaki arab kepada Rasulullah ﷺ untuk dicabut nyawanya. Setibanya di depan pintu rumah baginda, Malaikat Maut memberi salam dan meminta izin untuk masuk, tidak dibenarkan Fatimah untuk memasuki rumah, sehinggalah kali ketiga Malaikat maut meminta izin, ianya didengari Rasulullah ﷺ, dan baginda mengizinkannya untuk masuk. Kemudian ditanya kepadanya, “engkau datang untuk menziarahiku atau untuk mencabut nyawaku? Jawab Malaikat maut:

جِئْتُكَ زَائِرًا وَقَابِضًا ، وَأَمَرَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ لا أَدْخُلَ عَلَيْكَ إِلا بِإِذْنِكَ ، وَلا أَقْبِضَ رُوحكَ إِلا بِإِذْنِكَ ، فَإِنْ أَذِنْتَ وَإِلا رَجَعْتُ إِلَى رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ

“Aku datang untuk menziarahi dan mencabut nyawamu, Allam memerintahkan aku untuk tidak masuk melainkan dengan izinmu, dan tidak mencabut nyawamu melainkan dengan izinmu. Kalau kau izinkan, aku cabut, kalau tidak, aku kembali kepada Allah swt.”

Dan begitulah sehingga akhir kisah yang panjang, yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir.[1]

Kisah ini memang menyedihkan dan boleh membuat air mata jatuh, tetapi adakah kisah Malaikat maut meminta izin ini dan dialog antaranya dengan rasulullah benar berlaku?

Riwayat ini didatangkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir ini, ianya tidak boleh diterima kerana dalam rantaian sanadnya terdapat perawi yang bernama Abdul Mun’im bin Idris dan bapanya Idris bin Sinan, riwayat mereka berdua bermasalah.

Kata Ahmad bin Hanbal, Idris bin Sinan ini berdusta ke atas Wahab bin Munabbih.

Kata al-Bukhari, Abdul Mun’im bin Idris ini “zahib al-hadis”. Ali bin al-Madiniy, Abu Daud dan al-Nasaie menyatakan Abdul Mun’im tidak thiqah. Kata al-Daraqutniy: “Abdul Mu’im dan Idris adalah dua orang yang matruk.”[2]

Al-Haitsami merekodkan hadis ini dan katanya selepas itu:

رواه الطبراني وفيه عبد المنعم بن إدريس وهو كذاب وضاع

“Diriwayatkan oleh al-Tabarani, pada sanadnya, perawi bernama Abdul Mun’im bin Idris, dia seorang pembohong dan pemalsu hadis.”[3]

Al-Tabaraniy turut mendatangkan kisah ini dalam bab yang lain, antaranya daripada riwayat Ali bin al-Husain. Yang mana ianya juga lemah kerana terdapat perawi Abdullah bin Maimun al-Qadah.

Kata Ibn Abi Hatim, “aku mendengar bapaku berkata tentangnya sebagai munkarul hadis.” Abu Zur’ah menyebutnya sebagai wahi al-hadis.[4]

Begitu juga riwayat lain berkenaan hal itu, yang juga tidak sabit kisah tersebut.

Al-Syeikh Ibn al-‘Uthaimin pernah ditanya tentang hal ini, adakah sahih? Maka jawab beliau, kisah ini tidak sahih, Malaikat maut tidak datang dan meminta izin kepada baginda…[5]

Sebenarnya kisah kewafatan rasulullah itu sendiri adalah perkhabaran yang tersangat menyedihkan, sebagaimana yang kita tahu, sehinggakan Umar tidak boleh menerima hal itu, ingin dipancung kepala mereka yang mengatakan Muhammad ﷺ telah wafat. Sehinggalah Saidina Abu Bakr berucap yang menyebabkan sekalian sahabat menangisi kewafatan baginda:

فَحَمِدَ اللَّهَ أَبُو بَكْرٍ وَأَثْنَى عَلَيْهِ، وَقَالَ: أَلا مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ…

“Abu Bakar memuji Allah, kemudian berucap, “ketahuilah sesiapa yang menyembah Muhammad ﷺ, sesungguhnya Muhammad telah wafat, sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah hidup dan tidak akan mati. Kemudian beliau membaca firman Allah:

وَقَالَ: {إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ} ، وَقَالَ: {وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ}

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.” ( al-Zumar: 30) “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” (Ali Imran: 144)

 

(HR al-Bukhari: 3668)

Berpadalah dengan kisah-kisah yang sahih, tidak perlu ditarik perhatian pendengar dengan mendatangkan riwayat-riwayat yang tidak benar melainkan untuk memberitahu bahawa kisah itu tidak sabit.

Orang sedih, dia pun nak sedih, orang kata rindu nabi, dia pun kata rindu nabi, orang ajak solat Jemaah, dia kata kau pergi dulu, sekejap lagi aku pergi, sampai ke sudah tak nampak batang hidung.

[1] Lihat teks penuh hadis dalam Al-Mu’jam al-Kabir, al-Tabarani, hadis no: 2610

[2] Al-Dhu’afa’ wa al-Matrukin, Ibn al-Jauziy, 2/ 154

[3] Majma’ al-Zawaid, 8/605.

[4] Al-Jarh wa al-Ta’dil, Ibn Abi Hatim 5/172.

[5] Liqa’ al-Bab al-Maftuh, Ibn ‘Uthaimin 2/340.

