Disediakan oleh:
Ahmad Sabiq Abdul Rahman
Maryam Jameelah Ali Sabri
Pendahuluan
Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan baginda saw.
Kehidupan manusia di dunia adalah suatu nikmat dan ujian oleh Allah swt, tidak kira samada dia lelaki mahupun wanita. Antara fitrah yang telah Allah ciptakan kepada makhluknya ialah berpasang-pasangan, termasuk juga haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Penciptaan Allah yang berbeza antara lelaki dan perempuan, bukan sekadar perbezaan pada batang tubuh fizikal sahaja, malah emosi, kebolehan dan kemampuan, serta kecenderungan, hak dan tanggungjawab turut berbeza.
Semua perbezaan yang wujud dalam diri lelaki dan wanita, yang mana perbezaan itu bukanlah atas kehendak manusia, tetapi adalah aturan dan fitrah yang telah Allah sertakan dengan penciptaan lelaki dan wanita itu sendiri, namun, sekalipun berbeza, lelaki dan wanita perlu tahu perbezaan yang paling utama di antara mereka di sisi Allah ialah taqwa, iaitu sejauhmana ketaatan mereka dalam mengikuti segala suruhan dan meninggalkan segala larangan Allah dan rasulNya.
Firman Allah swt yang bermaksud:
Wahai manusia, Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan wanita, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.[1]
Semua manusia adalah sama disudut asal usul, daripada tanah, Adam dan Hawa, tidak kira jantina, bangsa, kedudukan mahupun kekayaan. Adapun yang menjadi pemisah di antara seseorang dengan seorang yang lain di hadapan Allah ialah sejauhmana ketaqwaannya, ketaatan dan kesungguhannya mengikuti perintah dan sunnah baginda saw. Kerana itulah sebelum ayat ini, Allah menceritakan tentang larangan memperlekehkan orang lain, mengumpat dan menggelar dengan gelaran yang buruk, dan berprasangka. Semua perbuatan terkeji ini, dilakukan tidak lain kerana kita menyangka bahawa kita adalah lebih mulia daripada orang lain. Maka Allah menafikan semua itu dengan mengatakan bahawa kemuliaan di sisi Allah ialah mereka yang paling bertaqwa.[2]
Setelah kita sedari perbezaan antara lelaki dan wanita ini, maka-in syaa Allah- kita akan melihat sejauhmana hak dan tanggungjawab wanita dengan memfokuskan kepada pemilikan dan pewarisan harta.
Pemilikan Harta
Allah menjadikan alam ini beserta kekayaannya untuk manfaat dan kebaikan manusia. Firman Allah swt yang bermaksud:
Dialah Allah, yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu
Wanita termasuk di dalam keumuman ayat ini. Apa sahaja pemilikan yang berhak dan halal dimiliki oleh lelaki, turut berhak dan halal dimiliki oleh wanita, selagimana tidak ada pengecualian atau pengkhususan yang dinyatakan oleh syara.
1.0 Sumber Pendapatan Wanita
1.1 Perolehan Sendiri
Sebagaimana lelaki, wanita turut berhak memiliki pendapatan dan kewangannya sendiri, tanpa perlu bergantung harap dengan lelaki.
Seorang isteri yang memperolehi keizinan daripada suaminya untuk keluar bekerja, mempunyai hak penuh ke atas gaji yang diperolehinya.
Bahkan jika sebelum berkahwin, sekiranya wanita itu meletakkan syarat untuk dia boleh bekerja selepas berkahwin, maka syarat tersebut wajib dipenuhi sang suami selagi mana pekerjaan yang dilakukan tidak melanggari batasan syara.
