Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Akhlak’ Category


Sedang Sendiri

Adakalanya ketaatan yang dilakukan,

 diiringi dengan rasa besar diri dan kagum terhadap diri sendiri,

 maka Allah tidak menerima ketaatan itu kerana ia sunyi dari keikhlasan..

Adakalanya kita terjerumus kedalam lembah kemaksiatan,

 tetapi sebenarnya Allah ingin memberi kebaikan untuk kita, dengan mencampakkan rasa kesedihan dan penyesalan diatas kemaksiatan itu..

 maka dibuka lorong untuk kembali kepadaNYA…

Orang yang melakukan maksiat,

 kemudian bertaubat dengan sebenar-benar taubat lebih baik,

 dari mereka yang melakukan ketaatan,

 tetapi ketaatan itu menjadikan dirinya sombong dan memperkecilkan orang lain yang tidak mendatangi ketaatan itu…

Maka…sembunyikanlah kebaikan yang engkau lakukan

 sebagaimana engkau malu menceritakan keburukan dan keaibanmu,,,

Kerana itu juga, sembunyikanlah keburukan orang lain,

 sebagaimana engkau malu keburukanmu didedahkan..

Manusia itu selamanya tidak sunyi dari kekurangan dan keaiban…

Kebumikan kemasyhuranmu,

 dengan merapatkan anggota tubuh yang termulia dengan tanah..

menyembah Yang Maha Agung penuh pengharapan..

Jangan jadikan dirimu suka dikenali,,

 tetapi jadikan dirimu benar-benar ingin mengenali Penciptamu,,,

 sesungguhnya, dunia ini hakikatnya gelap,

kebenaranlah yang meneranginya,

mintalah Sang Pencipta agar ditunjuki jalan kebenaran,

dan tidak dikaburi pandangan dengan awan kebatilan….

Read Full Post »


Kata air oren kepada nasi himpit dan kuih tat nenas : “untunglah korang, semua orang ambil dan makan korang dengan tangan kanan, tapi aku,,selalu dianaktirikan, diorang semua minum aku dengan tangan basuh berak..”

Saya selalu terdengar para ayah dan ibu, apabila terlihat anaknya makan dengan tangan kiri, pasti akan ditegur anak tersebut..” Ha! Makan guna tangan kanan..”

Makan dan minum dengan tangan kanan adalah suatu sunnah, bahkan sebahagian ahli ilmu menyatakan ia adalah suatu kewajiban. Namun apa yang menyedihkan, kita hanya membiasakan diri kita dan anak-anak kecil makan dengan tangan kanan, tetapi tidak kisah dengan minum.

Kebiasaan.

Kebiasaan orang kita, akan  minum sedikit sebelum makan, selalunya dia akan minum dengan tangan kanan, tetapi apabila selesai makan, atau sedang makan, pasti atau selalunya dia akan minum menggunakan tangan kiri, pada sangkaan saya, kebiasaan ini kerana tidak mahu mengotorkan cawan dengan tangan kanan yang sudah memegang makanan.

Bagaimana sebenarnya yang diajar baginda saw?

Sabda baginda saw :

إذا أكل أحدكم فليأكل بيمينه وإذا شرب فليشرب بيمينه؛ فإن الشيطان يأكل بشماله ويشرب بشماله

Maksudnya ; jika seseorang kamu ingin makan, maka makanlah dengan tangan kanan, dan jika minum, maka minumlah  dengan tangan kanan, sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kiri. [ riwayat Muslim ; 2020 ]

Dan banyak lagi hadis-hadis yang menggesa dan menyuruh kita untuk makan dan MINUM dengan tangan KANAN.

Justeru, kenapa kita sering menganak tirikan minum ? kita makan dengan tangan kanan, tetapi kenapa menjadi kebiasaan kita minum denan tangan kiri?

Hadis diatas menyebut tentang syaitan menggunakan tangan kirinya untuk makan dan minum, justeru kita semestinya ingin untuk berbeza dengan musuh kita-syaitan-?

Sesiapa sahaja sudah tentu tidak reda dan marah jika orang kata dia macam syaitan, jadi, dalam apa juga kehidupan seharian kita, sehingga di meja makan sekalipun, kita mestilah memastikan kita tidak meniru perbuatan syaitan.

Firman Allah swt :

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا

Maksudnya : sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka ambillah ia sebagai musuh [ surah Fatir ;6 ]

Hari raya.

Kita masih berada dalam kehangatan hari raya, kesana sini kita menziarahi rakan taulan dan sanak saudara, pelbagai makanan dan minuman dihidangkan, maka makanlah dan minumlah kita dengan tangan kanan, janganlah di anaktirikan air yang diminum,  minumlah dengan tangan kanan.