Read Full Post »


Cerita tentang perjalanan hijrah Rasulullah ﷺ daripada Makkah ke Madinah, antara yang sering diceritakan ialah bagaimana Rasulullah ﷺ dan Abu Bakr bersembunyi di Gua Tsur, dan terdapat labah-labah yang membuat sarang di pintu gua tersebut, benarkah kisah labah labah tersebut?

Imam Ahmad dalam Musnad beliau meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdul Razzaq, daripada Ma’mar daripada ‘Uthman al-Jazari, daripada Miqsam Mawla Ibn Abbas, daripada Ibn Abbas tentang Firman Allah:

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu…”

Kata Ibn Abbas:

تَشَاوَرَتْ قُرَيْشٌ لَيْلَةً بِمَكَّةَ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: إِذَا أَصْبَحَ، فَأَثْبِتُوهُ بِالْوَثَاقِ، يُرِيدُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلِ اقْتُلُوهُ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ أَخْرِجُوهُ، فَأَطْلَعَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ نَبِيَّهُ عَلَى ذَلِكَ، فَبَاتَ عَلِيٌّ عَلَى فِرَاشِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ اللَّيْلَةَ، وَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى لَحِقَ بِالْغَارِ، وَبَاتَ الْمُشْرِكُونَ يَحْرُسُونَ عَلِيًّا، يَحْسَبُونَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أَصْبَحُوا ثَارُوا إِلَيْهِ، فَلَمَّا رَأَوْا عَلِيًّا، رَدَّ اللهُ مَكْرَهُمْ، فَقَالُوا: أَيْنَ صَاحِبُكَ هَذَا؟ قَالَ: لَا أَدْرِي، فَاقْتَصُّوا أَثَرَهُ، فَلَمَّا بَلَغُوا الْجَبَلَ خُلِّطَ عَلَيْهِمْ، فَصَعِدُوا فِي الْجَبَلِ، فَمَرُّوا بِالْغَارِ، فَرَأَوْا عَلَى بَابِهِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ، فَقَالُوا: لَوْ دَخَلَ هَاهُنَا، لَمْ يَكُنْ نَسْجُ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى بَابِهِ، فَمَكَثَ فِيهِ ثَلَاثَ لَيَالٍ

Pada satu malam, kaum Quraish bermesyuarat di Makkah, sebahagian mereka mencadangkan, apabila pagi, ikat dia,-orang yang mereka maksudkan ialah Rasulullah -, sebahagian yang lain mencadangkan, “bahkan, kamu bunuh dia”, yang lain mencadangkan, “halau dia keluar”, Allah mengilhamkan kepada Rasulullah sehingga baginda mengetahui perancangan jahat mereka. Maka Nabi meminta Ali untuk tidur di tempat pembaringan baginda pada malam tersebut…apabila kaum Quraish melihat, orang yang berada di pembaringan Nabi itu ialah Ali, mereka bertanya, mana Muhammad? Jawab Ali, aku tidak tahu. Mereka pun mengekori kesan tapak kaki perjalanan baginda sehingga sampai ke kaki bukit, mereka keliru ke mana arah baginda. Kemudian mereka mendaki bukit sehingga melalui sebuah gua. Mereka mendapati terdapat sarang labah-labah. Kata mereka, “kalau ada orang yang masuk ke dalam gua ini, tak mungkin ada sarang labah-labah di pintu gua ini. baginda bersembunyi di dalam gua itu selama tiga hari.”[1]

Kisah ini dinilai sebagai hasan oleh Ibn Kathir, beliau menyebut:

وَهَذَا إِسنَادٌ حَسَن وَهُوَ مِن أَجَوَد مَا رُوِيَ فِي قِصَّةِ نَسج العَنكَبُوتِ عَلَى فَمِ الغَارِ

“Sanadnya hasan, ianya adalah riwayat yang paling berkualiti bagi kisah labah-labah membina sarang di pintu gua.” [2]

Tetapi dalam karya beliau yang lain iaitu al-Fusul fi Sirah al-Rasul, kelihatan seperti beliau menilai kisah ini sebagai lemah, kerana beliau mendatangkannya dengan sighah tamridh.

Al-Hafiz Ibn Hajar juga menilainya sebagai hasan dalam Fath al-Bari, tetapi dalam masa yang sama beliau juga menilai seorang perawi dalam rangkaian sanad kisah ini iaitu ‘Uthman al-Jazari sebagai dhaif dalam Taqrib.[3]Kata Imam Ahmad, beliau meriwayatkan hadis-hadis yang munkar.[4]

Kerana itu, Syeikh Ahmad Syakir, penilai terulung yang menyemak status hadis-hadis dalam Musnad Ahmad, turut melihat bahawa sanad hadis ini perlu diteliti kerana padanya perawi bernama ‘Uthman al-Jazariy.[5]

Selain itu, al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin turut kelihatan cenderung kepada penilaian kisah ini sebagai lemah kerana apa yang boleh difahami daripada perkataan Abu Bakr:

لَو أَنّ أَحَدَهُم نَظَرَ تَحتَ قَدَمَيهِ لَأَبصَرَنَا

“Kalau seorang daripada mereka melihat ke bawah dua kaki mereka, pasti dia akan ternampak kami.”

