Kisah ini merupakan antara ‘bed time story’ yang agak kerap saya dengar ketika remaja dahulu, Kisahnya begini, dikatakan seorang sahabat Nabi saw yang digelar Abu Mua’llaq, daripada kalangan Ansar, beliau merupakan seorang peniaga, seorang yang kuat ibadah dan sangat wara’. Pada satu ketika, beliau sedang bermusafir untuk berniaga, dalam perjalanan, beliau ditahan oleh seorang pencuri yang lengkap bersenjata. Berlaku perbualan antara mereka:
ضَع مَا مَعَك فَإِنّي قَاتِلُكَ قَالَ : مَا تُرِيدُ إِلَى دَمِي؟ شَأنُكَ بِالمَالِ قَال : أَمّا المال فَلِي وَلَستُ أُرِيدُ إلِا دَمَك قَال : أَمَا إِذَا أَبَيتَ فَذَرنِي أُصَلِّي أَربَعَ ركَعَات قَال : صَلِّ مَا بَدَا لَك
Pencuri itu berkata, “tinggalkan apa yang engkau ada, dan aku hendak membunuh engkau.” Abu Mi’laq menjawab, “kenapa engkau hendak bunuh aku, sedangkan kau hendak harta sahaja?” Pencuri itu menjawab, “adapun harta, untuk aku, dan aku tidak berkeinginan selain daripada membunuh engkau.” Jawab Abu Mua’llaq, “kalau begitu, beri aku peluang untuk solat empat rakaat.” Pencuri itu menjawab, “solatlah berapa rakaat yang engkau hendak pun.”
Beliau pun bersolat, sehingga ketikas sujud yang terakhir, beliau membaca:
يَا وَدُودُ يَا ذَا العَرشِ المجِيدِ يَا فَعَّالُ لِمَا يُرِيدُ أَسألُكَ بِعِزّكَ الّذِي لَا يُرَامُ وَمُلكِكَ الّذِي لَا يُضَامُ وَبنُورِكَ الّذِي مَلَأَ أَركَانَ عَرشِكَ أَن تَكفِيَنِي شَرَّ هَذَا اللِّص يَا مُغِيثُ أَغِثْنِي يَا مُغِيثُ أَغِثنِي ثَلَاثَ مَرّاتٍ قَال : دَعَى بِهَا ثَلَاثَ مَرّاتٍ
“Wahai tuhan yang pengasih, pemilik ‘arasy yang mulia, wahai tuhan yang mampu melakukan segala yang dikehendaki, aku memohon dengan kemuliaanMu yang tidak terbatas, kerajaan Mu yang tidak tertewas, cahayaMu yang memenuhi setiap bucu Arasy, Kau halanglah kejahatan pencuri ini wahai Yang memberi pertolongan, tolonglah aku, wahai Yang memberi pertolongan, tolonglah aku (3 kali).”
Selepas itu, tiba-tiba datang seseorang yang berkuda, bersamanya sebatang tombak, menikam dan membunuh pencuri tersebut. Kemudian lelaki itu menyuruh Abu Mua’llaq bangun.
Beliau bertanya kepada lelaku itu, “siapa engkau?” lelaki itu menjawab, “aku malaikat daripada penduduk lapisan langit yang keempat, engkau berdoa dengan doa engkau yang pertama, aku mendengar pintu-pintu langit bergegar, kemudian engkau berdoa dengan doa kedua, aku mendengar penduduk langit bertempikan, kemudian engkau berdoa dengan doa yang ketiga, seseorang bekata kepada ku, ini doa orang yang kesempitan, aku pun meminta kepada Allah agar menghantar aku untuk membunuh pencuri itu.
Kata Malaikat itu lagi, ketahuilah bahawa sesiapa yang berwudu, kemudian solat empat rakaat dan berdoa dengan doa ini, nescaya akan dijawab doanya, samada dalam keadaan susah atau tidak.
Apakah kisah ini sahih?
Kisah ini antara yang menukilkannya ialah Ibn Abi al-Dunya (281H),[1] mereka yang menukilkan selepas itu, semuanya melalui sanad Ibn Abu al-Dunya. Seperti Ibn Bisyakwal, Abdul Ghaniy al-Maqdisiy,[2] Dhiya’ al-Din al-Maqdisiy[3], Ibn Hajar[4] dan lain-lain.
Kisah ini diriwayatkan dengan sanad yang agak bermasalah, terdapat seorang perawi, iaitu al-Kalbiy, beliau adalah majhul, seorang yang tidak dikenali. Dan kalau al-Kalbiy yang dimaksudkan ialah pengarang tafsir, beliau dikritik oleh ilmuan jarh dan ta’dil. Antaranya sebagaimana kata Ibn Hibban:
مَذهَبُهُ فِي الدِّينِ وَوُضُوحُ الكَذبِ فِيه أَظهَرُ مِن أَن يُحتَاجَ إِلى الإغرَاقِ فِي وَصفِهِ
“Mazhabnya dalam beragama (syiah rafidhah) dan kejelasan pendustaan padanya adalah terlalu jelas daripada hendak diselidiki perihalnya lebih mendalam.” [5]
Kesimpulannya, sebagaimana kata Syeikh Masyhur Aal Salman, sanad-sanad kisah ini tidak sahih, sanadnya bermasalah samada kelihatan kelam dan kabur, atau terdapat pendusta dalam rangkaian sanadnya.[6]
Bolehkah diamalkan doa tersebut?
Doa yang terdapat dalam riwayat ini, mempunyai maksud yang baik, tidak bertentangan dengan prinsip akidah dan syariah. Boleh sahaja diungkap ketika berdoa meminta hajat kepada Allah, dengan syarat tanpa ada keyakinan akan fadhilat-fadhilat tertentu yang khusus bagi doa tersebut kerana fadhilatnya tidak sabit.
[1] Mujabu al-Da’wah, m/s 64.
[2] Al-Targhib fi al-Du’a, m/s 105.
[3] Al-‘Uddah li al-Kurab wa al-Syiddah, m/s 72.
[4] Al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah, 7/314.
[5] Dinukil daripada Mizan al-I’tidal, al-Zahabiy, 3/559.
[6] Lihat perbahasan lanjut dalam karya beliau, Qasasun la Tasbut, 8/81.
Tinggalkan Jawapan