Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Aqidah’ Category


Disunatkan kita memperbanyakkan selawat kepada baginda saw pada hari Jumaat, sebagai antara tanda kecintaan kitaimages kepadanya. Sebagaimana sabdanya :

إن من أفضل أيامكم يوم الجمعة فيه خلق الله آدم وفيه قبض وفيه النفخة وفيه الصعقة فأكثروا من الصلاة علي فيه….

Maksudnya : sesungguhnya sebaik-baik hari bagi kamu ialah hari jumaat, pada hari tersebut Allah mencipta Nabi Adam, dan padanya dimatikan, juga pada hari jumaat akan berlakunya kiamat, maka perbanyakkanlah selawat keatasku pada hari jumaat…. [lihat Targhib wa tarhib, al-Munziri 1/336].

Selawat dan rabiul awwal.

Begitu meriah sambutan bulan kelahiran baginda saw di Malaysia, dimana sahaja kedengaran alunan nasyid-nasyid selawat di corong-corong pembesar suara, ditambah pula dengan pelbagai perarakan disana sini. Entah apa kaitannya antara berarak dengan menyatakan kecintaan kepada baginda saw, saya kurang pasti.

Semoga mereka yang bersungguh bersemangat menyatakan kecintaan kepada baginda saw di rabiulawwal dengan pelbagai majlis salawat dan berarak, tetap terus bersemangat untuk lebih mendalami ilmu-ilmu sunnah baginda saw pada bulan-bulan yang mendatang.

Bidaahkah amalan dan sambutan maulid sebagaimana di Malaysia?

Polemik ini terus dibahaskan oleh para Ilmuan, dan aku bukanlah orangnya untuk turut serta membincangkannya diruangan ini.

Namun, aku pasti semua yang berbeza pendapat tentang itu, bersepakat yang amalan sedemikian tidak pernah disambut oleh baginda saw, mahupun sekalian sahabat yang diredhai Allah.

Pada titik persamaan itulah, menutut hemat aku, kita bersepakat yang lebih baik adalah mencintai baginda saw menurut apa yang diajar oleh nabi saw, mengikut jalan dan cara para salafussoleh. Iaitu dengan mempelajari dan mengamalkan sunnah-sunnah baginda saw dalam kehidupan seharian kita, bermula dari bangun tidur sehinggalah  kita tidur semula, mengikut kemampuan kita.

Dengan itu, tahulah kita yang mana satu lebih perlu diutamakan,,,

sesungguhnya belum tentu mereka yang putus-putus urat leher menjerit berselawat dan berqasidah memuji baginda saw ditambah dengan bersakit-sakit lutut berarak itu lebih cinta dan mengenal rasulullah saw berbanding mereka yang benar-benar berusaha mempelajari dan mengamalkan sunnah baginda saw dalam kehidupan sehariannya, sekalipun dia tidak menyertai apa yang dilakukan oleh orang kebanyakan pada rabiulawwal ini.

 

Berkirim salam kepada baginda saw.

Hal ini menjadi satu kebiasaan yang berlegar didalam masyarakat. Adakah amalan ini mempunyai sandaran untuk diamalkan? Aku juga sering diminta untuk mengirim salam kepada baginda saw jika pergi ke masjid nabawi di Madinah Munawwarah.

Islam adalah agama yang sangat mudah diamalkan, jangan disusah-susahkan,,

 apa kata baginda saw berkenaan dengan selawat dan salam keatasnya?

Sabda baginda saw :

لا تجعلوا بيوتكم قبرا ولا تجعلوا قبري عيدا وصلوا عليّ فإن صلاتكم تبلغني حيث كنتم.

Maksudnya : janganlah kamu jadikan rumah kamu seperti kuburan, janganlah kamu jadikan kuburku suatu perayaan, berselawatlah kepadaku, sesungguhnya selawat kamu sampai kepadaku dimana juga kamu berada. [lihat Abu Daud ; 2042 ]

Hadis ini memberi petunjuk yang jelas kepada kita, yang kita tidak perlu meminta orang mengirim salam kepada baginda saw di kubur baginda saw.

 Tetapi kita sendiri yang mengucap selawat dan salam kepada nabi saw, dimana juga kita berada, diceruk hutan, di perhentian bas, mahupun ketika menunggu giliran kat pejabat pos. selawat dan salam kita akan sampai kepada baginda saw!!

Ditambah pula, kenapa kita meminta orang lain yang menyampaikan salam kita kepada baginda saw? sedangkan yang menyampaikan salam kita kepada baginda saw adalah orang yang jauh lebih baik dari orang tersebut.

Sabda nabi saw :

إن لله في الأرض ملائكة سياحين يبلغوني من أمتي السلام

Maksudnya : sesungguhnya bagi Allah itu para malaikat di bumi, mereka menyampaikan kepadaku salam umatku.[ lihat al-bidayah wa al-nihayah ; Ibn Kathir ;5/241]

Justeru, untuk apa kita meminta orang lain mengirim salam kita kepada bainda saw, sedang salam kita telah disampaikan oleh Malaikat yang tidak berdosa.

Kesimpulan.

Semoga Allah menanam rasa dan cinta dan kasih didalam hati kita kepada nabi saw dengan berusaha sedaya upaya untuk mempelajari dan mengamalkan sunnahnya.

Berselawatlah kepada baginda saw dengan cara yang diajar oleh baginda, aku yakin yang demikian adalah suatu kesepakatan diantara kita bahawa itu adalah yang terbaik.

Read Full Post »

Ketakutan dan Harapan


index

Tiada kata indah yang pandai untuk aku hamparkannya demi menyemai bibit cinta kepadaNYA di hati, namun aku sedar yang kata-kata penuh puitis bukan sering menjadi kemestian agar hati terikat mengingati Sang Pencipta..

Hidayah itu milik Dia, adakalanya jalan manusia menggapai hidayah itu tak terlintas dek akal manusia yang dangkal, namun, haruslah sentiasa insan itu mengharap dan terus mengharap agar kehidupannya ditunjuki jalannya oleh Tuhan alam ini sehinggalah dia sampai ke negeri yang kekal abadi.

Perasaan seorang manusia.

Fitrah manusia itu memiliki perasaan mengharap dan takut pada sesuatu. Pelbagai harapan yang terus menjadi sasaran bagi seseorang. Mengharapkan kekayaan, kesenangan, keluarga bahagia, pangkat, jawatan dan sebagainya.

