Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Disember 2017


Diceritakan ketika Baginda saw di akhir-akhir hayatnya, dikatakan bahawa Rasulullah saw berucap di masjid, kemudian bertanya kepada orang ramai:

مَنْ كَانَتْ لَهُ قِبَلِي مَظْلَمَةٌ فَلْيَقُمْ فَلْيَقْتَصَّ مِنِّي

“Siapa yang pernah aku zalimi sebelum ini, balaslah semula perbuatan aku itu (qisas)…”

Baginda bertanya sehingga tiga kali, bangun seorang sahabat bernama ‘Ukkasyah. Dipendekkan cerita, ‘Ukkasyah memberitahu bahawa dalam satu peperangan, ketika telah selesai, unta tunggangan beliau dan unta tunggangan Rasulullah beriringan, lalu beliau pun turun dari tunggangan untuk mencium peha baginda, tiba-tiba baginda mengangkat cemetinya dan terpukul dada beliau tanpa disedari dan tidak sengaja. Jadi sekarang ‘Ukkasyah hendak membalasnya semula kepada Rasulullah.

Semua para sahabat marah dan menangis, sampai hati ‘Ukkasyah hendak melakukan hal itu kepada rasulullah. Ada yang ingin menggantikan tempat Rasulullah saw, tetapi tidak dibenarkan oleh Rasulullah, dan ‘Ukkasyah juga tidak mahu.

Kata beliau, semasa baginda memukulnya, perutnya terbuka tidak berlapik, jadi beliau meminta Rasulullah membuka perutnya, apabila baginda membuka perutnya, beliau pun terus mengucupnya. Sebenarnya itulah yang dikehendaki oleh beliau, bukan untuk melakukan qisas. Dikatakan Rasulullah menyebut bahawa ‘Ukkasyah adalah temannya di syurga.

Betulkah kisah ini?

Sedih tak mendengar atau membaca kisah ini? Memang menyedihkan, lebih-lebih lagi kalau dibaca dengan teks asalnya dalam bahasa arab. Cerita ini begitu popular dalam kalangan masyarakat, selalu diulang-ulang, ceramah agama, mahupun kem motivasi, disebar melalui media sosial.

Tetapi malangnya kisah ini tidak sabit, ianya diriwayatkan dalam hadis yang panjang, riwayat al-Tabaraniy dalam al-Kabir, juga Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Awliya’[1].

Kisah ini adalah sebahagian daripada hadis panjang yang sama dimana diceritakan Malaikat Maut meminta izin untuk mencabut nyawa Baginda saw. Jadi tidak perlu diulang perbahasan sanadnya, Cuma secara ringkas, ianya tidak sabit, bahkan palsu menurut al-Haitsamiy, kerana terdapat perawi yang bernama Abdul Mun’im bin Idris yang disebut sebagai kuat berbohong, juga bapanya Idris bin Sinan yang berstatus matruk.[2]

Kisah yang sabit mirip kisah ‘Ukkasyah

Kisah ‘Ukkasyah yang tidak sabit itu, jalan penceritaannya memang bermain dengan air mata, itu yang menjadi halwa telinga, tapi janganlah disebarkan lagi, kerana ianya tidak sabit.

Ada kisah yang sabit, mirip kisah ‘Ukkasyah ini, tetapi bukan ‘Ukkasyah orangnya, orangnya ialah sahabat yang bernama Usaid bin Hudhair. Abu Dawud meriwayatkan dalam Sunannya:

عَنْ أُسَيْدِ بْنِ حُضَيْرٍ – رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ – قَالَ بَيْنَمَا هُوَ يُحَدِّثُ الْقَوْمَ وَكَانَ فِيهِ مِزَاحٌ بَيْنَا يُضْحِكُهُمْ فَطَعَنَهُ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم فِى خَاصِرَتِهِ بِعُودٍ فَقَالَ أَصْبِرْنِى. فَقَالَ « اصْطَبِرْ ». قَالَ إِنَّ عَلَيْكَ قَمِيصًا وَلَيْسَ عَلَىَّ قَمِيصٌ.