“وَفِيه دَلِيلٌ عَلَى أَنّ قِصّةَ نَسجِ العَنكَبُوت غَيرُ صَحِيحَة، فَمَا يُوجَد فِي بَعضِ التَّوَارِيخ أَنّ العَنكَبُوتَ نَسَجَتْ عَلَى بَابِ الغَارِ، وَأَنّه نَبَتَ فِيه شَجَرَة، وَأَنّهُ كَانَ عَلَى غُصنِهَا حَمَامَة.. كُلّ هَذَا لَا صِحَّةَ لَه؛ لِأَنّ الذِّي مَنَعَ المُشركِين مِن رُؤيَةِ النّبِي – صلى الله عليه وسلم – وَصَاحِبِه أَبِي بَكْر – رضي الله عنه – لَيسَتْ أمورًا حِسِّيَة تَكُونُ لَهُمَا وَلِغَيرِهِمَا بَل هِي أُمُورٌ مَعنَوِيَةٌ وَآيةٌ مِن آيَاتِ اللهِ عَزّ وَجَلّ

“Pada perkataan itu dalil yang menunjukkan kisah labah-labah membuat sarang itu tidak sahih, apa yang didapati dalam petikan sejarah bahawa labah-labah membuat sarang di pintu gua, adanya pohon yang tumbuh padanya, juga burung merpati yang membuat sarang…semuanya ini tidak sahih. Kerana perkara yang menghalang kaum musyrik daripada terlihat Baginda dan sahabatnya Abu Bakr, bukanlah perkara yang boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi adalah perkara maknawi yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, dan ianya adalah ayat(petunjuk kebesaran) daripada ayat-ayat Allah.”[6]

Al-Syeikh al-Albani turut menilai kisah ini sebagai lemah,[7] katanya hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah berkaitan kisah ini dalam surah al-Taubah: 44:

“Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) Maka Sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia (Rasulullah ) salah seorang dari dua orang (bersama Abu Bakr) ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia (Muhammad) berkata kepada temannya (Abu Bakr): “Janganlah kamu berduka cita, Sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan al-Quran menjadikan orang-orang kafir Itulah yang rendah. dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa Allah menurunkan pertolongan dengan tentera yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Adapun labah-labah, ianya boleh dilihat dengan mata kasar.

Kerana itulah al-Imam al-Baghawi (510 H) dalam tafsir beliau berkaitan ayat ini menyebut:

وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْها، وَهُمُ الْمَلَائِكَةُ نَزَلُوا يَصْرِفُونَ وَجُوهَ الكفار وأبصارهم عن رؤيته

“Baginda dibantu dengan tentera yang tidak boleh dilihat, Mereka ialah Malaikat yang diturunkan, mereka memalingkan wajah-wajah kaum kuffar dan pandangan mereka daripada terlihat kepada Rasulullah .[8]

Wallahua’lam, yang mana satu sekalipun, samada pertolongan yang boleh dilihat dengan mata kasar, atau yang tidak boleh dilihat, kedua-duanya tetap menunjukkan kekuasaan Allah dalam memelihara rasulNya dan mereka yang beriman kepadaNya dengan sebenar-benar iman.

Yang menjadi masalahnya, kita yang tak buat apa-apa ini, tapi mengharap pertolongan Allah untuk memenangkan Islam dan kaum muslimin.

Kekuatan umat Islam untuk menang mendapat pertolongan Allah, tidak lain, ialah dengan kembali kepadaNya, disamping cuba bersaing dalam membangunkan teknologi dan strategi.

[1] Musnad Ahmad: 3251. Syeikh Syu’aib al-Arnauth menilai sanadnya sebagai dhaif kerana Uthman al-Jazari.

[2] Al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/221.

[3] Taqrib al-Tahzib, m/s 386

[4] Al-Jarh wa al-Ta’dil, 6/174.

[5] Musnad Ahmad. Tahqiq oleh Syeikh Ahmad Syakir, 3/388-389

[6] Syarh Riyadh al-Salihin, 1/564.

[7] Silsilah al-Ahadits al-Dha’ifah, 3/263.

[8] Ma’alim al-Tanzil, al-Baghawi, 2/353.

Read Full Post »


Kisah ini merupakan antara ‘bed time story’ yang agak kerap saya dengar ketika remaja dahulu, Kisahnya begini, dikatakan seorang sahabat Nabi saw yang digelar Abu Mua’llaq, daripada kalangan Ansar, beliau merupakan seorang peniaga, seorang yang kuat ibadah dan sangat wara’. Pada satu ketika, beliau sedang bermusafir untuk berniaga, dalam perjalanan, beliau ditahan oleh seorang pencuri yang lengkap bersenjata. Berlaku perbualan antara mereka:

ضَع مَا مَعَك فَإِنّي قَاتِلُكَ قَالَ : مَا تُرِيدُ إِلَى دَمِي؟ شَأنُكَ بِالمَالِ قَال : أَمّا المال فَلِي وَلَستُ أُرِيدُ إلِا دَمَك قَال : أَمَا إِذَا أَبَيتَ فَذَرنِي أُصَلِّي أَربَعَ ركَعَات قَال : صَلِّ مَا بَدَا لَك

Pencuri itu berkata, “tinggalkan apa yang engkau ada, dan aku hendak membunuh engkau.” Abu Mi’laq menjawab, “kenapa engkau hendak bunuh aku, sedangkan kau hendak harta sahaja?” Pencuri itu menjawab, “adapun harta, untuk aku, dan aku tidak berkeinginan selain daripada membunuh engkau.” Jawab Abu Mua’llaq, “kalau begitu, beri aku peluang untuk solat empat rakaat.” Pencuri itu menjawab, “solatlah berapa rakaat yang engkau hendak pun.”

