Hampir sahaja Ramadan melabuhkan tirainya pada tahun ini, ramai yang merasai perbezaan antara Ramadan dengan bulan-bulan yang lain. Segala puji dan puja kepada Rabbul Jalil yang membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan membelenggu syaitan yang nakal pada bulan penuh istimewa ini.
Kelihatan mereka yang malas membaca al-Quran di bulan yang lain, namun, masuk sahaja bulan yang mulia ini, menjadi lebih rajin dari kebiasaannya.
Di bulan yang lain, mereka yang hadir bersolat jemaah subuh amat sedikit, tetapi, dengan kehadiran bulan barakah ini, jumlah kehadiran meningkat.
Tidak kurang mereka yang kikir di bulan yang lain, menjadi lebih pemurah tatkala berada di Ramadan.
Segala macam kebaikan yang jarang kita lihat di bulan yang lain, banyak yang timbul dan terzahir di bulan Ramadan.
Hubungan antara pengetahuan dan kemahuan.
Terlalu banyak hadith yang menyebut tentang keagungan dan kelebihan bulan ini, beramal didalamnya digandakan pahala tanpa tara lagi, bahkan ia seakan tidak asing lagi dikalangan ramai orang, antara mahu dan tidak sahaja yang membezakan antara kita.
Sebagaimana seseorang itu tahu tentang bahaya rokok, tetap sahaja terus merokok walaupun dia tahu bahaya tersebut.
Demikian sebagaimana ramainya yang tahu tentang kelebihan akhirat berbanding dunia, tetap sahaja terus mengejar dunia tanpa menghirau akhirat..
Begitulah sifirnya, mereka yang tahu tentang sesuatu, belum tentu mahu pada perkara tersebut.
Kerana itu jugalah perlu dibezakan antara orang yang belajar agama dan orang yang beragama. Tidak perlu dihairankan mereka yang mendapat A bagi matapelajaran pendidikan Islam SPM, tetapi tidak bertudung dan tunggang langgang kehidupannya.
jangan merasa hairan pemegang ijazah bidang syariah melakukan sesuatu yang tak terjangkau dek akal manusia,,
semua ini kerana pengetahuan dan kemahuan seakan tiada lagi hubungannya,,pengetahuan seakan tiada lagi daya untuk mendesak kemahuan beramal soleh dan meninggalkan mungkar.
maka kita mestilah orang yang bukan sekadar tahu bahawa Allah menawarkan keampunan di bulan ini, tetapi mesti mahu merebut keampunan tersebut!
Sabda nabi saw ;
شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ
Maksudnya : celakalah mereka yang mendapati Ramadan, kemudian keluar darinya dalam keadaan tidak diampunkan dosanya. [ riwayat Bukhari dalam al-adab al-mufrad no ; 640 ]
Namun mestilah sentiasa kita berbaik sangka yang Allah itu sentiasa mahu mengampunkan hambaNya yang memohon keampunan darinya dan berusaha memperbaiki diri.
واستغفر الله إن الله كان غفورا رحيما
Maksudnya ; dan mohonlah keampunan dari Allah, sesungguhnya Allah itu maha pengampun dan mengasihani. [ surah an-Nisa’ ; 106]
Beriman dengan tuhan Ramadan
Saya mesti sentiasa sedar yang tuhan Ramadan sentiasa hidup tidak mati, sedangkan Ramadan akan pergi beberapa hari lagi.
Justeru iman bukan untuk Ramadan, tetapi untuk tuhan Ramadan, pada bulan ini, andai kita bersungguh untuk mencapai keampunan Allah, maka itu tidak beerti kita akan terus bersih dan terlepas dari melakukan dosa dimasa depan, ia adalah suatu yang mustahil.
Sabda nabi saw ;
كل ابن آدم خطاء، وخير الخطَّائين التوّابون
Maksudnya : setiap anak adam itu berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa itu mereka yang bertaubat. [ riwayat Tirmizi ; 2499 ].
Maka kita akan tetap melakukan dosa samada sengaja ataupun tidak.
Kerana itu, kita mesti berusaha memastikan kebaikan di bulan ini, dibawa ke bulan yang seterusnya, kerana iman bukan kepada Ramadan, tetapi kita beriman kepada tuhan Ramadan!
Tinggalkan Jawapan