Juga makhluk yang bergelar insan ini, tidak terlepas dari merasai ketakutan. Takut pada kegagalan, takut miskin, takut bencana, takut mati, takut hantu, dan pelbagai lagi ketakutan yang menyelubungi dan menghantui manusia.

Perasaan seorang muslim.

Manusia yang memegang gelaran muslim juga demikian, kerana harapan dan ketakutan itu adalah fitrah insan. Namun hidup ini bukan menongkat dunia, perjalanan hidup lebih kurang 60-70 tahun yang dirasa lama, hakikatnya terlalu singkat. Maka harapan dan ketakutan itu bukan sekadar pada urusan keduniaan semata, bahkan akhirat yang panjang itu, jauh lebih berhak untuk diharap dan ditakuti,,

Bunyinya seakan canggung, bagaimana kita mengharap pada sesuatu, tetapi dalam masa yang sama kita takut terhadapnya?

Ia sama sekali tidak canggung dan sumbang, bahkan memang demikianlah hakikatnya, kita mengharapkan keindahan dan kesenangan kurniaan tuhan di akhirat kelak, dan kita takut dengan kehuru-haraan dan kesusahan di akhirat.

Firman Allah swt ;

أمن هو قانت ءانآء الليل ساجدا وقائما يحذر الآخرة ويرجوا رحمة ربه قل هل يستوي الذين يعلمون والذين لا يعلمون.

Maksudnya : (Pen-apakah orang musyrik lebih beruntung?) atau orang yang beribadah pada waktu malam, sujud dan berdiri kerana takut kepada azab di akhirat dan mengharapkan rahmat tuhannya? Katakanlah; adakah sama antara orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui? [ surah az-Zumar 9 ].

kerana itu, mereka yang berjihad di jalan Allah, tiada lagi ketakutan terhadap kematian, kerana ketakutan mereka kepada azab Allah dan harapan mereka terhadap rahmat dan kasih sayang Allah telah menguasai hati dan jiwa mereka, dan mengusir ketakutan pada sebuah kematian dan pelbagai janji palsu yang dihidangkan oleh dunia.

………..

Namun haruslah dibezakan antara harapan dan angan-angan. Manusia yang mengharapkan kekayaan akan berusaha sedayanya untuk mencapai kejayaan yang diimpi.

Tetapi mereka yang berangan-angan untuk menggapai kekayaan, tidak perlu berusaha, hanya perlu berbaring dan meletakkan tangannya di dahi,,,

Demikian jugalah akhirat, mereka yang mengharapkan kesenangan disitu, haruslah berusaha melakukan kebaikan dan amal soleh dan apa sahaja yang boleh membawanya kearah kesenangan tersebut dengan petunjuk rasul saw.

Perasaan sang munafiq.

Semoga kita dijauhi dan diselamatkan dari menjadi sebahagian darinya.

Kata al-Hasan ra ; ” dan munafiq itu menghimpunkan amalan jahat dan merasa aman dan selamat dari  dibalasan kejahatannya” [ Syarh Aqidah tahawiyah, oleh Ibn Abi al-Izz ; 2/98 ].

Sesorang itu mungkin merasa biasa dengan dosa kecil, bahkan tidak rasa bersalah ketika melakukannya, memandang lekeh dan buat tidak endah atas dosa itu,,Allah,,

أَفَأَمِنُوا مَكْرَ اللَّهِ فَلا يَأْمَنُ مَكْرَ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْخَاسِرُونَ

Maksudnya : apakah mereka merasa aman dari seksaan Allah? Maka tiada yang merasa aman dari seksaannya melainkan orang yang rugi [ surah al-A’raf ;99 ].

……….

Kewajiban seorang Muslim.

Bukan sunat, mahupun harus, tetapi wajib bagi setiap individu Muslim itu memiliki rasa takut dan mengharap kepada Allah yang maha penyayang dan maha pedih azabnya.

Ketakutan itulah yang menghalangnya dari melakukan maksiat…

Harapan itulah yang menjadikan dia tidak berputus asa kepada rahmat dan keampunan tuhan tatkala terbabas dan tergelincir melakukan dosa…

Harapan itu jugalah yang mesti ditanam didalam jiwa tatkala melakukan amalan kebaikan, mengharap Allah akan menerimanya tanpa ragu!

لا يموتن أحدكم إلا وهو يحسن الظن بربه

Maksudnya : janganlah seseorang dari kalangan kamu mati kecuali dia mati dalam keadaan berbaik sangka kepada tuhannya [ hadis riwayat Muslim ; 2877 ]

Allah itu tidak pernah menzalimi hambanya,,

harapkanlah rahmat dan keampunannya dengan beramal soleh dan bertaubat..

takutlah akan azabNYA dengan meninggalkan laranganNYA…

Read Full Post »


Briged Al-Qassam

Hari ini, umat Islam di Palestin terus diganyang tanpa simpati oleh Zionis, jihad masih berterusan tanpa ada rasa lelah, demi membebaskan bumi bertuah yang dirampas musuh Allah juga musuh umat Islam.

Kisah di Palestin telah berlarutan berpuluh tahun, namun keyakinan mestilah disemat dijiwa yang Islam tetap akan menguasainya kembali. Usaha harus diteruskan.

Jihad dalam Islam.

Secara umumnya, semua agama membincangkan tentang peperangan, dan Islam sudah tentu tidak terkecuali membincangkannya, disudut disiplin, tatacara, adab dan kaedah peperangan.

Malah, kita sebagai umat Islam bukan sahaja dituntut berjihad disudut peperangan fizikal sahaja, bahkan disudut rohani juga jihad mesti diteruskan, kerana musuh rohani adalah lebih nyata walaupun tidak kelihatan dimata kasar, iaitu syaitan. Firman Allah swt :

إنه لكم عدو مبين

Maksudnya : “sesungguhnya Syaitan itu adalah musuh yang nyata” [yasin ; 60 ]

Peperangan fizikal.

Ia terbahagi kepada dua :

1- jihad menyerang ;

iaitu melancarkan peperangan keatas orang kafir di Negara mereka, tujuannya adalah untuk menghapuskan mereka yang menyekat orang lain dari memeluk Islam. Namun sebelum jihad dilancarkan ;

 -mestilah dihantar terlebih dahulu perwakilan agar menerima dakwah Islam.