Juga musim perayaan ini, ramai dikalangan kita pemurah dalam memberi duit raya, maka disana ada sunnah juga yang boleh kita amalkan ketika memberi duit raya dan sunnah yang boleh diajar kepada anak kecil ketika menerima duit raya. Iaitu memberi dan menerima dengan tangan kanan! Sabda nabi saw ;

ليأكل أحدكم بيمينه، ويشرب بيمينه، وليأخذ بيمينه، وليعط بيمينه؛ فإن الشيطان يأكل بشماله، ويشرب بشماله، ويعطي بشماله، ويأخذ بشماله

Maksudnya : makanlah kamu dengan tangan kanan, dan minum dengan tangan kanan, dan ambillah dengan tangan kanan,berilah dengan tangan kanan, sesungguhnya syaitan itu makan, minum, memberi dan menerima dengan tangan kiri.[ riwayat Ibn Majah ; 3266 ]

Oleh itu, marilah kita menganan-nganankan dalam melakukan kebaikan melainkan kita mempunyai keuzuran untuk menggunakan tangan kanan, seperti jari tangan kanan dah berbalut sebab main mercun bola atau melecur masa bakar lemang dan sebagainya..

Semoga tulisan ringkas saya ini ada kebaikannya pada saya sendiri dan yang terbaca..=)

Read Full Post »

Bohong Sunat.


Wujudkah bohong sunat?

Kita mengetahui bahawa Islam adalah agama yang sentiasa releven untuk diamalkan sehingga hari kiamat. Agama yang meraikan fitrah manusia, agama yang membimbing manusia menjalani kehidupan seharian yang tersusun dan berdisiplin.

gambar ini tiada kaitan dengan artikel, sekadar kenangan=)

Perkataan bohong sunat sering diguna pakai ditengah masyarakat kita, apakah hal ini mempunyai asalnya dalam agama? Ataupun direka-reka untuk menyelamatkan diri dengan berbohong?

Asal berbohong.

Secara asasnya, Islam melarang perbuatan bohong, akan tetapi, terdapat beberapa situasi yang dibenarkan untuk kita berbohong. Hal-hal yang dharurat, mendamaikan dua orang yang sedang bergaduh, menyelamatkan orang daripada dizalimi dan situasi-situasi yang mendesak sehingga tidak dapat dielakkan untuk berbohong. namun istilah ‘bohong sunat’ itu betul ataupun tidak, tidaklah ingin saya panjangkan disini.

Hal ini berdasarkan hadis baginda saw :

لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَيَقُولُ خَيْرًا وَيَنْمِي خَيْرًا» قَالَ ابْنُ شِهَابٍ: وَلَمْ أَسْمَعْ يُرَخَّصُ فِي شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُ النَّاسُ كَذِبٌ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ: الْحَرْبُ، وَالْإِصْلَاحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَحَدِيثُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ وَحَدِيثُ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا

Maksudnya : “Orang yang mendamaikan diantara manusia ( yang bertelagah ) bukanlah pembohong, dia menyampaikan yang baik-baik dan berkata yang baik-baik”

Berkata Ibn Syihab ; ” aku tidak mendengar Rasulullah saw mengharuskan manusia berbohong dalam tutur katanya melainkan dalam tiga perkara : dalam peperangan, mendamaikan manusia yang bergaduh, kata-kata(pujian) suami kepada isteri dan isteri kepada suami .” [ riwayat Muslim 2605 ]

Oleh itu, memang terdapatnya bohong yang diharuskan oleh Islam dalam beberapa perkara seperti yang disebutkan didalam hadis yang saya nukilkan diatas iaitu ;

1-berbohong didalam peperangan, taktik dan muslihat harus digunakan untuk menjatuhkan semangat pihak musuh, menjadikan pihak musuh lemah untuk mara melawan. Namun, hal ini tidaklah boleh digunakan didalam kancah politik, berbohong untuk menjatuhkan maruah pihak lawan, demi meraih undi dan sokongan rakyat. Ia sama sekali tidak termasuk dalam keharusan yang diizinkan oleh rasulullah saw.

2- mendamaikan dua pihak yang bertelagah, diharuskan untuk orang tengah yang mendamaikan dua pihak yang bergaduh berbohong agar mereka berdamai dan kembali sayang menyayangi. Juga termasuk didalam bahagian ini, untuk menyelamatkan seseorang daripada dizalimi. Sebagai contoh, menyelamatkan seseorang yang bersembunyi daripada dikejar oleh orang yang hendak membunuhnya.

3- kata-kata yang menyeronokkan pasangan suami isteri, seperti si suami berkata pada isterinya, ” sedapnya masakan awak..” atau si isteri berkata pada suaminya, ” abang lah lelaki paling gagah didunia..”

Bolehkah berbohong dengan membaca hadis palsu untuk menggalakkan orang beramal?