Sabda Nabi saw:
أَحَقُّ مَا أَوْفَيْتُمْ مِنَ الشُّرُوطِ أَنْ تُوفُوا بِهِ مَا اسْتَحْلَلْتُمْ بِهِ الْفُرُوجَ
“Perkara yang paling berhak untuk kamu tunaikan ialah kamu menunaikan syarat yang diletakkan untuk menghalalkan faraj.”[3]
Tetapi syarat yang diletakkan itu mestilah tidak bertentangan dengan syara, sebagaimana sabda Nabi saw:
مَا بَالُ أَقْوَامٍ يَشْتَرِطُونَ شُرُوطًا لَيْسَ فِي كِتَابِ اللهِ مَنِ اشْتَرَطَ شَرْطًا لَيْسَ فِي كِتَابِ اللهِ فَلَيْسَ لَهُ وَإِنِ اشْتَرَطَ مِائَةَ مَرَّةٍ
“apa halnya mereka-mereka yang meletakkan syarat yang tidak ada di dalam kitab allah, mereka yang menetapkan syarat yang tidak ada di dalam kitab Allah(bertentangan dengan syara’), maka dia tiada hak dengan syarat tersebut, sekalipun dia meletakkan seratus syarat.”[4]
Sekiranya wanita itu tidak meletakkan syarat tersebut ketika perkahwinan hendak dimerterai, maka wajib ke atasnya meminta dan mendapat keizinan suami untuk bekerja, dan hal ini adalah menjadi suatu kesepakatan di kalangan ulama.
Gaji yang diperolehi oleh wanita adalah milik penuhnya, dia berhak membelanjakannya tanpa perlu meminta izin daripada suaminya. Hal ini boleh difahami daripada hadis nabi saw:
يَا مَعْشَرَ النِّسَاءِ , تَصَدَّقْنَ. فَإِنَّكُنَّ أَكْثَرُ حَطَبِ جَهَنَّمَ , فَقَامَتْ امْرَأَةٌ مِنْ سِطَةِ النِّسَاءِ , سَفْعَاءُ الْخَدَّيْنِ فَقَالَتْ: لِمَ يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ: لأَنَّكُنَّ تُكْثِرْنَ الشَّكَاةَ , وَتَكْفُرْنَ الْعَشِيرَ. قَالَ: فَجَعَلْنَ يَتَصَدَّقْنَ مِنْ حُلِيِّهِنَّ يُلْقِينَ فِي ثَوْبِ بِلالٍ مِنْ أَقْرَاطِهِنَّ وَخَوَاتِيمِهِنَّ
Wahai sekalian wanita, bersedekahlah, sesungguhnya kamu adalah bahan bakar neraka yang paling banyak, bangun seorang wanita yang mempunyai tompok hitam di pipinya bertanya, kenapa wahai rasulullah? Kerana kamu banyak merungut, mengkufuri suami.” Maka mereka pun terus melontarkan di pakaian bilal gelang dan cincin mereka.”[5]
Mereka memberikan sedekah daripada perhiasan milik mereka tanpa perlu meminta izin daripada suami mereka menunjukkan mereka bebas membelanjakan harta mereka tanpa keizinan suami, tetapi adalah tersangat baik dan digalakkan untuk bertanya dan meminta izin daripada suami dalam apa juga urusan kerana hubungan perkahwinan bukan sekadar berlegar sekitar hak dan tanggungjawab, tetapi lebih kepada hubungan bertoleransi dan hormat menghormati.
1.2 Perolehan daripada Suami
1.2.1 Mahar
Mahar merupakan hak isteri dan tanggungjawab suami, asal bagi pensyariatan mahar ialah firman Allah swt dalam surah al-Nisa ayat 4:
“Berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan”
Tetapi suatu perkara yang perlu kita ketahui ialah usah diberatkan perihal mahar dengan diletak jumlah yang tinggi sehingga membebankan pihak lelaki. Sabda nabi saw daripada hadis Aishah:
أَعْظَمُ النِّسَاءِ بَرَكَةً أَيْسَرُهُنَّ مَئُونَةً
“Seagung-agung keberkatan wanita itu ialah mereka yang paling ringan maharnya.”[6]
1.2.2 Nafkah
Menjadi suatu kewajiban ke atas lelaki untuk memberikan nafkah kepada tanggungannya termasuk sang isteri. Apabila disebut nafkah, maka kewajiban tersebut ialah pada keperluan hidup seperti tempat tinggal, pakaian, makan dan minum, bukannya kehendak tanggungan.