-Jika dakwah ditolak, maka diminta agar membayar cukai(Jizyah) kepada kerajaan Islam, dan negara itu menjadi sebahagian dari wilayah Islam.

-Jika enggan membayar, barulah diperangi.

Kesimpulannya, bukan secara semberono diserang sesebuah Negara itu. Peperangan yang ingin dilancarkan juga mestilah dibawah arahan pemerintah(samada pemerintah yang adil mahupun zalim), bukannya secara gerila. Ia mestilah dilancarkan dibawah panji Islam.

Maka jika dilihat situasi dan senario umat Islam pada hari ini, jihad menyerang tidak mampu dilaksanakan, kerana apa? Tidak perlu disebut disini, kerana aku yakin semua telah maklum.

2- Jihad bertahan.

Ia bermaksud menghalang kaum kafir dari memasuki dan menguasai wilayah Islam.

Jihad bertahan adalah wajib keatas semua individu di Negara tersebut. Sehinggakan anak tidak perlu meminta izin dari ibu bapanya untuk dia berjihad. Contohnya pada hari ini, adalah jihad umat Islam di Palestin.

Mungkin timbul persoalan, adakah boleh kita pergi secara individu atau berkumpulan, membantu umat Islam memerangi dan berjihad menentang zionis disana?

Secara umumnya, tiada contoh dan petunjuk dari generasi salafussoleh mahupun sekalian sahabat ra, yang keluar berjihad tanpa arahan dari pemerintah umat Islam(yang adil mahupun zalim). Mereka tidak akan keluar berjihad secara individu mahupun gerila, tetapi mereka keluar berjihad dibawah panji Islam.

Justeru, apa yang lebih baik adalah berdoalah untuk kemenangan Islam, dan menyumbanglah di sudut kewangan!

“Menjadi debu di medan peperangan adalah lebih baik dari duduk menonton filem dan drama sambil makan cekodok”

Read Full Post »

Permasalahan Tawassul.


Sering menjadi perdebatan dikalangan kaum muslimin tentang permasalahan ini. Tulisan ini bukanlah untuk menghangatkan lagi perdebatan, jauh sekali untuk menyesatkan dan membida’ahkan orang.

Tetapi berharap, sekurang-kurangnya kita tahu apakah yang dimaksudkan tawassul? Dan tawassul yang bagaimanakah yang wujud di zaman rasulullah saw serta para sahabat dan tawassul yang bagaimana yang tiada dizaman tersebut.

Pengertian tawassul.

Secara umumnya tawassul beerti mengambil sesuatu sebab yang dibenarkan syara’ untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.

Atau, melakukan sesuatu ibadah, yang mana ibadah tersebut dijadikan perantara untuk mendapat keredhaannya.

Tawassul biasanya berkait dengan doa, dimana seseorang yang berdoa menjadikan sesuatu sebagai perantara supaya doanya dikabulkan oleh Allah.

Sebagai contoh : “Wahai Allah yang maha pengampun, ampunkanlah aku.”

 Didalam doa ini, si pendoa menjadikan sifat Allah yang maha pengampun, sebagai wasilah(perantara) agar Allah mengampunkan doanya.

Pembahagian tawassul.

Secara umumnya, tawassul terbahagi kepada dua;

1– tawassul yang mempunyai dalil pensyariatannya.

Antara tawassul bagi bahagian ini adalah seperti ;

a-bertawassul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatnya.

Contohnya ; ” Ya Allah yang Maha Pemurah, kurniakanlah aku rezeki yang luas.”

Dalil pensyariatannya ialah firman Allah ;

ولله الأسماء الحسنى فادعوه بها

Maksudnya : “Bagi Allah itu nama-nama yang baik, berdoalah dengannya” [al-A’raf; 180]

b-bertawassul dengan amalan soleh.

Seseorang itu bertawassul dengan amalan soleh yag dilakukannya didalam doa, sebagai perantara agar Allah mengkabulkan doanya.

Contohnya : ” Ya Allah aku bertawassul dengan kecintaanku kepadaMu dan kepada RasulMu, mudahkanlah urusanku “

Dalil pensyariatannya ialah ;

Hadis Ibn Umar yang menceritakan kisah 3 orang lelaki yang terperangkap didalam gua yang tertutup dengan batu besar, menyebabkan mereka tidak dapat keluar, mereka berdoa dan menjadikan amalan soleh mereka sebagai wasilah agar Allah melepaskan mereka dari gua tersebut. Yang pertama berdoa dengan amalan solehnya iaitu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, yang kedua pula berdoa dengan ketakutannya dari melakukan zina ketika sudah berada di tengah kedua peha wanita, dan yang ketiga pula bertawassul dengan sifat amanahnya, maka Allah melepaskan mereka dari terperangkap didalam gua tersebut.[lihat riwayat bukhari ;2215, Muslim; 2743].

c–  Meminta orang yang soleh, yang masih hidup untuk mendoakan kita.

Sebagai contoh, kita meminta ibu bapa kita mendoakan untuk kita, sebagaimana yang kita tahu, doa ibu bapa adalah antara doa yang makbul disisi Allah.

 Juga kita meminta orang yang ingin bermusafir untuk mendoakan kita, kerana doa orang yang bermusafir juga adalah antara doa yang mustajab disisi Allah.

Antara dalil pensyariatannya ialah ;

Hadis Umar al-Khatab, dalam kisah yang masyhur, dimana beliau meminta dengan bapa saudara nabi untuk berdoa meminta hujan. Kata beliau ;

اللهم إنا كنا إذا أجدبنا نتوسل إليك بنبيك فتسقينا وإنا نتوسل إليك بعم نبينا

Maksudnya : Ya Allah, sesungguhnya dahulu(ketika hayat baginda) jika kami ditimpa kemarau, kami bertawassul dengan Nabi kami, Engkau turunkan hujan, kini kami bertawassul dengan bapa saudara nabi kami…[lihat riwayat Bukhari; 1010]

Hadis ini menunjukkan Umar al-Khatab meminta dengan bapa saudara baginda saw yang masih hidup ketika itu, untuk diturunkan hujan. Maka beliau(bapa saudara baginda saw_al-Abbas) pun berdoa agar diturunkan hujan.

………..

Demikian jenis-jenis tawassul yang memiliki sandaran dalil yang mensyariatkannya bahkan dituntut. Seterusnya saya akan menyatakan pula tawassul yang tidak memiliki sandaran dalil menyatakan keharusannya.