فَرَفَعَ النَّبِىُّ صلى الله عليه وسلم عَنْ قَمِيصِهِ فَاحْتَضَنَهُ وَجَعَلَ يُقَبِّلُ كَشْحَهُ قَالَ إِنَّمَا أَرَدْتُ هَذَا يَا رَسُولَ اللَّهِ

“Daripada Usaid bin Hudhair –seorang lelaki Ansar-, beliau berkata, pada satu hari ketika sekumpulan orang sedang bersembang, ada gurauan dan jenaka dalam perbualan itu yang menyebabkan mereka tertawa. Tiba-tiba Rasulullah saw memukul bahagian dada Usaid dengan kayu. Lalu kata Usaid, mari sini aku pukul semula. Jawab baginda, pukullah. Kata Usaid, kau ada baju, tadi kau pukul aku, aku tak berbaju, lalu Baginda saw pun mengangkat bajunya, lalu Usaid pun mencium tubuh Rasulullah saw, kata beliau, ini yang aku hendak sebenarnya.”

(HR Abu Dawud: 5226)[3]

Hadis ini dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabiy.[4] Syeikh Syu’aib al-Arnauth berkata, sanadnya sahih mengikut syarat sahihain,[5] dinilai sahih juga Syeikh al-Albaniy.[6]

Kisah ini lebih kepada gurauan, bukanlah serius seperti kisah ‘Ukkasyah. Apapun, begitulah tabiat para sahabat, sangat mencintai Baginda saw. Demikianlah kita, berusahalah mengamalkan sunnah-sunnah baginda sebagai bukti kecintaan kita kepada Rasulullah saw, hendak dipeluk cium, baginda telah wafat, tinggallah warisan Baginda saw kepada kita, iaitu hadis-hadis sahih yang menjadi panduan kita.

Sebagai faedah tambahan, ‘Ukkasyah bin Mihson adalah orang yang disebut sebagai antara 70 ribu umat nabi yang akan masuk ke syurga tanpa hisab.[7]

[1] Hilyah al-Awliya’, 4/73

[2] Rujuk perbahasan dalam blog ini berkaitan benarkah Malaikat Maut meminta Izin Rasulullah saw untuk mencabut nyawanya.

[3] Turut direkodkan oleh al-Baihaqiy dalam al-Sunan al-Kubra: 13970

[4] Lihat al-Mustadrak: 5262

[5] Musnad Ahmad, Tahqiq: Syeikh Syu’aib al-Arnauth, 17/328.

[6] Sahih Sunan Abi Dawud, al-Albaniy, no: 5224

[7] Lihat Sahih al-Bukhari: 5705

Advertisements

Read Full Post »


Dikatakan ketika Baginda ﷺ berada hampir dengan saat kewafatannya, Malaikat Maut diutuskan menyerupai lelaki arab kepada Rasulullah ﷺ untuk dicabut nyawanya. Setibanya di depan pintu rumah baginda, Malaikat Maut memberi salam dan meminta izin untuk masuk, tidak dibenarkan Fatimah untuk memasuki rumah, sehinggalah kali ketiga Malaikat maut meminta izin, ianya didengari Rasulullah ﷺ, dan baginda mengizinkannya untuk masuk. Kemudian ditanya kepadanya, “engkau datang untuk menziarahiku atau untuk mencabut nyawaku? Jawab Malaikat maut:

جِئْتُكَ زَائِرًا وَقَابِضًا ، وَأَمَرَنِي اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَنْ لا أَدْخُلَ عَلَيْكَ إِلا بِإِذْنِكَ ، وَلا أَقْبِضَ رُوحكَ إِلا بِإِذْنِكَ ، فَإِنْ أَذِنْتَ وَإِلا رَجَعْتُ إِلَى رَبِّي عَزَّ وَجَلَّ

“Aku datang untuk menziarahi dan mencabut nyawamu, Allam memerintahkan aku untuk tidak masuk melainkan dengan izinmu, dan tidak mencabut nyawamu melainkan dengan izinmu. Kalau kau izinkan, aku cabut, kalau tidak, aku kembali kepada Allah swt.”