Berapakah kadar yang wajib dikeluarkan oleh suami sebagai nafkah? Apakah mesti rumah yang besar, makanan yang mewah, pakaian yang mahal? Hal ini adalah suatu yang agak subjektif, kerana syara’ tidak meletakkan had-had tertentu untuk kadar nafkah yang wajib dikeluarkan oleh suami. Maka sekiranya demikian, kita perlu melihat kepada uruf dan adat kebiasaan dalam hal ini, begitu juga kemampuan suami dan keperluan isteri.
Firman Allah swt dalam surah al-Talaq ayat 7:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya. dan orang yang disempitkan rezkinya hendaklah memberi nafkah dari harta yang diberikan Allah kepadanya. Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. Allah kelak akan memberikan kelapangan sesudah kesempitan.”
1.2.2.1 Nafkah Iddah
Seorang wanita yang diceraikan oleh suaminya dengan talak raj’ie, iaitu talak yang boleh dirujuk, maka suami wajib menyediakan nafkah kepadanya seperti biasa. Kerana hukum wanita yang masih berada di dalam iddah, adalah hukum isteri, dia boleh berhias untuk suaminya, dan segala hak dan tanggungjawab masih berlangsung seperti biasa. Firman Allah swt dalam surah al-Talaq ayat 6:
“Tempatkanlah mereka (para isteri) di mana kamu bertempat tinggal menurut kemampuanmu dan janganlah kamu menyusahkan mereka untuk menyempitkan (hati) mereka. dan jika mereka (isteri-isteri yang sudah ditalaq) itu sedang hamil, Maka berikanlah kepada mereka nafkahnya hingga mereka bersalin, kemudian jika mereka menyusukan (anak-anak)mu untukmu Maka berikanlah kepada mereka upahnya, dan musyawarahkanlah di antara kamu (segala sesuatu) dengan baik; dan jika kamu menemui kesulitan Maka perempuan lain boleh menyusukan (anak itu) untuknya.”
1.2.3: Mut’ah
Mut’ah adalah pemberian yang diberikan oleh suami kepada isteri selepas berlaku penceraian. Di dalam mazhab Syafie, serta yang menjadi amalan di mahkamah Syariah di Malaysia, mut’ah adalah suatu bayaran yang wajib ke atas suami sekiranya si isteri membuat tuntutan di mahkamah.
Firman Allah swt ayat 241 surah al-Baqarah:
“Kepada wanita-wanita yang diceraikan (hendaklah diberikan oleh suaminya) mut’ah menurut yang ma’ruf, yang demikian itu merupakan ketentuan bagi orang-orang yang bertakwa.”
Mut’ah adalah suatu pemberian untuk mengambil hati isteri yang telah diceraikan demi meringankan beban dan kesusahan disebabkan perpisahan dan mengubat perasaan sakit hati dan benci yang wujud hasil perceraian tersebut.
Kadar yang perlu dikeluarkan adalah suatu isu yang sama sebagaimana nafkah, tidak terdapat had tertentu baginya, maka menjadi suatu tanggungjawab mahkamah untuk menentukan kadar yang sewajarnya demi kemaslahatan sang isteri.
Antara faktor yang mungkin diambil kira mahkamah dalam menetapkan jumlah mut’ah ialah seperti:
- Kemampuan suami
- Taraf kedudukan isteri
- Tempoh berkahwin
- Sumbangan dan khidmat isteri terhadap perkahwinan
1.3 Hak Pewarisan
Pewarisan dalam islam merupakan suatu ketetapan yang diperincikan oleh Allah hukum-hakam serta pembahagiannya di dalam al-Quran. Tidak ada satu pun persoalan hukum yang Allah perincikan secara mendalam lebih daripada permasalahan faraidh.