2-tawassul yang tidak mempunyai dalil menyatakan keharusannya.

Ia terbahagi kepada dua bahagia iaitu:

Yang menyebabkan syirik besar ; iaitu dengan berdoa kepada selain Allah, contohnya :

Seseorang meminta hajat di kubur dengan berkata cth ; “wahai wali Allah, tolong lah aku…”

Dan yang kedua ; tidak syirik tetapi boleh membawa kepada syirik.

 Ia terbahagi kepada 3 :

a- bertawassul dengan zat seseorang yang telah meninggal dunia, ia merangkumi semua zat, termasuklah zat baginda saw dan para anbiya yang mulia.

Contohnya ; “Ya Allah aku bertawassul dengan nabi Muhammad, Kabulkanlah doaku…”

b- bertawassul dengan kedudukan dan kehormatan atau keberkatan seseorang.

Contohnya :” Aku bertawassul dengan kedudukan wali sekian sekian, tunaikanlah hajatku”

c- bersumpah kepada selain Allah

contohnya: “Ya Allah aku bersumpah kepada engkau dengan kehormatan wali sekian sekian, tunaikanlah hajatku,,,”

antara dalil yang menunjukkan semua jenis tawassul pada bahagian kedua ini tidak disyariatkan ialah :

1-  kisah Umar al-Khatab yang meminta al-Abbas( bapa saudara Nabi saw) berdoa untuk diturunkan hujan, beliau bertawassul dengan doa al-Abbas, dan bukannya dengan zat al-Abbas, jika beliau bertawassul dengan kedudukan atau zat al-Abbas, maka adalah lebih baik beliau bertawassul dengan zat baginda saw yang sudah pastinya lebih mulia dan agung. Namun ia tidak dilakukan oleh beliau dan sekalian sahabat, samada semasa hayat baginda, mahupun selepas kewafatan baginda saw.

Ini menjadi dalil bahawa tawassul yag dibenarkan ialah bertawassul dengan doa dan syafaat, dan bukannya dengan zat dan kedudukan seseorang.

2- sebagaimana yang disebut didalam pendalilan pertama diatas, para sahabat tidak bertawassul dengan zat baginda saw semasa hayatnya, mahupun selepas kewafatannya, sebaliknya para sahabat bertawassul dengan syafaat dan doa nabi saw ketika hayat baginda saw, dan setelah kewafatan baginda saw, mereka bertawassul dengan doa dan syafaat mereka yang masih hidup. Antara contoh lain ialah Mu’awiyyah bertawassul dengan doa Yazid bin al-Aswad. Ini menunjukkan bertawassul dengan mereka yang telah meninggal dunia adalah tidak disyariatkan.

Kesimpulan

Sebagai penutupnya, bertawassullah dengan cara yang diajar oleh syara’, adapun yang samar, tidak jelas hukumnya atau tidak dibenarkan syara, maka tinggalkanlah..

Berdoalah dengan ” Ya Allah, aku bertawassul kepada engkau ya Allah dengan cintaku kepada Rasulullah, mudahkanlah urusanku..”

Berdoalah dengan ” Ya Allah, syafaatkanlah aku dengan syafaat nabi saw di akhirat kelak..”(disyariatkan)

daripada kita berdoa, “wahai rasulullah, syafaatkan daku..”(tidak disyariatkan)

akhirnya, semoga kita berhati-hati dengan setiap perkataan yang diucap lisan kita, kerana ditakuti ia mengandungi perkara syirik yang menyebabkan kita dimurkai Allah.

إِنَّ الرَّجُلَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ لَا يَرَى بِهَا بَأْسًا ، يَهْوِي بِهَا سَبْعِينَ خَرِيفًا فِي النَّارِ

Maksudnya : sesungguhnya seorang lelaki mengucapkan satu perkataan yang dia melihat perkataan tersebut tiada apa-apa masalah, menyebabkan dia berada didalam neraka selama 70 tahun [riwayat Ahmad ; 7042]

Berhati-hatilah dengan apa yang saya dan anda ucapkan! Semoga Allah selamatkan kita semua dari neraka yang tiada peri pedihnya.

Read Full Post »

Fitnah pembunuhan Uthman r.a


Nabi s.a.w berasa sempit dadanya melihat keadaan masyarakat jahiliyyah yang penuh rencam perangai mereka yang jelas menunjukkan kebodohan pemikiran manusia dikala itu, baginda s.a.w bersendirian di Gua Hira’ memikirkan tentang keadaan masyarakatnya ketika itu yang dibina dengan semangat kesukuan dan kepuakan, merendah-rendahkan orang lain, judi, penzinaan, peperangan yang sangat mudah tercetus hasil semangat kepuakan yang menjahanamkan.

Hadirnya nabi s.a.w ditengah masyarakat setelah menerima wahyu mengubah segala-galanya,. Jika sebelumnya, bangsa Rom dan Parsi yang telah maju kehadapan ketika itu melihat bangsa Arab sebagai bangsa yang tiada nilai sedikit pun untuk dijajah, bangsa hina, bodoh pemikirannya, lintang-pukang sistem kehidupannya, sehinggakan bertawaf dalam keadaan bogel! Namun Allah s.w.t memuliakan mereka dengan Islam, bahasa mereka luas dipergunakan di seluruh pelusuk dunia, tamadun mereka memasuki buku-buku sejarah sehingga sekalian alam mengetahui tentang mereka, begitu Islam memuliakan manusia.