Dan begitulah sehingga akhir kisah yang panjang, yang diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir.[1]

Kisah ini memang menyedihkan dan boleh membuat air mata jatuh, tetapi adakah kisah Malaikat maut meminta izin ini dan dialog antaranya dengan rasulullah benar berlaku?

Riwayat ini didatangkan oleh al-Tabarani dalam al-Kabir ini, ianya tidak boleh diterima kerana dalam rantaian sanadnya terdapat perawi yang bernama Abdul Mun’im bin Idris dan bapanya Idris bin Sinan, riwayat mereka berdua bermasalah.

Kata Ahmad bin Hanbal, Idris bin Sinan ini berdusta ke atas Wahab bin Munabbih.

Kata al-Bukhari, Abdul Mun’im bin Idris ini “zahib al-hadis”. Ali bin al-Madiniy, Abu Daud dan al-Nasaie menyatakan Abdul Mun’im tidak thiqah. Kata al-Daraqutniy: “Abdul Mu’im dan Idris adalah dua orang yang matruk.”[2]

Al-Haitsami merekodkan hadis ini dan katanya selepas itu:

رواه الطبراني وفيه عبد المنعم بن إدريس وهو كذاب وضاع

“Diriwayatkan oleh al-Tabarani, pada sanadnya, perawi bernama Abdul Mun’im bin Idris, dia seorang pembohong dan pemalsu hadis.”[3]

Al-Tabaraniy turut mendatangkan kisah ini dalam bab yang lain, antaranya daripada riwayat Ali bin al-Husain. Yang mana ianya juga lemah kerana terdapat perawi Abdullah bin Maimun al-Qadah.

Kata Ibn Abi Hatim, “aku mendengar bapaku berkata tentangnya sebagai munkarul hadis.” Abu Zur’ah menyebutnya sebagai wahi al-hadis.[4]

Begitu juga riwayat lain berkenaan hal itu, yang juga tidak sabit kisah tersebut.

Al-Syeikh Ibn al-‘Uthaimin pernah ditanya tentang hal ini, adakah sahih? Maka jawab beliau, kisah ini tidak sahih, Malaikat maut tidak datang dan meminta izin kepada baginda…[5]

Sebenarnya kisah kewafatan rasulullah itu sendiri adalah perkhabaran yang tersangat menyedihkan, sebagaimana yang kita tahu, sehinggakan Umar tidak boleh menerima hal itu, ingin dipancung kepala mereka yang mengatakan Muhammad ﷺ telah wafat. Sehinggalah Saidina Abu Bakr berucap yang menyebabkan sekalian sahabat menangisi kewafatan baginda:

فَحَمِدَ اللَّهَ أَبُو بَكْرٍ وَأَثْنَى عَلَيْهِ، وَقَالَ: أَلا مَنْ كَانَ يَعْبُدُ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَإِنَّ مُحَمَّدًا قَدْ مَاتَ، وَمَنْ كَانَ يَعْبُدُ اللَّهَ فَإِنَّ اللَّهَ حَيٌّ لاَ يَمُوتُ…

“Abu Bakar memuji Allah, kemudian berucap, “ketahuilah sesiapa yang menyembah Muhammad ﷺ, sesungguhnya Muhammad telah wafat, sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah hidup dan tidak akan mati. Kemudian beliau membaca firman Allah:

وَقَالَ: {إِنَّكَ مَيِّتٌ وَإِنَّهُمْ مَيِّتُونَ} ، وَقَالَ: {وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِنْ قَبْلِهِ الرُّسُلُ أَفَإِنْ مَاتَ أَوْ قُتِلَ انْقَلَبْتُمْ عَلَى أَعْقَابِكُمْ وَمَنْ يَنْقَلِبْ عَلَى عَقِبَيْهِ فَلَنْ يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ}

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan mati dan sesungguhnya mereka juga akan mati.” ( al-Zumar: 30) “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” (Ali Imran: 144)

 

(HR al-Bukhari: 3668)

Berpadalah dengan kisah-kisah yang sahih, tidak perlu ditarik perhatian pendengar dengan mendatangkan riwayat-riwayat yang tidak benar melainkan untuk memberitahu bahawa kisah itu tidak sabit.

Orang sedih, dia pun nak sedih, orang kata rindu nabi, dia pun kata rindu nabi, orang ajak solat Jemaah, dia kata kau pergi dulu, sekejap lagi aku pergi, sampai ke sudah tak nampak batang hidung.

[1] Lihat teks penuh hadis dalam Al-Mu’jam al-Kabir, al-Tabarani, hadis no: 2610

[2] Al-Dhu’afa’ wa al-Matrukin, Ibn al-Jauziy, 2/ 154

[3] Majma’ al-Zawaid, 8/605.

[4] Al-Jarh wa al-Ta’dil, Ibn Abi Hatim 5/172.

[5] Liqa’ al-Bab al-Maftuh, Ibn ‘Uthaimin 2/340.

Read Full Post »


Cerita tentang perjalanan hijrah Rasulullah ﷺ daripada Makkah ke Madinah, antara yang sering diceritakan ialah bagaimana Rasulullah ﷺ dan Abu Bakr bersembunyi di Gua Tsur, dan terdapat labah-labah yang membuat sarang di pintu gua tersebut, benarkah kisah labah labah tersebut?

Imam Ahmad dalam Musnad beliau meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abdul Razzaq, daripada Ma’mar daripada ‘Uthman al-Jazari, daripada Miqsam Mawla Ibn Abbas, daripada Ibn Abbas tentang Firman Allah:

“Dan (ingatlah), ketika orang-orang kafir (Quraisy) memikirkan daya upaya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu…”

Kata Ibn Abbas:

تَشَاوَرَتْ قُرَيْشٌ لَيْلَةً بِمَكَّةَ، فَقَالَ بَعْضُهُمْ: إِذَا أَصْبَحَ، فَأَثْبِتُوهُ بِالْوَثَاقِ، يُرِيدُونَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلِ اقْتُلُوهُ، وَقَالَ بَعْضُهُمْ: بَلْ أَخْرِجُوهُ، فَأَطْلَعَ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ نَبِيَّهُ عَلَى ذَلِكَ، فَبَاتَ عَلِيٌّ عَلَى فِرَاشِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تِلْكَ اللَّيْلَةَ، وَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَتَّى لَحِقَ بِالْغَارِ، وَبَاتَ الْمُشْرِكُونَ يَحْرُسُونَ عَلِيًّا، يَحْسَبُونَهُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمَّا أَصْبَحُوا ثَارُوا إِلَيْهِ، فَلَمَّا رَأَوْا عَلِيًّا، رَدَّ اللهُ مَكْرَهُمْ، فَقَالُوا: أَيْنَ صَاحِبُكَ هَذَا؟ قَالَ: لَا أَدْرِي، فَاقْتَصُّوا أَثَرَهُ، فَلَمَّا بَلَغُوا الْجَبَلَ خُلِّطَ عَلَيْهِمْ، فَصَعِدُوا فِي الْجَبَلِ، فَمَرُّوا بِالْغَارِ، فَرَأَوْا عَلَى بَابِهِ نَسْجَ الْعَنْكَبُوتِ، فَقَالُوا: لَوْ دَخَلَ هَاهُنَا، لَمْ يَكُنْ نَسْجُ الْعَنْكَبُوتِ عَلَى بَابِهِ، فَمَكَثَ فِيهِ ثَلَاثَ لَيَالٍ