 

Beliau pun bersolat, sehingga ketikas sujud yang terakhir, beliau membaca:

يَا وَدُودُ يَا ذَا العَرشِ المجِيدِ يَا فَعَّالُ لِمَا يُرِيدُ أَسألُكَ بِعِزّكَ الّذِي لَا يُرَامُ وَمُلكِكَ الّذِي لَا يُضَامُ وَبنُورِكَ الّذِي مَلَأَ أَركَانَ عَرشِكَ أَن تَكفِيَنِي شَرَّ هَذَا اللِّص يَا مُغِيثُ أَغِثْنِي يَا مُغِيثُ أَغِثنِي ثَلَاثَ مَرّاتٍ قَال : دَعَى بِهَا ثَلَاثَ مَرّاتٍ

“Wahai tuhan yang pengasih, pemilik ‘arasy yang mulia, wahai tuhan yang mampu melakukan segala yang dikehendaki, aku memohon dengan kemuliaanMu yang tidak terbatas, kerajaan Mu yang tidak tertewas, cahayaMu yang memenuhi setiap bucu Arasy, Kau halanglah kejahatan pencuri ini wahai Yang memberi pertolongan, tolonglah aku, wahai Yang memberi pertolongan, tolonglah aku (3 kali).”

 

Selepas itu, tiba-tiba datang seseorang yang berkuda, bersamanya sebatang tombak, menikam dan membunuh pencuri tersebut. Kemudian lelaki itu menyuruh Abu Mua’llaq bangun.

Beliau bertanya kepada lelaku itu, “siapa engkau?” lelaki itu menjawab, “aku malaikat daripada penduduk lapisan langit yang keempat, engkau berdoa dengan doa engkau yang pertama, aku mendengar pintu-pintu langit bergegar, kemudian engkau berdoa dengan doa kedua, aku mendengar penduduk langit bertempikan, kemudian engkau berdoa dengan doa yang ketiga, seseorang bekata kepada ku, ini doa orang yang kesempitan, aku pun meminta kepada Allah agar menghantar aku untuk membunuh pencuri itu.

Kata Malaikat itu lagi, ketahuilah bahawa sesiapa yang berwudu, kemudian solat empat rakaat dan berdoa dengan doa ini, nescaya akan dijawab doanya, samada dalam keadaan susah atau tidak.

Apakah kisah ini sahih?

Kisah ini antara yang menukilkannya ialah Ibn Abi al-Dunya (281H),[1] mereka yang menukilkan selepas itu, semuanya melalui sanad Ibn Abu al-Dunya. Seperti Ibn Bisyakwal, Abdul Ghaniy al-Maqdisiy,[2] Dhiya’ al-Din al-Maqdisiy[3], Ibn Hajar[4] dan lain-lain.

Kisah ini diriwayatkan dengan sanad yang agak bermasalah, terdapat seorang perawi, iaitu al-Kalbiy, beliau adalah majhul, seorang yang tidak dikenali. Dan kalau al-Kalbiy yang dimaksudkan ialah pengarang tafsir, beliau dikritik oleh ilmuan jarh dan ta’dil. Antaranya sebagaimana kata Ibn Hibban:

مَذهَبُهُ فِي الدِّينِ وَوُضُوحُ الكَذبِ فِيه أَظهَرُ مِن أَن يُحتَاجَ إِلى الإغرَاقِ فِي وَصفِهِ

“Mazhabnya dalam beragama (syiah rafidhah) dan kejelasan pendustaan padanya adalah terlalu jelas daripada hendak diselidiki perihalnya lebih mendalam.” [5]

Kesimpulannya, sebagaimana kata Syeikh Masyhur Aal Salman, sanad-sanad kisah ini tidak sahih, sanadnya bermasalah samada kelihatan kelam dan kabur, atau terdapat pendusta dalam rangkaian sanadnya.[6]

 

Bolehkah diamalkan doa tersebut?

Doa yang terdapat dalam riwayat ini, mempunyai maksud yang baik, tidak bertentangan dengan prinsip akidah dan syariah. Boleh sahaja diungkap ketika berdoa meminta hajat kepada Allah, dengan syarat tanpa ada keyakinan akan fadhilat-fadhilat tertentu yang khusus bagi doa tersebut kerana fadhilatnya tidak sabit.

[1] Mujabu al-Da’wah, m/s 64.

[2] Al-Targhib fi al-Du’a, m/s 105.

[3] Al-‘Uddah li al-Kurab wa al-Syiddah, m/s 72.

[4] Al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah, 7/314.

[5] Dinukil daripada Mizan al-I’tidal, al-Zahabiy, 3/559.

[6] Lihat perbahasan lanjut dalam karya beliau, Qasasun la Tasbut, 8/81.

Read Full Post »


Benarkah antara tanda seorang itu wahabi ialah menggerakkan jari ketika tasyahhud?

Jawapan ;

Isu menggerakkan jari ketika tasyahhud ialah masalah yang diperselisihkan oleh ulama dikalangan empat mazhab lagi, beratus tahun sebelum gelaran wahabi kedengaran. Berikut ringkasannya ;

Pendapat pertama ; isyarat jari diangkat tanpa digerakkan.
( Mazhab Hanafi. Lihat badaie’ al-sanaie’ 1/214. Satu pendapat dlm Mazhab Malik. Lihat Al-zakhirah 2/212. Mazhab Syafie. Lihat mughni al-Muhtaj 1/378. Mazhab Hanbali. Lihat al-Insof 2/76)

Pendapat kedua ; digerak-gerakkan jari.
( Mazhab Malik. Lihat al-zakhirah 2/212. Satu pendapat dlm Mazhab Syafie. Lihat al-Majmuk 3/454. Satu pendapat dalam Mazhab Hanbali. Lihat al-Insof 2/76.)