Kata Saidina Umar al-Khatab :

“ Dahulunya kita adalah bangsa yang hina, kemudian Allah s.w.t memuliakan kita dengan Islam, jika kita ingin mencari kemulian yang selainnya(Islam), maka Allah s.w.t pasti akan menghina kita. ” ( Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak ‘ala Sahihain )

Semangat ‘asabiyyah( kepuakan ) dihakis dan digantikan dengan semangat persaudaraan yang kukuh, semangat yang berpaksikan cinta Ilahi, bukan sogokan material keduniaan.
Firman Alah s.w.t yang bermaksud :

“ Dan ingatlah akan nikmat Allah keatas kamu, ketika kamu (di zaman jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menyatukan hati-hatimu, maka kalian, dengan nikmat Allah menjadi orang yang bersaudara.. Ali ‘Imran :103

Firmannya lagi yang bermaksud : “ Dan Allah yang menyatukan hati mereka(orang yang beriman), walaupun kamu membelanjakan seluruh kekayaan yang ada di muka bumi ini, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allahlah yang menyatukan hati-hati mereka. Al-Anfal : 63

Bermulanya Fitnah

Setelah kewafatan nabi s.a.w, bermula lembaran persengketaan sesama muslim, sehinggalah ianya memuncak ketika Uthman al-‘Affan menjadi khalifah umat Islam, pelbagai fitnah dilemparkan oleh golongan syaitan manusia, fitnah munafiq yang dikepalai oleh Abdullah bin Saba’ demi memecah-belahkan kaum muslimin, perbalahan para sahabat diidamkan munafiq, gembira bukan kepalang mereka melihat kaum muslimin bersengketa, pembunuhan yang sangat terancang dilakukan keatas Saidina Uthman, disitulah titiknya tercetus peperangan Jamal antara tentera yang dikepalai Ali r.a berhadapan dengan tentera Aishah r.a, disusuli peperangan Siffin antara tentera Ali r.a dan Muawiyyah r.a, para sahabat yang terlibat dalam peperangan tersebut, semuanya merasakan mereka berada di kedudukan yang benar dan segalanya dilakukan demi membela darah si syahid Uthman al-Affan.

Ibn Umar menceritakan bahawa ketika nabi s.a.w sedang bercerita tentang fitnah, kemudian lalu dihadapan kami seorang lelaki, kemudian nabi s.a.w bersabda :

“Suatu hari kelak, akan dibunuh lelaki yang sentiasa merasa cukup ini secara zalim.” Ibn Umar berkata, “aku melihat lelaki yang lalu itu ialah Uthman bin Affan.” ( Riwayat Tirmidzi dan al-Hakim dan disepakati oleh al-Zahabi.).

Kata-kata baginda s.a.w ini benar-benar berlaku keatas Uthman r.a, beliau dibunuh secara zalim, namun kekallah kemuliaannya disisi Allah sebagai seorang syahid.

Tohmahan terhadap Saidina Uthman ra

Beraneka fitnah dilontarkan demi memburukkan Uthman r.a, antaranya ;

1-dituduh melakukan bid’ah mengumpulkan dan membukukan al-Quran, membakar mushaf yang lain.

2-memukul ‘Ammar sehingga pecah ususnya,

3-dipukul Ibn Mas’ud sehingga patah rusuknya,

4-membatalkan sunnah mengqasarkan solat ketika musafir,

5-tidak menyertai peperangan Badar,

6-tewas dan lari dari medan Uhud,

7-tidak hadir ketika perjanjian Bai’ah al-Ridhwan, dan pelbagai lagi.

Kemuncak peristiwa

Sehinggalah surat palsu ciptaan munafiq keparat yang disandarkan kepada Ali, Talhah, dan al-Zubair yang kononnya mengarahkan mereka untuk mencetuskan pemberontakan keatas beliau bahkan dibunuh jika enggan melepaskan jawatan khalifah kaum muslimin.

Jawapan setiap tohmahan

Semua fitnah tersebut adalah batil! Tuduhan yang tiada asal-usul, menyeleweng daripada cerita sebenar,

1- entah bagaimana dan dimana diperolehi cerita beliau memukul Ibn Mas’ud dan ‘Ammar, jika benar sekalipun, bagaimana ‘Ammar masih boleh terus hidup ketika ususnya telah pecah?

2- beliau membersihkan mushaf yang lain adalah demi menjadikan ketidakcelaruan umat mentelaah al-Quran,maka disatukan dan kita menggelarnya sebagai mushaf Uthmani, hal pengumpulan al-Quran telah pun dilakukan di zaman pemerintahan Abu Bakar lagi setelah melihat ramainya huffaz al-Quran syahid dalam peperangan, bagaimana usaha murni sebegini dianggap bid’ah dan batil?

3-Tidak disetainya Badar kerana dibawah jagaannya, anak baginda s.a.w, Ruqayyah yang sedang sakit, nabi s.a.w menyebut bahawa beliau medapat pahala mereka yang syahid di Badar,

4-kekalahan dan larinya dari medan Uhud telah Allah ampuni, bagaimana mungkin ditimbulkan semula oleh mereka?

5-Bai’ahnya diwakilkan dengan tangan rasul s.a.w ketika peristiwa bai’ah al-Ridhwan,ketidakhadirannya kerana diperintah oleh baginda s.a.w untuk mengawasi kota mekah.
(riwayat al-Bukhari dalam kitab Fadhail al-Sahabat).

Surat palsu

Setelah semua hujah fitnah mereka dipatahkan, hasilnya, satu surat palsu yang disandarkan kepada Ali bin Abu Thalib,
jatuhkan Uthman! Cetuskan pemberontakan! Perangai yang sungguh keji dan syaitan ditunjukkan oleh munafiq, padanlah Allah menjanjikan mereka dengan neraka yang paling bawah!

“Sesungguhnya orang munafiq itu ditempatkan di neraka yang paling bawah( paling dahsyat azabnya) maka kamu sekali-kali tidak akan mendapati penolong bagi mereka.”
( al-Nisa’ : 145)

Antara fadhilat Uthman ra

Bagaimana seorang insan yang dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w boleh difitnah sedemikian teruk, telah disebut ketika hayat baginda s.a.w, bahawa beliau akan mati sebagai seorang syahid. Sabda Nabi s.a.w ketika baginda berada diatas bukit Uhud bersama dengan Abu Bakar, Umar, dan Uthman, tiba-tiba Uhud bergegar, sabdanya,

“Tetaplah wahai Uhud!( berhenti dari bergoncang) sesungguhnya diatas engkau seorang nabi, seorang yang membenarkan dan dua orang syahid.”

Kata Ibn Hajar al-Asqolani ketika menceritakan tentang Uthman didalam kitabnya, al-Isobah:

“ Sesungguhnya telah datang riwayat yang mutawatir bahawa nabi s.a.w memberi khabar gembira kepada Uthman dengan syurga..”