Pada satu malam, kaum Quraish bermesyuarat di Makkah, sebahagian mereka mencadangkan, apabila pagi, ikat dia,-orang yang mereka maksudkan ialah Rasulullah -, sebahagian yang lain mencadangkan, “bahkan, kamu bunuh dia”, yang lain mencadangkan, “halau dia keluar”, Allah mengilhamkan kepada Rasulullah sehingga baginda mengetahui perancangan jahat mereka. Maka Nabi meminta Ali untuk tidur di tempat pembaringan baginda pada malam tersebut…apabila kaum Quraish melihat, orang yang berada di pembaringan Nabi itu ialah Ali, mereka bertanya, mana Muhammad? Jawab Ali, aku tidak tahu. Mereka pun mengekori kesan tapak kaki perjalanan baginda sehingga sampai ke kaki bukit, mereka keliru ke mana arah baginda. Kemudian mereka mendaki bukit sehingga melalui sebuah gua. Mereka mendapati terdapat sarang labah-labah. Kata mereka, “kalau ada orang yang masuk ke dalam gua ini, tak mungkin ada sarang labah-labah di pintu gua ini. baginda bersembunyi di dalam gua itu selama tiga hari.”[1]

Kisah ini dinilai sebagai hasan oleh Ibn Kathir, beliau menyebut:

وَهَذَا إِسنَادٌ حَسَن وَهُوَ مِن أَجَوَد مَا رُوِيَ فِي قِصَّةِ نَسج العَنكَبُوتِ عَلَى فَمِ الغَارِ

“Sanadnya hasan, ianya adalah riwayat yang paling berkualiti bagi kisah labah-labah membina sarang di pintu gua.” [2]

Tetapi dalam karya beliau yang lain iaitu al-Fusul fi Sirah al-Rasul, kelihatan seperti beliau menilai kisah ini sebagai lemah, kerana beliau mendatangkannya dengan sighah tamridh.

Al-Hafiz Ibn Hajar juga menilainya sebagai hasan dalam Fath al-Bari, tetapi dalam masa yang sama beliau juga menilai seorang perawi dalam rangkaian sanad kisah ini iaitu ‘Uthman al-Jazari sebagai dhaif dalam Taqrib.[3]Kata Imam Ahmad, beliau meriwayatkan hadis-hadis yang munkar.[4]

Kerana itu, Syeikh Ahmad Syakir, penilai terulung yang menyemak status hadis-hadis dalam Musnad Ahmad, turut melihat bahawa sanad hadis ini perlu diteliti kerana padanya perawi bernama ‘Uthman al-Jazariy.[5]

Selain itu, al-Syeikh Ibn ‘Uthaimin turut kelihatan cenderung kepada penilaian kisah ini sebagai lemah kerana apa yang boleh difahami daripada perkataan Abu Bakr:

لَو أَنّ أَحَدَهُم نَظَرَ تَحتَ قَدَمَيهِ لَأَبصَرَنَا

“Kalau seorang daripada mereka melihat ke bawah dua kaki mereka, pasti dia akan ternampak kami.”

“وَفِيه دَلِيلٌ عَلَى أَنّ قِصّةَ نَسجِ العَنكَبُوت غَيرُ صَحِيحَة، فَمَا يُوجَد فِي بَعضِ التَّوَارِيخ أَنّ العَنكَبُوتَ نَسَجَتْ عَلَى بَابِ الغَارِ، وَأَنّه نَبَتَ فِيه شَجَرَة، وَأَنّهُ كَانَ عَلَى غُصنِهَا حَمَامَة.. كُلّ هَذَا لَا صِحَّةَ لَه؛ لِأَنّ الذِّي مَنَعَ المُشركِين مِن رُؤيَةِ النّبِي – صلى الله عليه وسلم – وَصَاحِبِه أَبِي بَكْر – رضي الله عنه – لَيسَتْ أمورًا حِسِّيَة تَكُونُ لَهُمَا وَلِغَيرِهِمَا بَل هِي أُمُورٌ مَعنَوِيَةٌ وَآيةٌ مِن آيَاتِ اللهِ عَزّ وَجَلّ

