PENGENALAN.
Cara sembelihan dan siapa yang menyembelih serta apa yang disembelih, kesemua itu memiliki hukum yang tersendiri. Binatang yang haram dimakan pula adakalanya digunakan sebagai aditif dalam makanan pada hari ini, maka apakah hukum kita memakan makanan yang mengandungi bahan-bahan sebegini?
HUKUM-HAKAM BERKAITAN DAGING BINATANG.
Sebagaimana yang telah dinyatakan pada kertas kerja satu, bahawa hukum asal dalam pemakanan adalah halal, maka haiwan juga termasuk didalam keumuman halal tersebut. Kecuali haiwan yang telah dinyatakan keharamannya didalam Islam.
Firman allah swt :
قل لا أجد في ما أوحي إلي محرما على طاعم يطعمه إلا أن يكون ميتة أو دما مسفوحا أو لحم خنزير فإنه رجس أو فسقا أهل لغير الله به
Maksudnya : katakanlah(Muhammad) tidak aku dapati sesuatupun yang haram untuk dimakan diwahyukan kepadaku melainkan bangkai, atau darah yang mengalir atau khinzir, kerana semua itu kotor atau binatang yang disembelih selain kerana Allah [ al-an`am ; 145 ]
BERIKUT ADALAH PEMBAHAGIAN HAIWAN MENGIKUT HUKUM ;
1- haiwan yang disepakati keharamannya oleh para ulama ;
a- bangkai haiwan darat.
Bangkai bermaksud haiwan yang halal dimakan tetapi mati dengan tidak disembelih secara syara’ atau disembelih bukan dengan nama Allah.
Kata al-Imam an-Nawawi : telah sepakat ummah diatas keharaman bangkai kecuali ikan dan belalang.[ al-majmuk 9/399].
b- khinzir
kata Imam nawawi : telah sepakat kaum muslimin bahawa khinzir dan semua anggotanya adalah haram [ majmuk 9/25 ].
Kesatuan fiqh Islam yang berpangkalan di Jeddah, telah mengeluarkan keputusan :
“tidak halal bagi muslim menggunakan gelatin yang diambil dari khinzir dalam makanan…”[ daurah ketiga(1986).]
2- haiwan yang disepakati halal oleh para ulama ;
a- binatang ternakan seperti unta, lembu dan kambing atau yang seumpamanya.
Kata Ibn Munzir : telah sepakat ummat berdasarkan al-quran, sunnah dan ijmak keatas keharusan memakan binatang ternakan [ al-ijmak ; ms 125]
b- keluarga burung kecuali yang memakan bangkai seperti gagak atau yang mempunyai pencakar untuk menyerang seperti helang.
Antara yang termasuk didalam keluarga burung ialah ayam. Diriwayatkan dari Abu Musa al-Asy’ari, kata beliau yang bermaksud : “aku melihat rasulullah saw memakan ayam.” [ bukhari ; 5517]
c- ikan. Kecuali yang memudaratkan seperti memiliki racun [lihat bidayatul mujtahid ; 1/404]
3- haiwan yang diperselisihkan keharusannya dikalangan ulama. Antaranya ialah ;
a- zirafah
b- arnab. Jumhur ulama dikalangan empat mazhab mengatakan arnab harus dimakan. [lihat al-Majmuk 9/10]. Antara dalilnya ialah nabi saw sendiri juga memakan arnab [ lihat al-bukhari ;5535 ].
c- dhob .tetapi pendapat yang terpilih adalah halal dimakan. Ini berdasarkan kisah rasulullah melihat Khalid al-Walid memakan dhob, dan baginda tidak membantahnya. [ lihat al-bukhari ; 5537].
HUKUM BERKAITAN DAGING IMPORT.
Yang dimaksudkan disini adalah daging yang diimport dari Negara bukan Islam. Secara umumnya ia terbahagi kepada dua bahagian ;
- Daging yang diimport dari negara musyrikin( selain yahudi dan nasrani )
Para ulama bersepakat menyatakan keharaman memakan sembelihan orang musyrikin seperti budha dan hindu. [ lihat al-Majmuk 9/66 ].
Sekiranya didapati daging yang diimport daripada negara berkenaan disembelih oleh mereka yang beragama sedemikian, maka daging itu haram dimakan,
Antara dalilnya ialah umum firman Allah swt :
وما أهل لغير الله به
Maksudnya : dan apa yang disembelih kerana selain Allah.[al-Maidah ;3 ].