Didalam hal ini, baginda saw melarang kita berdusta atas namanya untuk tujuan apa sekalipun. Walaupun niat orang tersebut baik, untuk menggalakkan manusia melaksanakan amalan soleh dan kebaikan, atau mencegah manusia dari melakukan maksiat, ia tetap juga sama sekali dilarang. Kata baginda saw :

لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجِ النَّارَ

Maksudnya : “Janganlah kamu berbohong keatasku, sesungguhnya, sesiapa yang berbohong keatasku, masuklah dia kedalam neraka” [ riwayat Bukhari 106 ].

p/s ; Wallahua’lam..seperti biasa, tulisan ini adalah ringkasan,, pembaca berhak menerima dan menolak.

Read Full Post »

Dimana kebenaran..


Semasa kecil dahulu, saya selalu mendengar perkataan “sumpah lillah yasin aku tak bohong”, ada juga, “jangan bohong, malam ni malam jumaat”, dan banyak lagi, kita memang diajar agar jangan berbohong, mesti kita pernah dengar ” kecik-kecik membohong, besar-besar mencuri”. Anak-anak membohong orang tuanya, isteri membohongi suami, suami membohongi isterinya, golongan agama dan pakar motivasi mereka-reka cerita untuk menarik orang mendengar ceramahnya, penjual ubat mencipta khasiat palsu tentang ubatnya, dan banyak lagi sebab dan alasan orang berbohong. Dunia penuh dengan muslihat.

Makna berbohong.

Berbohong bermaksud kita bercakap sesuatu yang menyalahi hal yang sebenar. Perbuatan berbohong adalah suatu yang dilarang oleh agama, ia merupakan suatu perbuatan yang dikeji oleh Allah dan Rasulnya.

Asasnya, berbohong adalah hal yang bertentangan dengan iman, kerana iman beerti membenarkan dan berbohong atau mendustakan pula lawannya. Perbuatan ini menunjukkan kelemahan peribadi seseorang itu, kerana takut untuk menegakkan kebenaran.

Sepatutnya setiap insan berhati-hati dan mengawasi setiap kata-kata yang keluar dari mulutnya, kerana setiap kalimah yang dituturkannya itu dihisab dan dikira oleh Allah swt.

Firmannya :

ما يلفظ من قول إلا لديه رقيب عتيد

Maksudnya : “tidak ada satu kata yang diucapkan melainkan ada disisinya malaikat yang sentiasa mencatat” [ Surah Qaf ; 18 ].

Sabda baginda saw :

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya : “sesungguhnya bercakap benar itu membawa kepada kebaikan, kebaikan itu membawa kepada syurga, sesungguhnya lelaki yang sentiasa bercakap benar sehingga dia ditulis sebagai orang yang benar disisi Allah. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan, kejahatan itu  membawa kepada neraka, sesungguhnya seorang lelaki yang berterusan berdusta sehingga ditulis disisi Allah sebagai pendusta [ Sahih Bukhari ; 6094 ].

Hadis ini menggambarkan betapa bahayanya dusta, seseorang yang telah terbiasa bercakap bohong, sukar meninggalkannya, suka mereka-reka cerita sehingga masyarakat sendiri telah mengenalinya sebagai penipu. Lebih malang, disisi Allah juga telah dicop sebagai penipu.

Dari kecil juga, kita selalu mendengar hadis baginda saw yang menyatakan antara sifat orang munafiq itu ialah jika dia berbicara, dia akan berbohong.

” آيَةُ المُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ

Maksudnya : “tanda orang munafiq itu tiga ; jika dia berbicara dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, jika diberi amanah, dia khianati” [ Sahih Bukhari ; 33]

Dunia penuh muslihat.

Hari ini, ramai yang mendakwa dia nampak itu dan ini dalam mimpinya, mendakwa dirinya menerima wahyu, dan pelbagai lagi dusta yang disandarkan kepada mimpi.

Tidak kurang juga ada yang mencuri-curi dengar, mengendap dan sebagainya, kemudian disebarkan kepada orang lain, tanpa diselidiki dan dipastikan kebenarannya.

Tidak sedikit juga yang membuat cerita sensasi untuk melariskan jualan akhbar harian, memburuk-burukkan orang, menjatuhkan maruah orang lain dengan berita yang salah dan bohong.

Sungguh..dusta dan bohong menyebabkan ummah menjadi lemah..lihatlah masyarakat kita hari ini, perhatikan sahaja akhbar-akhbar harian, semakin sukar dipastikan, mana satu berita yang benar, dan mana satu yang dusta.

Wujudkah bohong sunat?

Insyaallah, saya akan menulis secara ringkas tentang hal ini pada entri yang akan datang..

p/s ; seperti biasa, tulisan saya adalah ringkasan dari pembacaan dan pengamatan saya sendiri, justeru ia belum cukup mengenyangkan pembaca(kalau ada pembaca) (‘TT)

Read Full Post »