Sikap Uthman ra mendepani fitnah

Uthman r.a sangat bersabar dengan tuduhan keatas dirinya demi mengelak perpecahan kaum Muslimin walaupun dirinya menjadi taruhan untuk dikorbankan, kelembutan dan kesantunannya menyebabkan pengkhianat dan musuh agama mengambil kesempatan mencetus dan menimbulkan kekacauan demi menjahanamkan Islam. Beliau sangat terkenal dengan sifat pemalunya sehinggakan para malaikat turut berasa malu dengannya, sabda nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Aishah:

“ adakah patut aku tidak berasa malu dengan lelaki yang para malaikat juga malu dengannya?”( Sahih Muslim)

Para sahabat mempertahankan kebenaran Uthman sehingga saatnya ingin dibunuh, sehingga disaat itu juga beliau berusaha untuk mengelakkan percecahan dan pergaduhan sesama muslim, rela dirinya dibunuh, ditegah sekalian sahabat yang cuba membela dan mempertahankannya, diarahkan para sahabat, antaranya Ibn al-Zubair, Hasan ibn Ali, Abu Hurairah untuk kembali ke rumah masing-masing, darahnya sanggup ditumpahkan demi menyelamatkan kesatuan ummah

Zaid bin Tsabit datang menemui Saidina Uthman : “ sesungguhnya mereka golongan Ansar berada di hadapan pintu rumahmu,” mereka berkata, jika engkau hendak ( kami mempertahankan engkau ),sesungguhnya kami adalah Ansarullah!” namun Uthman menolaknya, katanya, “ aku tidak berhajatkan semua itu, cukuplah.(tahanlah diri kalian daripada menghunuskan pedang peperangan).”(riwayat Ibn ‘Asakir)

Ketika harinya dibunuh, beliau seakan telah mengetahuinya, beliau memakai seluar pada hari tersebut, bimbang terbuka auratnya, benar beliau seorang yang sangat pemalu, sedang beliau tidak pernah memakainya ketika jahiliyyah mahupun era Islam. Beliau juga bermimpi berbuka puasa bersama baginda s.a.w, Umar al-Khatab dan Abu Bakar al-Siddiq di dalam syurga. (riwayat Ahmad dalam Musnadnya).

Pemberontak yang terdiri daripada perancang pemberontakan dan mereka yang diperdaya dan termakan hasutan untuk turut serta dalam pemberontakan, mereka mengepung rumah khalifah selama hampir sebulan, mereka merempuh masuk ketika para sahabat telah kembali ke rumah masing-masing setelah diperintahkan oleh ‘Uthman, pintu rumahnya di bakar, diugutnya untuk melepaskan jawatan, atau dibunuh!

“Aku tidak akan menanggalkan pakaian( jawatan khalifah) yang telah Allah pakaikan kepadaku! Aku akan terus berada dikedudukanku sekarang sehingga Allah memuliakan ahli sa’adah (orang yang dijanjikan kebahagiaan oleh Allah) dan menghina ahli syaqa’( orang yang dijanjikan kecelakaan oleh Allah ). ” demikian kata Uthman sebagaimana yang diriwayatkan didalam tarikh al-Tabari ketika diugut meletakkan jawatan khalifah kaum muslimin.

Kesudahannya

Akhirnya beliau dibunuh, ditetak perutnya..mengalir darah syahid.. menitis darah di mushaf yang berada ditangannya,isterinya Na‘ilah, yang cuba mempertahankan suami tercinta, putus tangannya ditetak pemberontak laknatullah. Kedua-dua pihak gembira dan berbahagia dengan peristiwa ini, berbahagialah Uthman menemui tuhannya sebagai syahid,berbuka puasa bersama Baginda s.a.w didalam syurga, sedang munafiq bergembira dengan kejayaan perancangan mereka menjatuhkan khalifah, nantikanlah kalian azab Allah yang membakar di akhirat kelak..

Perlantikan Ali ra sebagai khalifah

Bergelap dunia Islam tanpa khalifah,akhirnya Ali bin Abu Thalib diangkat menjadi khalifah menggantikan Uthman, beliau mengambil alih tampuk kepimpinan dalam keadaan yang sangat susah, ketika pemberontak bersenang-lenang ditengah masyarakat muslim. Fitnah tersebar Ummu al-mu’minin, Aishah, yang berada di Makkah menjadi gundah-gulana dengan hal yang menimpa dunia Islam, beliau merasakan perlu melakukan sesuatu demi menebus darah khalifah yang ditumpahkan secara zalim ,dikumpulkan kekuatan tentera, turut bersamanya dua orang sahabat yang turut dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w, al-Zubair ibn ‘Awwam, dan Talhah ibn ‘Ubaidillah, mereka mara menuju ke kota Basrah, bukan untuk menafikan pemerintahan Ali, tetapi dengan maksud yang satu, iaitu mencari kesepakatan dengan kepimpinan Ali untuk membela darah Uthman.

 
Kesepakatan akhirnya berjaya dicapai, mereka tidur dan berehat dengan keadaan yang sangat tenang pada malam setelah kesepakatan tercapai, pemberontak yang turut berada di dalam tentera Ali sudah merasa tidak senang dengan kesepakatan tersebut, ini kerana ia membawa maksud, tidak lama lagi, pedang-pedang kebenaran akan dihalakan ke tengkuk mereka pula,akhirnya kesepakatan itu dicemari lagi oleh keparat munafiq yang menyerang secara sembunyi tentera ‘Aishah dan juga tentera ‘Ali, sehingga ‘Aishah menyangka ‘Ali belot! Mereka menyerang kita di waktu malam! ‘Ali juga menyangka sedemikian keatas ‘Aishah! ( al-Bidayah wa al-Nihayah: Ibn Kathir)

Tercetuslah peperangan yang dinamai sebagai peperangan Jamal antara tentera Aishah dan tentera Ali, kedua-dua pihak berasa sedih dan sesak dada mereka dengan hal yang berlaku ini, kaum munafiqin bergembira bertepuk tangan, Talhah gugur syahid dalam peperangan ini, Ali menangisinya,di sapu wajah Talhah yang dipenuhi tanah.. “Alangkah bagusnya jika aku mati dua puluh tahun dahulu sebelum berlakunya hal ini” kata Ali.. ( al-Awasim min al-Qawasim, tahqiq Muhibbudin al-Khatib)

Peperangan Siffin

Kesan fitnah pembunuhan ‘Uthman ini berentetan sehingga tercetusnya pula peperangan Siffin antara tentera Ali dan Mu’awiyyah, yang merupakan gabenor Syam yang sangat berwibawa, beliau dilantik ketika pemerintahan Uthman.