Pendapat ketiga ; haram menggerak-gerakkan jari dan batal solat.
( diriwayatkan dari Ibn Abi Hurairah al-Syafie. Lihat al-Majmuk 3/454. Kata Al-Nawawi ; pendapat yg ganjil dan lemah).

Secara ringkasnya, sebab berlakunya perbezaan dlm masalah ini ialah kerana percanggahan diantara dua hadis iaitu ;

1- Hadis Abdullah bin Zubair ;
أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يشير بأصبعه إذا دعا ولا يحركها
Maksudnya ; sesungguhnya nabi sallallahualaihiwasallam membuat isyarat dengan telunjuknya, jika berdoa, dia tidak menggerakkan jarinya itu.( riwayat Abu Daud no 989, al-Nasaie no 1270).

2- Hadis Wail bin Hujr ;
…ثم رفع إصبعه فرأيته يحركها يدعو بها.
Maksudnya ..kemudian baginda-sallallahualaihiwasallam-mengangkat jarinya, aku melihat dia menggerak-gerakkannya, sambil berdoa padanya. (Riwayat al-Nasaie no 889.)

Para ulama yang menyatakan isyarat jari telunjuk tidak digerakkan kerana menghukum hadis Wail sebagai syaz.

Adapun yang menyatakan sunnah menggerakkan jari pula mengatakan tambahan lafaz “لا يحركها” sebagai dhaif.(zaadul maad 1/238)

Kata Ibn Uthaimin( lihat al-Syarh al-Mumti’ 3/145-146 ) ; untuk menghimpunkan hadith-hadith ini mudah, penafian gerakan itu beerti pergerakan yang berterusan, dan menetapkan adanya gerakan itu beerti digerakkan ketika doa apabila anda berdoa,maka gerakkan sebagai isyarat ketinggian Allah swt. Iaitu pada ketika ;
١-السلام عليك أيها النبي
٢- السلام علينا
٣- اللهم صل على محمد
٤- اللهم بارك على محمد
٥- اللهم إني أسألك رضاك والجنة،،،الخ.
Justeru, apa yang dilakukan sebahagian orang yang berpegang bahawa menggerakkan jari itu sunnah dengan menggerakkan jari secara berterusan, sebahagiannya seperti bermain-main dengan jari, dibuat bentuk bulatan,atau mengeja lafaz Allah, kelihatannya tidak menepati sunnah.

Wallahua’lam.

Read Full Post »


terdapat tiga pendapat yang berbeza dikalangan ahli ilmu dalam permasalahan ini.

Pendapat pertama ; ketika mengucap syahadah ; dianggkat ketika perkataan nafi “لا” dan diturunkan semula ketika ithbat “إلا” (Mazhab Hanafi. Lihat Hasyiah Ibn Abidin 2/216)

Pendapat kedua ; mengangkat jari telunjuk dari mula sehingga akhir tasyahhud.(Mazhab Malik. Lihat Hasyiah al-dusuqi 1/251), dan satu riwayat dalam Mazhab Ahmad. Lihat al-Insaf 3/535.

Pendapat ketiga ; mengangkatnya ketika perkataan “إلا الله” (Mazhab Syafie. Lihat al-Majmu’ 3/434).

Ahli ilmu yang berbeza pandangan dalam permasalahan ini bersandarkan dalil yang sama, cuma ia dilihat dari sudut pemahaman yang berbeza. Antara dalilnya ialah hadith Abdullah bin Zubair ;

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا جلس في التشهد وضع يده اليمنى على فخذه اليمنى ويده اليسرى على فخذه اليسرى، وأشار بالسبابة ولم يجاوز بصره إشارته.
Maksudnya ; rasulullah ketika beliau duduk tasyahhud,meletakkan tangan kanan diatas peha kanan dan tangan kiri di peha kiri, mengangkat jari telunjuk dan matanya berterusan melihat jari tersebut.(riwayat Nasaie no. 1275, kata al-Albani; hasan sahih).

Hadith ini dan hadith-hadith yang lain dalam bab ini, umum menyatakan bahawa nabi sallallahualaihiwasallam membuat isyarat dengan jari telunjuk, tanpa ada menyatakan bilakah ianya diangkat dan bila ianya diturunkan, jadi keumuman itu dikekalkan selagi tiada dalil yang mengkhususkannya.

Ditambah dengan perkataan-perkataan seperti “كان” dan “إذا” pada hadith diatas dan beberapa riwayat hadith lain yang menunjukkan perbuatan yang berterusan.

Justeru-Allah lebih mengetahui- pendapat yang kedua-pendapat Imam Malik dan riwayat dalam Mazhab Hanbali yang menyatakan bahawa membuat isyarat dengan jari telunjuk daripada mula tasyahhud sehingga selesai tasyahhud adalah pendapat yang kelihatannya adalah paling dekat dengan dalil-dalil sunnah didalam bab ini.

Wallahua’lam.

Read Full Post »

Uban dan Pau Rendang


Kelmarin, ketika aku memandu kereta seorang diri ke Hulu Langat, terlihat seorang makcik menjual pau, aku pun22ki berhenti untuk mengepau sebarang dua pau rendang daripadanya,,

Ketika menunggu makcik membungkus pau rendang, terlihat sepasang suami isteri sedang “berasmara” dibawah pokok yang rendang, si isteri sedang mencabut uban di kepala sang suami…

 Badan suami dia, pergh.. macam badang, sedang badan aku pula macam badang juga, tapi tanpa “G”..