Islam memberi hak kepada wanita di dalam pewarisan setelah hak tersebut dinafikan di zaman jahiliah. Persoalan yang sering menjadi tanda tanya dalam masyarakat ialah kenapa wanita mendapat pembahagian yang lebih sedikit berbanding lelaki.
Perlu kita sedari, sekiranya rungutan itu datang daripada kaum muslimin sendiri, maka ini adalah suatu kejahilan dan buruk akhlak terhadap Allah swt.
Di sudut logiknya pula, kita sedia maklum bahawa tanggungjawab lelaki lebih besar seperti tanggungjawab nafkah, berbanding wanita, harta pewarisan hanya untuk dirinya sendiri sahaja. kerana itu lelaki mendapat lebih.
Di samping bukan semua situasi di mana lelaki mendapat lebih daripada wanita, terdapat beberapa situasi, wanita mendapat harta pewarisan sedangkan lelaki tidak mendapat apa-apa.
Contohnya: si mati meninggalkan seorang suami, seorang ibu, dua orang adik perempuan seibu dan seorang abang kandung. Dalam situasi ini, suami mendapat ½ , ibu mendapat 1/6, dua adik perempuan seibu mendapat 1/3, manakala abang kandung mendapat baki, tetapi jika kita bahagikan harta tersebut mengikut pecahan di atas, kita akan dapati tidak terdapat baki untuk diberikan kepada abang kandung.
Pewaris | Pecahan | Harta dibahagi kepada: 6 |
Suami | ½ | 3 |
Ibu | 1/6 | 1 |
2 Adik (P) seibu | 1/3 | 2 |
1 Abang kandung | baki | – |
Bila wanita berhak mendapat pewarisan?
Wanita berhak mendapat pewarisan sebagai seorang ibu, anak, adik beradik kandung, atau sebapa atau seibu dengan syarat dan perincian yang perlu dipelajari di dalam ilmu faraid.
1.4 Harta Sepencarian
Anthony Reid (1988) mengatakan bahawa kaum perempuan secara tradisionalnya terlibat dalam pekerjaan bersama kaum lelaki dalam bidang pertanian dan di pasar-pasar semenjak sebelum kedatangan penjajah.[7] Begitu juga selepas kedatangan penjajah sehinggalah sekarang. Oleh itu, peranan perempuan atau wanita ini merupakan salah satu punca pendapatan keluarga bahkan kepada sumber perolehan aset sesebuah keluarga.
Di dalam Islam apabila suatu adat telah diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang, kedudukannya tidak lagi sebagai adat, tetapi ianya bertukar menjadi suatu peraturan yang mesti diikuti dan dikuatkuasakan.
Pengiktirafan ini jelas diberi melalui prinsip-prinsip yang terdapat dalam kaedah perundangan Islam yang dipetik oleh Imam al-Suyuti:-
- Adat mengambil tempat hukum (العادة المحكمة)
-Amalan masyarakat menjadi pegangan (hujah) yang wajib diikuti
- Sesuatu yang diterima mengikut adat samalah kedudukannya seperti dibuat mengikut nas.
(المعروف بالعرف كالمعروف بالنص)
Terdapat beberapa istilah lain[8] yang sama maksudnya dengan harta sepencarian antaranya ialah:
- Gono gini
- Harta syarikat
- Harta ushasama
- Carian laki bini
- Harta suarang dll.
Oleh kerana ianya suatu Adat, tidak ada istilah khas dalam kitab fiqah mengenai harta sepencarian kerana harta sepencarian ini adalah berbeza walaupun nampaknya sama dengan apa yang terdapat dalam prinsip Al-Syarikah yang terdapat dalam kitab fiqah. Al-Syarikah – perkongsian hak dan penggunaan (Al-Mughni 5/3).
Dalam hal yang demikian prinsip syarikat ialah sama ada dua orang atau lebih yang tidak ada hubungan suami isteri, sedangkan maksud harta sepencarian ini ialah khusus dikaitkan dengan suami isteri sahaja.