- Daging yang diimport dari negara ahli kitab(yahudi dan nasrani).
Secara umumnya, daging yang diimport dari negara ahli kitab dikategorikan kepada tiga ;
- Haiwan yang disembelih mengikut kaedah yang diajar oleh syariah Islam dan disebut nama Allah
Ia adalah halal menurut kesepakatan para ulama[ lihat al-Mughni 9/390]. Antara dalil yang menjadi sandaran ialah firman Allah swt :
وطعام الذين أوتوا الكتاب حل لكم
Maksudnya : dan makanan(sembelihan) ahli kitab adalah halal bagi kamu.[ al-maidah ;5 ].
2. Yang tidak disembelih mengikut syariat Islam.
Ia diperselisihkan oleh ulama. Antara perkara yang diperbahas dan diperselisih dalam bahagian kedua ini ialah;
- permasalahan berkaitan hukum tasmiah(menyebut nama Allah) ketika sembelihan.
Para ulama yang berselisih pendapat didalam hal ini terbahagi kepada 3 pendapat ;
Pendapat pertama : hukumnya sunat dan bukannya syarat.
Ia adalah pendapat didalam mazhab Syafie.[ mughni al-muhtaj syarhul minhaj ; 4/272].
Antara dalilnya ialah hadith Aishah, dimana datang beberapa orang sahabat kepada rasulullah bertanya tentang daging yang dibawa oleh satu kaum, mereka tidak tahu adakah dibaca tasmiah atau tidak, maka kata baginda saw ;
سموا أنتم وكلوا
Maksudnya : kalian bacalah bismillah dan makanlah… kata Aishah, mereka(yang membawa daging tersebut) baru memeluk islam.[Bukhari ; 5507]
Rasulullah tidak menyuruh para sahabat untuk bertanya lebih lanjut tentang daging tersebut, adakah telah disembelih dengan membaca tasmiah atau tidak, ini menunjukkan yang tasmiah tidak wajib, kerana jika wajib, pastilah nabi saw menyuruh mereka mendapatkan kepastian.
Pendapat kedua : wajib hukumnya, tetapi jika terlupa tidak mengapa.
Ia adalah pendapat didalam mazhab Hanafi[al-badai’u al-sanai’ 5/46], mazhab Malik[bidayatul mujtahid ; 1/448] dan pendapat yang masyhur didalam mazhab Hanbali[ al-Mughni 1/33].
Antara sandaran dalilnya ialah firman Allah swt ;
ولا تأكلو مما لم يذكر اسم الله عليه وإنه لفسق
Maksudnya : janganlah kamu makan binatang yang tidak disebut nama Allah ketika disembelih, sesungguhnya ia adalah suatu kefasiqan [ al-An’am ; 121 ]
Ayat ini menunjukkan larangan memakan sembelihan yang tidak disebut nama Allah ketika disembelih, ini menunjukkan yang menyebut nama Allah ketika menyembelih adalah wajib. Namun bagi yang terlupa, ia dimaafkan berdasarkan keumuman ayat-ayat al-quran dan hadith yang menyatakan orang yang terlupa dimaafkan.
Pendapat ketiga : wajib secara mutlaq
Ia adalah pendapat mazhab Zohiri[al-Muhalla ; 7/461] dan Ibn Taymiah[majmu’ al-fatawa ; 35/239].
Dalil mereka adalah seperti pendapat kedua. Terlupa tidak dikira, jika terlupa, sembelihan tersebut menjadi bangkai dan tidak halal dimakan.
- sembelihan ahli kitab dengan menyebut selain dari Allah. Seperti “dengan nama al-Masih”.
Ulama berselisih pendapat berkenaan daging sembelihan tersebut ;
Pendapat pertama ; harus memakannya.
Ia adalah pendapat beberapa ulama salaf seperti `Atha’, Makhul dan Said bin Musayyib.[majmuk ; 9/78].
Antara dalil sandaran adalah firman Allah swt ;
وطعام الذين أوتوا الكتاب حل لكم
Maksudnya : dan makanan(sembelihan) ahli kitab halal buat kamu[al-Maidah ;5]
Ayat ini menunjukkan halalnya sembelihan ahli kitab secara umum, dan Allah swt tahu yang mereka akan menyembelih haiwan dengan menyebut nama selain Allah, namun Allah tetap menghalalkannya walaupun diketahui kekufuran mereka.
