Cerita tentang perjalanan hijrah Rasulullah ﷺ daripada Makkah ke Madinah, antara yang sering diceritakan ialah bagaimana Rasulullah ﷺ dan Abu Bakr bersembunyi di Gua Tsur, dan terdapat labah-labah yang membuat sarang di pintu gua tersebut, benarkah kisah labah labah tersebut?
Imam Ahmad dalam Musnad beliau meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdul Razzaq, daripada Ma’mar daripada ‘Uthman al-Jazari, daripada Miqsam Mawla Ibn Abbas, daripada Ibn Abbas tentang Firman Allah:
“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu…”
Kata Ibn Abbas:
تَشَاوَرَتْ قُرَيْشٌ لَيْلَةً بِمَكَّةَ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: إِذَا أَصْبَحَ، فَأَثْبِتُوهُ بِالْوَثَاقِ، يُرِيدُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلِ اقْتُلُوهُ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ أَخْرِجُوهُ، فَأَطْلَعَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ نَبِيَّهُ عَلَى ذَلِكَ، فَبَاتَ عَلِيٌّ عَلَى فِرَاشِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ اللَّيْلَةَ، وَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى لَحِقَ بِالْغَارِ، وَبَاتَ الْمُشْرِكُونَ يَحْرُسُونَ عَلِيًّا، يَحْسَبُونَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أَصْبَحُوا ثَارُوا إِلَيْهِ، فَلَمَّا رَأَوْا عَلِيًّا، رَدَّ اللهُ مَكْرَهُمْ، فَقَالُوا: أَيْنَ صَاحِبُكَ هَذَا؟ قَالَ: لَا أَدْرِي، فَاقْتَصُّوا أَثَرَهُ، فَلَمَّا بَلَغُوا الْجَبَلَ خُلِّطَ عَلَيْهِمْ، فَصَعِدُوا فِي الْجَبَلِ، فَمَرُّوا بِالْغَارِ، فَرَأَوْا عَلَى بَابِهِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ، فَقَالُوا: لَوْ دَخَلَ هَاهُنَا، لَمْ يَكُنْ نَسْجُ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى بَابِهِ، فَمَكَثَ فِيهِ ثَلَاثَ لَيَالٍ
Pada satu malam, kaum Quraish bermesyuarat di Makkah, sebahagian mereka mencadangkan, apabila pagi, ikat dia,-orang yang mereka maksudkan ialah Rasulullah ﷺ-, sebahagian yang lain mencadangkan, “bahkan, kamu bunuh dia”, yang lain mencadangkan, “halau dia keluar”, Allah mengilhamkan kepada Rasulullah ﷺ sehingga baginda mengetahui perancangan jahat mereka. Maka Nabi ﷺ meminta Ali untuk tidur di tempat pembaringan baginda pada malam tersebut…apabila kaum Quraish melihat, orang yang berada di pembaringan Nabi ﷺ itu ialah Ali, mereka bertanya, mana Muhammad? Jawab Ali, aku tidak tahu. Mereka pun mengekori kesan tapak kaki perjalanan baginda sehingga sampai ke kaki bukit, mereka keliru ke mana arah baginda. Kemudian mereka mendaki bukit sehingga melalui sebuah gua. Mereka mendapati terdapat sarang labah-labah. Kata mereka, “kalau ada orang yang masuk ke dalam gua ini, tak mungkin ada sarang labah-labah di pintu gua ini. baginda bersembunyi di dalam gua itu selama tiga hari.”[1]
Kisah ini dinilai sebagai hasan oleh Ibn Kathir, beliau menyebut:
وَهَذَا إِسنَادٌ حَسَن وَهُوَ مِن أَجَوَد مَا رُوِيَ فِي قِصَّةِ نَسج العَنكَبُوتِ عَلَى فَمِ الغَارِ
“Sanadnya hasan, ianya adalah riwayat yang paling berkualiti bagi kisah labah-labah membina sarang di pintu gua.” [2]
Tetapi dalam karya beliau yang lain iaitu al-Fusul fi Sirah al-Rasul, kelihatan seperti beliau menilai kisah ini sebagai lemah, kerana beliau mendatangkannya dengan sighah tamridh.
Al-Hafiz Ibn Hajar juga menilainya sebagai hasan dalam Fath al-Bari, tetapi dalam masa yang sama beliau juga menilai seorang perawi dalam rangkaian sanad kisah ini iaitu ‘Uthman al-Jazari sebagai dhaif dalam Taqrib.[3]Kata Imam Ahmad, beliau meriwayatkan hadis-hadis yang munkar.[4]
Kerana itu, Syeikh Ahmad Syakir, penilai terulung yang menyemak status hadis-hadis dalam Musnad Ahmad, turut melihat bahawa sanad hadis ini perlu diteliti kerana padanya perawi bernama ‘Uthman al-Jazariy.[5]
Selain itu, al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin turut kelihatan cenderung kepada penilaian kisah ini sebagai lemah kerana apa yang boleh difahami daripada perkataan Abu Bakr:
لَو أَنّ أَحَدَهُم نَظَرَ تَحتَ قَدَمَيهِ لَأَبصَرَنَا
“Kalau seorang daripada mereka melihat ke bawah dua kaki mereka, pasti dia akan ternampak kami.”