Prinsip Harta Sepencarian Menurut Fuqaha’ Islam
Takyif fiqhi bagi harta sepencarian ;
Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi secara usaha sama di antara suami isteri dalam tempoh perkahwinan, sama ada usaha sama itu secara langsung atau tidak langsung. Oleh kerana itu bolehlah dianggap permasalahan harta sepencarian termasuk dalam bab Al-Syarikah, dan secara lebih khusus iaitu Syarikat Al-Amlak dan Syarikat Al-Abdan.
Apa itu Syarikat Al-Amlak?
Perkongsian dua orang atau lebih terhadap sesuatu barang.
Apa itu Syarikat Al-Abdan?
Perkongsian dua orang atau lebih ke atas hasil yang mereka perolehi dari sesuatu pekerjaan (Al-Mughni 5/4).
- Contoh 1 (Syarikat Al-Amlak);
Ahmad dan Zainab berkongsi duit untuk membeli sebuah rumah, maka rumah tersebut adalah milik mereka berdua, dengan ini berlakunya perkongsian pemilikan.
Jadi jika hal ini berlaku didalam perkahwinan, maka rumah itu bolehlah dianggap sebagai harta sepencarian di antara suami dan isteri. Dan ia boleh dikategorikan sebagai sumbangan secara langsung bagi memiliki rumah tersebut.
Macam mana nak kira hak isteri (Zainab) ke atas rumah tersebut?
Asas pertimbangan adalah merujuk kepada Surah an-Nisaa’ ayat 32;
“Dan janganlah kamu terharap-harap ( ingin mendapat) limpah kurnia yang telah Allah berikan kepada sebahagian kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah akan limpah kurniaNya. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Sambungan cerita Ahmad dan Zainab..)
Fakta kes ini mirip dengan permasalahan Syarikat Al-Amlak iaitu melibatkan perkongsian pemilikan, kerana itu Mahkamah perlu memberi perhatian kepada takat sumbangan secara langsung.
Dalam sistem kehakiman kita sekarang biasanya dengan melalui keterangan dan pembuktian di dalam prosedur perbicaraan, maka bahagian Ahmad ke atas rumah tersebut ialah dengan menggunakan nisbah/peratusan sumbangan secara langsung semasa mereka berkongsi duit membeli rumah tersebut.
Harga rumah semasa dibeli RM 120 k
Ahmad menyumbang RM 80 k
Zainab menyumbang RM 40 k
66.7% adalah peratus bahagian Ahmad ke atas harga semasa rumah tersebut
33.3% adalah peratus bahagian Zainab ke atas harga semasa rumah tersebut
- Contoh 2 (Syarikat Al-Abdan).
- Situasi Pertama: Abu dan Senah berpakat untuk mengambil upah mencuci rumah ke rumah, mereka berkerjasama dalam pekerjaan tersebut dan hasil yang diperolehi dari pekerjaan tersebut dikongsi bersama. Ini adalah contoh Syarikat Al-Abdan kerana melibatkan perkongsian dalam hasil pekerjaan yang diusahakan secara bersama.
- Situasi Kedua: Adapun jika di dalam perkahwinan, bagi seorang isteri yang menjadi suri rumah sepenuh masa, tiada sumbangan secara langsung dari sudut kewangan untuk membeli rumah sebagai contoh, apakah dia berhak menuntut harta sepencarian sehingga hak suami berkurangan sekalipun rumah tersebut dibeli 100% dari gaji suami?
Kes ini adalah permasalahan Syarikat Al-Abdan kerana melibatkan perkongsian kehidupan ke atas hasil pekerjaan mereka berdua.
Oleh itu, isteri tersebut ada bahagian untuk sumbangan secara tidak langsung.
Ini kerana si isteri telah menyerahkan seluruh kehidupannya untuk suami, mengurus rumah tangga sehingga suami dapat bekerja dan mencari rezeki dengan tenang. Ia mirip dengan permasalahan Syarikat Al-Abdan kerana adanya sumbangan tenaga secara tidak langsung di pihak isteri sehingga suami dapat bekerja mencari rezeki dengan tenang.
