Ramai yang menyebut, agar menjadikan Ramadan sebagai suatu perantara untuk mendapat ketaqwaan, boleh jadi mereka yang kerap berada di masjid-masjid dan surau-surau sepanjang malam Ramadan ini, awal-awal lagi telah dapat menelah dan mengagak apa yang ingin di sebut oleh penceramah, sering diulang-ulang tentang tujuan berpuasa di bulan Ramadan adalah untuk mencapai ketaqwaan.
Tazkirah diantara tarawih.
Sebagai pendengar tazkirah, Saya tidak nampak dimana salahnya tazkirah diantara solat tarawih yang menjadi kebiasaan masyarakat Malaysia. Namun, yang menjadi keresahan saya ialah penceramah yang tidak mesra jemaah, ramai dikalangan jemaah yang esoknya berkerja, perlukan rehat, namun malangnya tazkirah meleret, bahkan ada yang seakan bukan bertazkirah, tetapi peluang untuk berleter kepada orang ramai. Ia menjadikan cakap agama suatu yang membosankan untuk didengari dan diminati, lebih-lebih lagi orang muda.
Pembaharuan.
Oleh itu mesti ada satu nafas baru bagi sesi ceramah atau tazkirah dikebanyakan tempat di Malaysia ini, 10 minit yang bernas jauh lebih baik dari leteran berjela-jela tanpa hala. Disamping jangan dijadikan tazkirah di bulan Ramadan sebagai rutin harian disetiap tarawih, agar tidak disalah sangka oleh generasi depan, sebagaimana sangkaan mereka kepada selawat-selawat kita pada hari ini.
Memaknakan taqwa.
Ya, sebagaima firman Allah yang bermaksud ;
Wahai orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas mereka yang sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa [al-baqarah ; 183 ].
Tersangatlah kerap ayat diatas dulang-ulang pada bulan ini, namun apakah kita benar-benar memaknakannya didalam diri kita?
Taqwa berasal dari perkataan wiqayah yang bermaksud perlindungan, dimana manusia melakukan sesuatu untuk melindungi dirinya dari terkena azab neraka iaitu dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan.
Maka dengan bahasa yang lebih mudah, taqwa ialah kita menjadi sebenar-benar hambanya!
Kenapa puasa dikatakan mampu menghasilkan taqwa(perlindungan)?
Sabda nabi saw yang bermaksud ;
Dan puasa itu perisai [ sahih Bukhari ; 7392 ]
Benar, puasa adalah suatu perisai dan perlindungan untuk insan, dia meninggalkan kelazatan dunia semata-mata mencari keselamatan di sana. Kerana itu Allah menamakannya sedemikian.
Kelazatan makan dan minum, bercanda dengan isteri, perkataan nista dan dusta serta segala keseronokan syahwat ditinggalkan demi sebuah puasa. Mungkin ramai dikalangan kita berjaya melakukannya.
Kerana itu juga ia dianggap sebagai sebuah bulan yang mendidik jiwa dan nafsu agar sentiasa taat kepada tuhan yang satu.
Namun, bagaimana selepasnya?
Adakah kita benar-benar terdidik? Hasil hanya mampu dilihat selepas kita keluar dari bulan tersebut.
Antara kelazatan disini dan keselamatan disana.
Sabda nabi saw yang bermaksud ;
sesungguhnya dunia itu manis dan cantik, Allah menjadikan kamu sebagai pengurusnya dan Dia melihat bagaimana kamu melakukannya, bertaqwalah kamu daripada dunia dan wanita, sesungguhnya fitnah pertama keatas Bani Israel ialah pada wanita. [ Sahih Muslim ; 2742 ].
Keindahan dunia pada mata, dan kelazatannya pada rasa, menyebabkan ramai manusia mengerumuni dunia dan terpedaya dengan helahnya, entah berapa ramai yang tersungkur tewas dengan tipu dayanya.
Entah berapa ramai juga yang hidupnya huru-hara dan tunggang-terbalik dek penangan wanita. Dan kerana itulah wanita dari dulu hingga kini menjadi alat paling berkesan menjatuhkan ramai dikalangan muslimin.
Benar sabdaan baginda saw agar kita berlindung dari fitnah dunia dan wanita, tanpa perlu dibicara panjang, kita sebenarnya sedar tentang kedahsyatan fitnah dunia dan wanita pada semalam, hari ini dan esok.
Maka, antara keseronokan sementara disini(dunia) dan kesenangan disana(akhirat), mana satukah yang kita pilih?
Memilih kesenangan disana bukan beerti kita meninggalkan keseronokan disini secara total, tetapi setelah kita menetapkan didalam diri kita untuk mendapat kesenangan disana, maka secara tidak langsung, kita berpada dalam mengecap keseronokan disini. Dengan sendirinya kita akan pandai memilih(secara fitrah) dan belajar untuk memilih(belajar agama) ; mana satu yang boleh, mana satu yang dilarang.
Dunia tidak ubah seperti R&R, dikala raya hampir menjelang, ramai dikalangan kita akan pulang ke kampong, singgah sebentar di R&R untuk melepas lelah menghirup teh dan menjamu selera serta bersolat, kemudian meneruskan semula perjalanan ke destinasi yang dituju. Demikian dunia, hanya tempat persinggahan untuk kita meneruskan hidup di akhirat yang kekal…
Pecutan terakhir.
Ramadan berbaki dua hari, jangan biarkan saat-saat akhir Ramadan ini berlalu tanpa dihirau..
Semoga taqwa yang kita cari di bulan ini, mampu melindungi kita di bulan yang lain..
Tinggalkan Jawapan