‘Ali menuntut bai’ah-janji setia-ke atas pemerintahannya dari Mu’awiyyah, namun beliau enggan memberikan bai’ah sehingga darah ‘Uthman dibela, bunuh dahulu pembunuh Uthman! Atau serahkan sahaja tengkok pemberontak itu kepada kami! Bukan Ali tidak berusaha mencari dan menegakkan hukuman keatas pembunuhan Uthman, tetapi kerana bukti yang sangat kurang kerana penjahat sebenar sangat pandai berselindung bertopengkan muslim,kemungkinan yang berlaku apabila bunuh seorang pencetus kekacauan, tiada lagi jalan untuk menutup fitnah, ditakuti tersalah menjatuhkan hukuman, maka kekacauan yang lebih besar didalam dunia Islam akan berlaku dan tidak mampu lagi dibendung, hal ini hampir sahaja berjaya dilakukan, namun, akibat tercetusnya peperangan Jamal yang dicetuskan oleh pemberontak yang bersembunyi di dalam tentera Ali, menyebabkan kesukaran untuk dihadapkan penjahat sebenar ke muka pengadilan.

Hasilnya tercetuslah peperangan antara dua pasukan tentera yang dikepalai oleh mereka berdua, masing-masing merasakan mereka berada dikedudukan yang benar demi menuntut bela keatas darah Uthman. Kedua-dua mereka berusaha untuk mengelakkan tercetusnya peperangan, mereka berdua adalah dari kalangan sahabat baginda s.a.w. Namun alangkah sedihnya hari ini kedengaran suara sumbang mereka yang cuba mencemari sejarah Islam, mentohmah para sahabat, mencaci Mu’awiyah yang enggan berbai’ah kepada Ali, sehinggakan berperang dengan kepimpinan Ali, sedang nabi s.a.w melarang daripada mencaci para sahabatnya!

Sabdanya ;
“ Jangan kamu mencaci para sahabatku! Demi jiwaku yang berada di tangan Allah, walaupun kamu membelanjakan harta di jalan Allah emas sebesar bukit uhud sekalipun, nescaya tidak sama dengan seorang pun daripada mereka atau separuh sekalipun”

Hari ini banyak kedengaran suara sumbang golongan yang merendah-rendahkan sekalian sahabat yang diredhai oleh Allah. Sedang perbalahan mereka para sahabat adalah atas dasar ijtihad, mereka tetap digelari sebagai mukmin.

Firman Allah :

“jika ada dua kelompok dari kaum mukminin bertelagah, maka damaikanlah keduanya dengan adil dan saksama, sesungguhnya Allah sangat suka orang yang adil” al-Hujurat :9

Para ulama’ ada yang menyatakan kedua-dua mereka berada dikedudukan yang betul, ada yang menyatakan Ali berada dikedudukan yang betul dan Mu’awiyyah tersalah ijtihad didalam hal ini, sebahagian ulama’ pula menyebut bahawa mereka yang tidak terbabit langsung didalam peperangan ini adalah yang paling betul.( Minhaj Sunnah : Ibn Taimiyyah )

Walaubagaimanapun, kekallah kemuliaan para sahabat disisi Allah, mereka bertelagah, namun dihati mereka sesak dengan hal yang ditelagahkan, jiwa mereka saling mencintai. Pelbagai tohmahan kedengaran sehingga hari ini, perdamaian yang dicapai antara Ali dan mu’awiyyah dalam peristiwa tahkim dingkari, timbul pula satu puak yang tidak berpuas hati dengan perdamaian tersebut, berpecah mereka yang tidak berpuas hati itu menubuhkan satu puak baru yang digelari sebagai khawarij, habis sekalian sahabat dikafirkan.

Pemahaman Hadith yang salah

Sabda nabi s.a.w : “ orang yang dibunuh dan membunuh, kedua-duanya didalam neraka,” sahabat bertanya, “orang yang membunuh didalam neraka, bagaimana orang yang dibunuh juga dimasukkan ke nereka?” sabda nabi, “ sesungguhnya dia juga berusaha untuk membunuh saudaranya”( sahih bukhari)

Mereka menganggap kedua-dua puak mukmin yang bertelagah dimasukkan kedalam neraka, sesungguhnya ini adalah kefahaman yang batil! Menta’wil nas secara batil,Bagaimana Ali dan Aishah boleh dikatakan akan dihumban ke neraka kerana berperang di peperangan Jamal? Bagaimana Ali dan Mu’awiyyah ingin dikatakan akan dicampak kedalam neraka kerana bersengketa di peperangan Siffin? Sedang mereka telah dijanjikan syurga oleh baginda s.a.w? kerana itu para ulama menyatakan dosa perbalahan mereka dibebankan keatas bahu pencetus huru-hara. Kepalanya Abdullah bin Saba’! ketahuilah wahai saudaraku, mereka para sahabat saling mencintai antara satu sama lain, tidak pernah terdetik sekalipun di hati mereka untuk bersengketa, lebih lagi berbunuhan! Mereka tidak termasuk didalam hadith yang dinyatakan diatas tadi!

Demikian kucar-kacir dunia Islam ketika itu, semuanya bermula dari pembunuhan Uthman, beliau tidak bersalah, beliau dizalimi, porak-peranda kaum muslimin. Semoga ini menjadi iktibar kepada kita, sentiasalah kita mencintai dan menyayangi sekalian sahabat, berimanlah kita dengan firman Allah :

“ wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu berita perkhabaran dari orang fasik, maka selidikilah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan musibah kepada suatu kaum tanpa kamu mengetahui keadaannya yang sebenar, menyebabkan kamu menyesal dengan perbuatan itu”( al-Hujurat :6 )

Itulah Syiah

Demikian sejarah hitam dalam dunia Islam, yang kesannya berlarutan sehingga hari ini,, Bapa Syiah(pengasas Syiah); Abdullah ibn Saba’ yang mencetuskan huru-hara didalam dunia Islam, kononnya menzahirkan sokongan dan kecintaan kepada saidina Ali ra,,sehinggalah hari ini,,golongan ini terus mendakwa hal yang sama,,kejahatan dan kezaliman syiah samada di Syria dan dimana jua, bukanlah hal yang baru,,tetapi bermula sejak tertubuhnya fahaman ini,,

kata al-Imam at-Tabari :

“Telah berlaku pada hari Jumaat, 18 Zulhijjah tahun 35 hijrah, hari musibah terbesar dalam Islam, pembunuhan si Syahid yang dizalimi, Uthman zu an-nurain, Allah meninggikan martabatnya di dunia yang kekal abadi, pada hari tersebut, lahirnya syiah dari perut Ibn Saba’, yahudi yang berpura-pura Islam,si hitam yang menzahirkan Islam dan berlakunya kejadian berdarah diatas tangannya ” ( Tarikh at-Tabari jzk 4 ms 416 )

P/S ; tulisan saya ini adalah ringkasan saya dari kisah yang dinukilkan didalam kitabal-Awasim min al-Qawasim karangan al-Qadhi Abu Bakar ibn Arabi, tahqiq ; Muhibbudin al-Khatib, untuk majalah PMM Sudan (alkhatab)

 

Read Full Post »

Tangkal Azimat


Beberapa bulan yang lalu, saya terlihat seorang ibu yang mendukung anaknya, yang kira-kira berusia setahun lebih. Apa yang menyebabkan saya tertarik pada anaknya itu ialah, terdapat ikatan benang hitam pada pergelangan tangan anaknya itu.