Keadaan Yang Membolehkan Suami Mempunyai Hak Dalam Harta Sepencarian
- Perceraian
Apabila berlakunya perceraian antara suami dan isteri dengan perintah Mahkamah, di bawah seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang memperuntukkan perceraian dengan talaq atau dengan perintah maka tuntutan harta sepencarian tersebut boleh dituntut oleh suami. Ini juga adalah selari dengan Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) No.5 Tahun 2003 yang telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai tuntutan harta sepencarian dibolehkan semasa tuntutan perceraian atau selepas perceraian.
- Suami Berkahwin Lain @ Poligami
Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Pindaan 2006), tuntutan harta sepencarian telah terbuka luas bukan sekadar diperolehi ketika berlaku pencerain suami isteri bahkan boleh diputuskan oleh Mahkamah semasa permohonan kebenaran poligami oleh suami.
- Berlaku Kematian
Arahan Amalan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) No.5 Tahun 2003 yang telah bersetuju dan mengesahkan untuk menerima pakai tuntutan harta sepencarian dibolehkan selepas berlakunya kematian mana-mana pihak. Mahkamah dalam hal ini boleh menerima mana-mana tuntutan harta sepencarian yang dibuat selepas kematian mana-mana pihak dalam tuntutan tersebut dan rujukan hendaklah dibuat kepada mana-mana kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah yang lebih tinggi.
Merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bertarikh 18 April 2005 menyatakan bahawa;
- i) Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di negeri Selangor boleh dibahagikan kepada suami dan isteri sebelum difaraidkan, termasuklah selepas dilepaskan tanggungan si mati.
- ii) Pembahagian harta sepencarian tersebut hendaklah diberikan mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua belah pihak.
iii) Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah mahkamah.
Pembahagian Harta Sepencarian
Menurut Seksyen 58(2) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, Mahkamah hendaklah mengambil perhatian kepada:
- takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak-pihak sama ada dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset aset itu;
- apa apa hutang yang terhutang oleh satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
- Keperluan keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu jika ada.
Hanya Mahkamah Syariah negeri-negeri yang mempunyai bidangkuasa untuk mendengar dan memutuskan kes harta sepencarian.
1.5 Kesimpulan
Wanita selepas kedatangan Islam dimartabat dengan segala hak dan jaminan. Ini terbukti dengan termaktubnya hak-hak tersebut di dalam perlambagaan Islam yang utama iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah.
Justeru wanita Islam sepatutnya meletakkan diri mereka dengan yakin selaras dengan unjuran agama, jauh dari tanggapan-tanggapan pesimis masyarakat yang bersifat patriaki. Wanita Islam juga sepatutnya tidak perlu malu untuk maju ke muka pengadilan sekiranya ternyata bahawa hak-haknya dizalimi dan menjadi mangsa penindasan. Wanita Islam perlu bangun bukan dengan penuh rasa sedih tetapi perlu bersifat yakin sekiranya ada Iman di dalam dirinya, yakin bahawa Allah s.w.t tetap akan menolongnya.
Sekian, semoga Allah merahmati kita semua!
[1] Surah al-Hujurat: 13
[2] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azhim 385/7 dengan olahan.
[3] HR al-Bukhari: 2721, Muslim; 1418
[4] Muttafaqun ‘alaih, al-Bukhari: 456, Muslim; 1504
[5] HR Muslim: 885
[6] HR Ahmad 25119
[7] Elemen Sumbangan di dalam Harta Sepencarian: Pengalaman Perempuan Melayu di Malaysia. Mohd Nurhusairi Mat Hussin & Dr Mohd Anuar Ramli (November, 2010)
[8] Md Akhir Yaacob JH Jld V Bhg 1,1405H/1984 ms: 37
Tinggalkan Jawapan