“وَفِيه دَلِيلٌ عَلَى أَنّ قِصّةَ نَسجِ العَنكَبُوت غَيرُ صَحِيحَة، فَمَا يُوجَد فِي بَعضِ التَّوَارِيخ أَنّ العَنكَبُوتَ نَسَجَتْ عَلَى بَابِ الغَارِ، وَأَنّه نَبَتَ فِيه شَجَرَة، وَأَنّهُ كَانَ عَلَى غُصنِهَا حَمَامَة.. كُلّ هَذَا لَا صِحَّةَ لَه؛ لِأَنّ الذِّي مَنَعَ المُشركِين مِن رُؤيَةِ النّبِي – صلى الله عليه وسلم – وَصَاحِبِه أَبِي بَكْر – رضي الله عنه – لَيسَتْ أمورًا حِسِّيَة تَكُونُ لَهُمَا وَلِغَيرِهِمَا بَل هِي أُمُورٌ مَعنَوِيَةٌ وَآيةٌ مِن آيَاتِ اللهِ عَزّ وَجَلّ
“Pada perkataan itu dalil yang menunjukkan kisah labah-labah membuat sarang itu tidak sahih, apa yang didapati dalam petikan sejarah bahawa labah-labah membuat sarang di pintu gua, adanya pohon yang tumbuh padanya, juga burung merpati yang membuat sarang…semuanya ini tidak sahih. Kerana perkara yang menghalang kaum musyrik daripada terlihat Baginda ﷺ dan sahabatnya Abu Bakr, bukanlah perkara yang boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi adalah perkara maknawi yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, dan ianya adalah ayat(petunjuk kebesaran) daripada ayat-ayat Allah.”[6]
Al-Syeikh al-Albani turut menilai kisah ini sebagai lemah,[7] katanya hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah berkaitan kisah ini dalam surah al-Taubah: 44:
“Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) Maka Sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia (Rasulullah ﷺ) salah seorang dari dua orang (bersama Abu Bakr) ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia (Muhammad) berkata kepada temannya (Abu Bakr): “Janganlah kamu berduka cita, Sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan al-Quran menjadikan orang-orang kafir Itulah yang rendah. dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”
Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa Allah menurunkan pertolongan dengan tentera yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Adapun labah-labah, ianya boleh dilihat dengan mata kasar.
Kerana itulah al-Imam al-Baghawi (510 H) dalam tafsir beliau berkaitan ayat ini menyebut:
وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْها، وَهُمُ الْمَلَائِكَةُ نَزَلُوا يَصْرِفُونَ وَجُوهَ الكفار وأبصارهم عن رؤيته
“Baginda dibantu dengan tentera yang tidak boleh dilihat, Mereka ialah Malaikat yang diturunkan, mereka memalingkan wajah-wajah kaum kuffar dan pandangan mereka daripada terlihat kepada Rasulullah ﷺ.”[8]
Wallahua’lam, yang mana satu sekalipun, samada pertolongan yang boleh dilihat dengan mata kasar, atau yang tidak boleh dilihat, kedua-duanya tetap menunjukkan kekuasaan Allah dalam memelihara rasulNya dan mereka yang beriman kepadaNya dengan sebenar-benar iman.
Yang menjadi masalahnya, kita yang tak buat apa-apa ini, tapi mengharap pertolongan Allah untuk memenangkan Islam dan kaum muslimin.
Kekuatan umat Islam untuk menang mendapat pertolongan Allah, tidak lain, ialah dengan kembali kepadaNya, disamping cuba bersaing dalam membangunkan teknologi dan strategi.
[1] Musnad Ahmad: 3251. Syeikh Syu’aib al-Arnauth menilai sanadnya sebagai dhaif kerana Uthman al-Jazari.
[2] Al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/221.
[3] Taqrib al-Tahzib, m/s 386
[4] Al-Jarh wa al-Ta’dil, 6/174.
[5] Musnad Ahmad. Tahqiq oleh Syeikh Ahmad Syakir, 3/388-389
[6] Syarh Riyadh al-Salihin, 1/564.
[7] Silsilah al-Ahadits al-Dha’ifah, 3/263.
[8] Ma’alim al-Tanzil, al-Baghawi, 2/353.
Tinggalkan Jawapan