Perkara yang ingin saya ketengahkan ialah persoalan sekitar hukum memakai ikatan tersebut dan kaitannya dengan pegangan aqidah yang sejahtera.

Sejarah tangkal.

Pemakaian tangkal sudah wujud sejak zaman jahiliyah lagi, mereka mengikat ikatan benang atau selainnya pada lengan atau leher si anak. Dengan tujuan untuk menghindari anak tersebut dari terkena kecelakaan, pandangan orang yang tidak berpuas hati atau sihir dan sebagainya.

Adakah tangkal dibenarkan dalam Islam?

Secara umumnya, terdapat beberapa hadis yang menceritakan tentang tangkal, antaranya :

إِنَّ الرُّقَى، وَالتَّمَائِمَ، وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

Maksudnya : “sesungguhnya, jampi, tangkal dan pengasih adalah syirik”[ hadis riwayat Abu Daun ; 3883, Ibn Majah ; 3530, Ahmad ; 3615 ].

من علق شيئا, وكل إليه

Maksudnya : “sesiapa yang menggantung sesuatu, dia diserahkan kepadanya( apa yang digantungnya)” [ riwayat at-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir ; 960].

Diringkaskan,  tangkal terbahagi kepada dua bahagian.

1- Tangkal yang dibaca dengan mentera dan apa sahaja selain dari al-Quran atau hadis atau nama-nama dan sifat-sifat Allah.

Para ulama sepakat mengatakannya haram dan jatuh kepada syirik, kerana percaya bahawa ada kuasa lain yang menolak bala atau memberi nikmat selain dari Allah swt.

2- tangkal yang dibaca atau ditulis padanya ayat-ayat al-Quran atau hadis.

Para cendikiawan dan ulama berbeza pendapat tentang hukum bagi bahagian kedua ini. Ada dikalangan mereka yang mengharuskannya, tidak kurang juga yang mengharamkannya.

a- Antara pendapat yang mengatakan bahawa harus ialah Ibn Abidin, seorang Ulama mazhab Hanafi. Begitu juga pendapat yang dinyatakan oleh Imam Baihaqi, yang dinukilkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya al-Majmu Syarh al-Muhazzab. Katanya yang bermaksud :

“Larangan memakai tangkal kepada sesiapa yang memakainya dan melihat tangkal itu yang menolak bala. Adapun yang menggantungnya dengan membaca al-Quran dan beriktikad bahawa Allah yang berkuasa menolak bala. Bukannya tangkal, maka tidak mengapa .”

Kata Imam al-Qurtubi :

.berubat dengan al-Quran, samada digantung atau pun tidak,bukanlah syirik. Sebagaimana hadis Nabi saw( yang bermaksud) : “sesiapa yang menggantung sesuatu, dia diserahkan kepada apa yang digantungnya”. Jadi, sesiapa yang menggantung sesuatu dari al-Quran, hendaklah dia berserah kepada Allah, dan bukan pada selainNYA

b- Tidak kurang juga dikalangan ulama yang mengharamkan pemakaian tangkal dari bahagian kedua ini. Antara pendapat mereka ialah, hadis yang melarang pemakaian tangkal, datang secara umum dalam pengharamannya. Tiada dalil yang mengkhususkan keharusan pemakaian tangkal dari al-Quran. Jadi, keharaman tangkal kekal haram tanpa ada pengecualian.

Selainnya, para ulama melihat, pengharaman ini adalah untuk menutup lubang daripada terjebak kedalam lembah syirik. Ini kerana, bahaya yang menunggu sangat besar. Boleh sahaja ada yang tergelincir dengan pergantungan kepada tangkal.

mujurlah aku pakaikan tangkal pada anak aku, rasa selamat sikit”

Dan banyak lagi dialog yang mungkin tertutur dek lisan yang menyebabkan kita terjerumus ke lembah kegelapan syirik.

Kesimpulan.

Saya berpendapat, sesiapa yang ingin memakai tangkal dari al-Quran, atau memakaikannya pada si anak kecil, mestilah membulatkan tawakkal kepada Allah. Bukannya berlindung dengan tangkal, tetapi mengambil berkat dengan berubat menggunakan ayat-ayat al-Quran demi mendapat perlindungan dari Allah.

Namun, amat mendukacitakan jika, kita bersungguh benar bertangkal dengan ayat-ayat al-Quran. Tetapi di rumah, Mushaf al-Qurannya juga sudah suci dalam debu, apa yang disuruh Allah didalam al-Quran tidak diamal, apa yang suruh dijauhi, lagi didekatinya. Tiba-tiba mahu mengambil berkat al-Quran dengan tangkal pula..sungguh celaru cara berfikir..

Bagi keselamatan pula(dan ini lebih utama untuk didahulukan), eloklah dieelakkan (pemakaian tangkal dari al-Quran), kerana, demi menjaga kesejahteraan aqidah. Takut-takut, ada waktunya, kita hilang pergantungan pada Ilahi, dan mengucap kata-kata yang boleh menghumban kita ke lembah dosa syirik. Syaitan sentiasa mencari ruang dan peluang untuk menyesatkan dan memesongkan aqidah kita.

Sama-samalah kita cakna terhadap aqidah yang sejahtera..

p/s ; seperti biasa, tulisan ini adalah ringkasan, pembaca yang ingin megetahui lebih mendalam, perlu membaca ditempat yang lain pula. Semoga Allah memelihara Iman kita….wallahua’lam..

Read Full Post »