Hadith berkaitan mencabut uban.

Sebenarnya ada larangan dari baginda saw tentang mencabut uban.

Antaranya seperti :

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ، عَنْ أَبِيهِ، عَنْ جَدِّهِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” لَا تَنْتِفُوا الشَّيْبَ، مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَشِيبُ شَيْبَةً فِي الْإِسْلَامِ إِلَّا كَانَتْ لَهُ نُورًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ.  وَقَالَ فِي حَدِيثِ يَحْيَى – إِلَّا كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِهَا حَسَنَةً، وَحَطَّ عَنْهُ بِهَا خَطِيئَةً

Maksudnya : dari ‘Amru bin Syuaib, dari bapanya, dari datuknya ; berkata Rasulullah saw : janganlah kamu mencabut uban, tidaklah bagi seorang muslim yang tumbuh uban didalam Islam kecuali ia menjadi cahaya di hari kiamat. ( pada riwayat Yahya ; kecuali Allah menulis kebaikan padanya dan menghapuskan kesalahan padanya.)

 [ Hadith riwayat Abu Daud ;4202, at-Tirmizi ; 2821, an-Nasa’ie ;5068, Ibn Majah ;3721, lafaz hadith diatas ialah dari riwayat Abu Daud ]

Berdasarkan hadith diatas, dapatlah kita ketahui bahawa mencabut uban kepala adalah sesuatu yang dilarang, ia termasuk juga uban dimisai..

Secara zahirnya, hadith diatas menunjukkan larangan yang membawa maksud haram. Namun ianya diperselisihkan oleh para Ulama, sebahagiannya mengatakan yang ianya adalah haram, dan sebahagian yang lain pula mengatakannya adalah makruh.

Kata al-Muwaffaq Ibn Qudamah-berdasarkan hadith diatas dan yang lain- ; “dan dimakruhkan mencabut uban.” [lihat al-Mughni ; 1/68].

Sekian cerita hari kelmarin,, sebenarnya ada cerita lain, iaitu cerita “sibapa menegah anaknya memegang mushaf al-quran tanpa wudu’ sedang ditangan kirinya terjuntai batang rokok tinggal separuh”..

Entah bila nak diceritakan untuk diingat dan disembang dihari tua..

Read Full Post »

Suatu ketika di Sudan.


220px-Flag-map_of_Sudan.svgSemasa aku berada di Khartoum, Sudan, aku sentiasa mengikuti pengajian kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik rh yang disampaikan oleh Syeikh Umar( sudah lupa nama penuhnya)   disebuah masjid( juga lupa nama masjidnya), pada setiap hari Isnin selepas maghrib.

 Ketika beliau mensyarahkan hadith berkenaan tentang sunnah zikir subhanallah , juga Alhamdulillah dan allahuakbar ;

مَنْ سَبَّحُ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثاً وَثَلاَثِينَ. وَكَبَّرَ ثَلاَثاً وَثَلاَثِينَ. وَحَمِدَ ثَلاَثاً وَثَلاَثِينَ. وَخَتَمَ الْمِائَةَ بِلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، غُفِرَتْ ذُنُوبُهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ

Maksudnya : barangsiapa yang bertasbih dan bertakbir dan bertahmid sebanyak 33 kali setiap satunya selepas solat, dan ditutup dengan la ilaha illa allah wahdahu la syarikalah lahulmulku walahulhamdu wahua ‘ala kulli syai’in qadir, nescaya akan diampunkan oleh Allah dosanya walaupun sebanyak buih dilautan dosanya itu.[ lihat al-Muwatta, hadith no. 714 ].

 Beliau ditanya oleh seorang daripada mereka yang hadir pada majlis tersebut ; ” ya syeikh, apakah jika seseorang bertasbih, bertakbir dan bertahmid lebih dari jumlah yang disebut didalam hadith tersebut, beliau akan mendapat ganjaran yang sama? Dan apakah ianya dibolehkan?”

Lebih kurang jawab syeikh begini ; pasti ada hikmahnya diberikan jumlah tertentu pada setiap kalimah tersebut( iaitu 33 kali) dan aku suka untuk berpada dengan apa yang disebut oleh baginda saw tanpa menambah mahupun mengurangkannya. Tidak aku katakan salah atau betul bagi mereka yang menambah atau mengurangi jumlah itu, tetapi bukankah hadith itu mengikat setiap zikir tersebut dengan jumlah tertentu? Ditakuti jika jumlah itu ditambah atau dikurangi, kita tidak dapat ganjarannya iaitu keampunan daripada dosa walaupun sebanyak buih dilautan.

Kesimpulan.

Aku cemburu dengan kesungguhan syeikh untuk berpegang teguh dengan sunnah dan berusaha mengikut ajaran nabi saw tanpa menambah atau menguranginya, walaupun sekadar berkaitan dengan jumlah zikir.  Dan siapalah kita untuk ‘menambah garam dan gula’ dalam ibadah dan sunnah, kerana dengan sangkaan ianya kurang menusuk dan umph…  berpadalah kita dengan apa yang ditunjuki oleh al-quran dan sunnah, walaupu urusan itu kelihatan remeh disisi manusia…

Read Full Post »


Disunatkan kita memperbanyakkan selawat kepada baginda saw pada hari Jumaat, sebagai antara tanda kecintaan kitaimages kepadanya. Sebagaimana sabdanya :

إن من أفضل أيامكم يوم الجمعة فيه خلق الله آدم وفيه قبض وفيه النفخة وفيه الصعقة فأكثروا من الصلاة علي فيه….

