subhanallah, sangat menyentuh kata-kata Syeikh Khalid ar-Rashid
disini saya terjemahkan secara ringkas kata-katanya didalam video sebagaimana pautan diatas :
Penawar bagi masalah si muda, si tua dan semua mereka yang bersedih,
Adalah dengan melarikan diri kepada Allah,
Dan menggabungkan diri dengan kafilah orang yang kembali,
Iaitu orang yang kembali kepada Allah selepas lama menjauhiNya,
Yang lemas didalam dosa dan maksiat,
Yang telah mencuba kehidupan yang gelap,
Kemudian menemui cahaya,
Yang menukar kehinaan dosa dengan kemuliaan sebuah ketaatan,
Mereka itu orang yang menyesal atas apa yang diabaikan,
Daripada hak-hak Allah,
Kata nabi saw : penyesalan itu adalah taubat,
Kata sebahagian orang, seorang hamba yang melakukan dosa,
Kemudian dia menyesal, sehinggalah dia memasuki syurga,
Rintih Iblis, alangkah baik jika aku tidak menjatuhkan dia ke lembah dosa,
Kata Ibn Habib, hak Allah itu jauh lebih agung dan besar,
Dari apa yang telah dilaksanakan oleh hambaNya,
Tetapi hambaNya itu berpagi-pagi dengan taubat,
Berpetang-petang juga dengan taubat,
Bukanlah satu keaiban jika engkau melakukan dosa,
Tetapi keaiban itu adalah jika engkau berterusan dengan dosa tersebut,
Suatu keaiban jika engkau lupa kebaikan yang Allah berikan padamu,
Suatu keaiban jika engkau melupakan pengawasan Allah,
Datang seorang lelaki kepada Ibrahim bin Adham,
Katanya kepada Ibrahim : wahai Ibrahim,
Aku telah melakukan dosa dan maksiat,
Katakanlah kepadaku satu perkataan yang memberi kesan kepadaku,
Kata Ibrahim, lima perkara yang ingin aku nyatakan,
Yang pertama, janganlah engkau makan dari rezeki Allah,
kemudian engkau bermaksiat kepadaNya,
kata lelaki itu, bagaimana aku ingin melakukan demikian?
Sedang Dia yang memberi makan dan dia tidak berhajat kepada rezeki itu,
Sungguh aneh engkau ini,
Engkau makan dari rezekiNYA kemudian engkau bermaksiat kepadanya?
Yang kedua, janganlah engkau tinggal dibumi ini,
Katanya: bagaimana demikian? Sedang bumi ini bumiNYa dan langit ini langitNYA?
Sungguh aneh engkau ini,
Engkau makan dari rezekinya, dan tinggal dibumiNYA,
Kemudian engkau bermaksiat kepadaNya?
Yang ketiga, pergilah kesuatu tempat, yang Allah tidak dapat melihatmu,
Dan lakukanlah maksiat disitu,
Katanya, dimanakah tempat itu? Sedang Allah tidak pernah lalai dan tidur?
Sungguh aneh engkau ini,
Makan dari rezeki Allah, tinggal dibumi Allah dan Dia melihat engkau dimana sahaja,
Kemudian engkau melakukan maksiat kepadanya,
Yang keempat, jika malaikat maut datang untuk mencabut nyawamu,
Katakanlah padanya, aku tidak mahu mati lagi,
Katanya, siapa yang mampu melakukan demikian? Sedang ajal itu datang,
Tanpa lewat sesaat, mahupun awal sesaat,
Sungguh pelik engkau ini, engkau tidak mampu menolak kematian jika ia datang,
Tetapi engkau tetap melakukan maksiat,
Yang kelima, jika datang Zabaniah iaitu malaikat azab,
Untuk mengheret engkau ke neraka,
Cubalah untuk engkau menolaknya dan bawa dirimu ke syurga,
Katanya, siapa yang mampu melakukannya?
Sungguh ajaib engkau ini,
Engkau tidak memiliki syurga dan neraka,
Tetapi melakukan maksiat kepadaNYA,
Kata lelaki itu, aku bertaubat kepada Allah..
Dia telah mengumumkan taubat dan penyesalannya,
Anda? Ya, anda bagaimana?
Yang makan dari rezekiNYA,
Yang tinggal di bumiNYA,
Yang DIA melihat dimana jua engkau berada,
Yang tidak mampu menolak kematian,
Yang tidak memiliki syurga dan neraka,
Tidakkah engkau ingin bertaubat?
Dan memohon ampun dari yang Maha mengetahui segala yang tidak kelihatan?
Tidakkah engkau ingin bersama dengan kafilah orang-orang yang kembali?
Sesungguhnya engkau adalah apa yang engkau lakukan hari ini,
Masihkah ada peluang untuk engkau selepas kematian?
Habisnya umurmu dengan kemaksiatan,
Tiadalah keselamatan bagi seorang itu,
Melainkan dia mengamati bait-bait ayatNYA,
Marilah, dengarkan kisah tentang mereka yang berada di kafilah itu,
Pada hari ini dan semalam,
Marilah mengambil ‘ibrah dari kisah mereka,
Kisah yang disaluti dengan penyesalan dan air mata,
Kisah yang penuh dengan pedoman,
Tatkala mereka yang berada didalam kafilah itu,
Menceritakan apa yang dilalui sebelum berada didalam kafilah itu,
Dari kesedihan, kemaksiatan dan kecanggungan,
Tenggeelam didalam kemaksiatan dan kemungkaran,
Sesungguhnya keselamatan itu,
Hanyalah dengan “melarikan diri” kepada Allah..