Pendapat kedua : makruh untuk dimakan.
Ia adalah pendapat Imam Malik [al-Mudawwanah ; 3/68]
Antara sandarannya ialah firman Allah swt seperti pada pendapat yang pertama, tetapi digabungkan dengan firman Allah ;
أو فسقا أهل لغير الله به,,,,
Maksudnya : …atau yang disembelih bukan dengan nama Allah ia adalah kefasiqan [al-An’am ;145].
Digabungkan diantara ayat yang menunjukkan halalnya sembelihan mereka secara umum dan diantara ayat yang menunjukkan sembelihan dengan selain nama Allah itu adalah suatu kefasiqan, maka terhasil hukum pertengahan diantara haram dan halal iaitu makruh.
Pendapat ketiga : haram memakannya.
Ia adalah pendapat jumhur ulama [lihat al-Mughni 9/391, Majmuk 9/78, Badai’ al-sanai’ 3/68].
Antara sandaran dalilnya firman Allah swt ;
إنما حرم عليكم الميتة والدم ولحم الخنزير وما أهل به لغير الله
Maksudnya : haram keatas kamu bangkai, darah, daging babi dan apa yang disembelih dengan selain dari nama Allah. [ al-Baqarah 173].
- Hukum sembelihan ahli kitab dengan cara moden seperti genjatan elektrik, jerutan atau ketukan dan sebagainya yang bukan mengikut syara’.
para ulama berselisih pendapat, adakah halal untuk kita memakan sembelihan ahli kitab yang tidak mengikut syara’ islam.
pendapat pertama : halal dimakan
ia adalah pendapat beberapa ulama mazhab Maliki seperti Ibn Arabi. Beliau berpendapat yang ahli kitab tidak terikat dengan cara sembelihan orang Islam.[Ahkam al-Quran ;2/554].
Sandarannya ialah keumuman firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 5 sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini pada bab hukum melafazkan bismillah ketika sembelihan.
Selain itu, pendapat ini juga disandarkan kepada hadith Abu Hurairah, dimana ketika dibuka Khaibar, nabi saw dihadiahkan daging kambing biri-biri, dan beliau memakannya[ Bukhari : 193 ].
Nabi saw memakannya tanpa bertanya adakah ia disembelih megikut syara’ atau tidak.
Pendapat kedua : haram dimakan.
Ia adalah pendapat jumhur ulama.majlis fatwa Arab Saudi juga turut menyatakan keharamannya[lihat fatwa no ; 1216]
Antara sandarannya ialah firman Allah swt :
والمنخنقة والموقوذة والمتردية والنطيحة…..
Maksudnya :…dan yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk…[al-Maidah ;3].
Dan semua teknik moden untuk mematikan haiwan yang digunakan pada hari ini termasuk dalam firman Allah ini.
3. Haiwan yang disembelih dengan cara yang tidak diketahui.
Maksudnya, kita tiada maklumat, adakah haiwan itu disembelih dengan cara yang syara’, ataupun sebaliknya seperti dengan ketukan dan sebagainya.
Pada keadaan sebegini, para ulama berselisih pendapat :
Pendapat pertama : halal memakannya
Antara yang memfatwakannya ialah bekas mufti Arab Saudi, Syeikh Abdul Aziz bin Baz.
Antara sandarannya ialah firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 5. Berdasarkan ayat tersebut, maka hukum asal sembelihan ahli kitab adalah halal, kecuali dipastikan yang memang disembelih secara tidak syara’.
Pendapat kedua : haram memakannya.
Ini kerana berdasarkan kaedah yang telah disebut pada awal tulisan ini, iaitu hukum asal bagi sembelihan adalah haram, maka ia kekal haram sehingga dipastikan yang ia disembelih mengikut cara syara’.
Sabda nabi saw :
إذا أرسلت كلبك المعلم وذكرت اسم الله عليه فكل, فإن وجدت كلبا آخر فلا تأكل
Maksudnya : jika kamu melepaskan anjing buruan, dan kamu telah menyebut nama Allah, maka makanlah hasil buruan tersebut, tetapi jika kamu dapati adanya anjing lain disitu, maka jangan makan.[Muslim ; 1929 ].
Kata Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith ini ; hadith ini menerangkan satu kaedah yang penting iaitu, jika kita syak pada sembelihan haiwan, maka tidak halal dimakan, kerana hukum asalnya adalah haram,,[ syarh sahih muslim 7/63].