Semasa aku berada di Khartoum, Sudan, aku sentiasa mengikuti pengajian kitab al-Muwatta’ karangan Imam Malik rh yang disampaikan oleh Syeikh Umar( sudah lupa nama penuhnya) disebuah masjid( juga lupa nama masjidnya), pada setiap hari Isnin selepas maghrib.
Ketika beliau mensyarahkan hadith berkenaan tentang sunnah zikir subhanallah , juga Alhamdulillah dan allahuakbar ;
مَنْ سَبَّحُ دُبُرَ كُلِّ صَلاَةٍ ثَلاَثاً وَثَلاَثِينَ. وَكَبَّرَ ثَلاَثاً وَثَلاَثِينَ. وَحَمِدَ ثَلاَثاً وَثَلاَثِينَ. وَخَتَمَ الْمِائَةَ بِلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ، غُفِرَتْ ذُنُوبُهُ وَلَوْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ الْبَحْرِ
Maksudnya : barangsiapa yang bertasbih dan bertakbir dan bertahmid sebanyak 33 kali setiap satunya selepas solat, dan ditutup dengan la ilaha illa allah wahdahu la syarikalah lahulmulku walahulhamdu wahua ‘ala kulli syai’in qadir, nescaya akan diampunkan oleh Allah dosanya walaupun sebanyak buih dilautan dosanya itu.[ lihat al-Muwatta, hadith no. 714 ].
Beliau ditanya oleh seorang daripada mereka yang hadir pada majlis tersebut ; ” ya syeikh, apakah jika seseorang bertasbih, bertakbir dan bertahmid lebih dari jumlah yang disebut didalam hadith tersebut, beliau akan mendapat ganjaran yang sama? Dan apakah ianya dibolehkan?”
Lebih kurang jawab syeikh begini ; pasti ada hikmahnya diberikan jumlah tertentu pada setiap kalimah tersebut( iaitu 33 kali) dan aku suka untuk berpada dengan apa yang disebut oleh baginda saw tanpa menambah mahupun mengurangkannya. Tidak aku katakan salah atau betul bagi mereka yang menambah atau mengurangi jumlah itu, tetapi bukankah hadith itu mengikat setiap zikir tersebut dengan jumlah tertentu? Ditakuti jika jumlah itu ditambah atau dikurangi, kita tidak dapat ganjarannya iaitu keampunan daripada dosa walaupun sebanyak buih dilautan.
Kesimpulan.
Aku cemburu dengan kesungguhan syeikh untuk berpegang teguh dengan sunnah dan berusaha mengikut ajaran nabi saw tanpa menambah atau menguranginya, walaupun sekadar berkaitan dengan jumlah zikir. Dan siapalah kita untuk ‘menambah garam dan gula’ dalam ibadah dan sunnah, kerana dengan sangkaan ianya kurang menusuk dan umph… berpadalah kita dengan apa yang ditunjuki oleh al-quran dan sunnah, walaupu urusan itu kelihatan remeh disisi manusia…