Maksudnya : sesungguhnya sebaik-baik hari bagi kamu ialah hari jumaat, pada hari tersebut Allah mencipta Nabi Adam, dan padanya dimatikan, juga pada hari jumaat akan berlakunya kiamat, maka perbanyakkanlah selawat keatasku pada hari jumaat…. [lihat Targhib wa tarhib, al-Munziri 1/336].

Selawat dan rabiul awwal.

Begitu meriah sambutan bulan kelahiran baginda saw di Malaysia, dimana sahaja kedengaran alunan nasyid-nasyid selawat di corong-corong pembesar suara, ditambah pula dengan pelbagai perarakan disana sini. Entah apa kaitannya antara berarak dengan menyatakan kecintaan kepada baginda saw, saya kurang pasti.

Semoga mereka yang bersungguh bersemangat menyatakan kecintaan kepada baginda saw di rabiulawwal dengan pelbagai majlis salawat dan berarak, tetap terus bersemangat untuk lebih mendalami ilmu-ilmu sunnah baginda saw pada bulan-bulan yang mendatang.

Bidaahkah amalan dan sambutan maulid sebagaimana di Malaysia?

Polemik ini terus dibahaskan oleh para Ilmuan, dan aku bukanlah orangnya untuk turut serta membincangkannya diruangan ini.

Namun, aku pasti semua yang berbeza pendapat tentang itu, bersepakat yang amalan sedemikian tidak pernah disambut oleh baginda saw, mahupun sekalian sahabat yang diredhai Allah.

Pada titik persamaan itulah, menutut hemat aku, kita bersepakat yang lebih baik adalah mencintai baginda saw menurut apa yang diajar oleh nabi saw, mengikut jalan dan cara para salafussoleh. Iaitu dengan mempelajari dan mengamalkan sunnah-sunnah baginda saw dalam kehidupan seharian kita, bermula dari bangun tidur sehinggalah  kita tidur semula, mengikut kemampuan kita.

Dengan itu, tahulah kita yang mana satu lebih perlu diutamakan,,,

sesungguhnya belum tentu mereka yang putus-putus urat leher menjerit berselawat dan berqasidah memuji baginda saw ditambah dengan bersakit-sakit lutut berarak itu lebih cinta dan mengenal rasulullah saw berbanding mereka yang benar-benar berusaha mempelajari dan mengamalkan sunnah baginda saw dalam kehidupan sehariannya, sekalipun dia tidak menyertai apa yang dilakukan oleh orang kebanyakan pada rabiulawwal ini.

 

Berkirim salam kepada baginda saw.

Hal ini menjadi satu kebiasaan yang berlegar didalam masyarakat. Adakah amalan ini mempunyai sandaran untuk diamalkan? Aku juga sering diminta untuk mengirim salam kepada baginda saw jika pergi ke masjid nabawi di Madinah Munawwarah.

Islam adalah agama yang sangat mudah diamalkan, jangan disusah-susahkan,,

 apa kata baginda saw berkenaan dengan selawat dan salam keatasnya?

Sabda baginda saw :

لا تجعلوا بيوتكم قبرا ولا تجعلوا قبري عيدا وصلوا عليّ فإن صلاتكم تبلغني حيث كنتم.

Maksudnya : janganlah kamu jadikan rumah kamu seperti kuburan, janganlah kamu jadikan kuburku suatu perayaan, berselawatlah kepadaku, sesungguhnya selawat kamu sampai kepadaku dimana juga kamu berada. [lihat Abu Daud ; 2042 ]

Hadis ini memberi petunjuk yang jelas kepada kita, yang kita tidak perlu meminta orang mengirim salam kepada baginda saw di kubur baginda saw.

 Tetapi kita sendiri yang mengucap selawat dan salam kepada nabi saw, dimana juga kita berada, diceruk hutan, di perhentian bas, mahupun ketika menunggu giliran kat pejabat pos. selawat dan salam kita akan sampai kepada baginda saw!!

Ditambah pula, kenapa kita meminta orang lain yang menyampaikan salam kita kepada baginda saw? sedangkan yang menyampaikan salam kita kepada baginda saw adalah orang yang jauh lebih baik dari orang tersebut.

Sabda nabi saw :

إن لله في الأرض ملائكة سياحين يبلغوني من أمتي السلام

Maksudnya : sesungguhnya bagi Allah itu para malaikat di bumi, mereka menyampaikan kepadaku salam umatku.[ lihat al-bidayah wa al-nihayah ; Ibn Kathir ;5/241]

Justeru, untuk apa kita meminta orang lain mengirim salam kita kepada bainda saw, sedang salam kita telah disampaikan oleh Malaikat yang tidak berdosa.

Kesimpulan.

Semoga Allah menanam rasa dan cinta dan kasih didalam hati kita kepada nabi saw dengan berusaha sedaya upaya untuk mempelajari dan mengamalkan sunnahnya.

Berselawatlah kepada baginda saw dengan cara yang diajar oleh baginda, aku yakin yang demikian adalah suatu kesepakatan diantara kita bahawa itu adalah yang terbaik.

Read Full Post »

Riya’ vs Ikhlas


قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : إن أخوف ما أخاف عليكم الشرك الأصغر : الرياء.