“Pada perkataan itu dalil yang menunjukkan kisah labah-labah membuat sarang itu tidak sahih, apa yang didapati dalam petikan sejarah bahawa labah-labah membuat sarang di pintu gua, adanya pohon yang tumbuh padanya, juga burung merpati yang membuat sarang…semuanya ini tidak sahih. Kerana perkara yang menghalang kaum musyrik daripada terlihat Baginda dan sahabatnya Abu Bakr, bukanlah perkara yang boleh dilihat dengan mata kasar, tetapi adalah perkara maknawi yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, dan ianya adalah ayat(petunjuk kebesaran) daripada ayat-ayat Allah.”[6]

Al-Syeikh al-Albani turut menilai kisah ini sebagai lemah,[7] katanya hal ini dikuatkan lagi dengan firman Allah berkaitan kisah ini dalam surah al-Taubah: 44:

“Jikalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) Maka Sesungguhnya Allah telah menolongnya (iaitu) ketika orang-orang kafir (musyrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah) sedang dia (Rasulullah ) salah seorang dari dua orang (bersama Abu Bakr) ketika keduanya berada dalam gua, di waktu dia (Muhammad) berkata kepada temannya (Abu Bakr): “Janganlah kamu berduka cita, Sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan keterangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentera yang kamu tidak melihatnya, dan al-Quran menjadikan orang-orang kafir Itulah yang rendah. dan kalimat Allah itulah yang tinggi. Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”

Dalam ayat ini Allah menerangkan bahawa Allah menurunkan pertolongan dengan tentera yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Adapun labah-labah, ianya boleh dilihat dengan mata kasar.

Kerana itulah al-Imam al-Baghawi (510 H) dalam tafsir beliau berkaitan ayat ini menyebut:

وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَمْ تَرَوْها، وَهُمُ الْمَلَائِكَةُ نَزَلُوا يَصْرِفُونَ وَجُوهَ الكفار وأبصارهم عن رؤيته

“Baginda dibantu dengan tentera yang tidak boleh dilihat, Mereka ialah Malaikat yang diturunkan, mereka memalingkan wajah-wajah kaum kuffar dan pandangan mereka daripada terlihat kepada Rasulullah .[8]

Wallahua’lam, yang mana satu sekalipun, samada pertolongan yang boleh dilihat dengan mata kasar, atau yang tidak boleh dilihat, kedua-duanya tetap menunjukkan kekuasaan Allah dalam memelihara rasulNya dan mereka yang beriman kepadaNya dengan sebenar-benar iman.

Yang menjadi masalahnya, kita yang tak buat apa-apa ini, tapi mengharap pertolongan Allah untuk memenangkan Islam dan kaum muslimin.

Kekuatan umat Islam untuk menang mendapat pertolongan Allah, tidak lain, ialah dengan kembali kepadaNya, disamping cuba bersaing dalam membangunkan teknologi dan strategi.

[1] Musnad Ahmad: 3251. Syeikh Syu’aib al-Arnauth menilai sanadnya sebagai dhaif kerana Uthman al-Jazari.

[2] Al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/221.

[3] Taqrib al-Tahzib, m/s 386

[4] Al-Jarh wa al-Ta’dil, 6/174.

[5] Musnad Ahmad. Tahqiq oleh Syeikh Ahmad Syakir, 3/388-389

[6] Syarh Riyadh al-Salihin, 1/564.

[7] Silsilah al-Ahadits al-Dha’ifah, 3/263.

[8] Ma’alim al-Tanzil, al-Baghawi, 2/353.

Read Full Post »