Maksudnya : sabda nabi saw: sesungguhnya perkara yang paling aku takut sekali keatas kamu ialah syirik kecil : iaitu riya’ [riwayat Ahmad].

Makna riya’

Riya’ adalah perkataan bahasa arab dari kata kerja 4 huruf(راءى) =(فاعل).kata kerja empat huruf sebegini boleh memberi dilalah(maksud) yang pelbagai. Tetapi disini, maksud yang sesuai ialah menjadikan sesuatu perbuatan itu boleh dilihat oleh orang lain. Atau dengan bahasa yang lebih mudah, menunjuk-nunjuk..

Itu disudut ilmu sorofnya,,

 Disudut syara’ pula, boleh dimaksudkan sebagai melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah, atau meninggalkan laranganNYA dengan niat bukan kerana Allah, tetapi, selainNYA.

Hukum riya’

Riya’ disebut sebagai syirik kecil, ia dianggap syirik kerana seseorang melakukan sesuatu ibadah dengan niat bukan kerana Allah, tetapi kerana sebab-sebab yang lain. Maka dia telah menyekutukan Allah pada niat.. riya’ tidak menyebabkan seseorang muslim terkeluar dari agamanya, tetapi dia berdosa dan tidak diterima amalan tersebut disisi Allah.

Riya’ sifat orang munafiq.

Kita maklum yang munafiq itu menyembunyikan kekufuran dan menzahirkan keimanan,, maka riya’ itu adalah sifat mereka, Firman Allah yang bermaksud :

mereka itu riya’ kepada manusia, dan tidaklah mereka itu mengingati Allah kecuali sedikit“[ a-Nisa’ : 142]

Nabi saw sebut, kerisauan yang paling dahsyat pada diri baginda saw keatas umatnya adalah riya’, kenapa? Kerana perasaan riya’ boleh menyelinap tanpa kita sedari, kerana ia tidak boleh dilihat, Cuma boleh dirasa..tempatnya dihati, hati itu mudah terbalik-balik,,,,,,

tiada bertepi.

Kata Ibn Qayyim :  syirik pada kehendak dan niat itu seperti laut yang tiada tepinya, sedikit sahaja dikalangan manusia yang selamat darinya [ al-Jawab al-Kafi ; 115 ].

Sembahyang, puasa sunat, sedekah,baca quran, belajar agama, ceramah, tulis blog, status di facebook dan twitter, usrah, tolong orang, dan banyak lagi, apa juga amalan kebaikan yang insan lakukan, pasti rasa yang jahat ini cuba untuk singgah dan menetap didalam hati si pelaku kebaikan…

Ustaz, penceramah, pelajar agama,  imam masjid, bilal, siak, pemandu, jurutera, doktor, peniaga, perdana menteri, ahli parlimen, ADUN tanpa mengira parti mana pun dia, miskin, kaya, tua, muda,,,siapapun dia, parasit ini pasti cuba menyelinap masuk kedalam hati-hati mereka..

Sabda nabi saw yang bermaksud ;

Sesiapa yang melakukan sesuatu amalan, dia mensyirikkan aku pada amalan tersebut, maka aku tinggalkan dia dan apa yang dia sekutukan itu.”[ riwayat Muslim]

Tinggalkan kebaikan atau tinggalkan riya’?

Kerana takutkan riya’, adakah caranya dengan meninggalkan amal kebaikan? Tentu sekali tidak, sudah tentu dengan menolak sedaya upaya perasaan riya’ yang menjengah hati.. amal mesti dilakukan, jangan kerana alasan takutkan riya’, ditinggalkan solat berjemaah, kerana meninggalkan solat jemaah kerana takut riya’ itulah sebenarnya riya’!

Riya’ itu lawannya ikhlas.

Jika riya’ itu tempatnya hati, demikian juga ikhlas, hati itu tempat letaknya taqwa, bukan di mulut yang bertutur, tidak juga di jari yang menari-nari menulis di blog, facebook dan twitter.

Hadis yang menceritakan tentang setiap amalan itu berdasarkan niat, kata Imam Syafie,  ia memasuki lebih 70 bab dalam masalah fiqh, jumlah yang disebut itu bukanlah memaksudkan bilangan tersebut, tetapi bermaksud betapa besarnya peranan niat dan hati bagi sesuatu amalan. Sebagaimana firman Allah :

Jika kamu(Muhammad) memohon ampun untuk mereka sebanyak 70 kali pun, aku tidak akan memaafkan mereka“[ at-Taubah ;80]

Angka 70 itu tidak bermaksud menunjukkan bilangan, tetapi maksudnya, sebuah perumpamaan ;banyak mana sekali Baginda saw memohon ampun untuk golongan munafiqin, maka tetap mereka tidak diampunkan.

Demikianlah niat, amalan yang sama dilakukan oleh si A dan si B, tetapi kerana niat yang berbeza, mungkin sahaja seorang ke neraka dan seorang ke syurga..

Akhirnya

Riya’ dan ikhlas tak mungkin duduk semeja didalam hati seseorang, jika ada riya padanya, maka pergilah ikhlas. Begitulah sebaliknya,.. riya dan ikhlas itu selamanya akan bergaduh dan bersaing merebut tempat didalam hati manusia,,,

“Maka sesiapa yang mengharapkan bertemu dengan Allah, maka henndaklah dia beramal soleh dan dia tidak menyekutukan tuhannya dengan sesuatu pun dalam amalan tersebut.”    [ al-Kahfi ;110 ].

Read Full Post »

Older Posts »