Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Ogos 2012


Soalan : kawan saya berpuasa sunat, dia telah menyetubuhi isterinya yang sedang puasa qadha’ Ramadan, apakah hukum perbuatan tersebut?

Jawapan : wah! Teruja saya mendapat soalan sedemikian, soalan panas di bulan Syawal, kerana saya juga telah berkahwin! Maka jawab saya padanya, tiada dosa keatas yang berpuasa sunat membatalkan puasanya. Tetapi kerana isterinya sedang berpuasa ganti, maka, tidak harus untuk membatalkan puasa ganti yang wajib. Jika dibatalkan, dimestikan untuk bertaubat dan berazam untuk tidak mengulanginya. Ini kerana kaffarah yang wajib( merdekakan hamba atau berpuasa 2 bulan berturut-turut atau memberi makan kepada 60 orang miskin)  hanya jika seseorang berjimak di siang hari Ramadan sahaja.

Demikian jawapan saya secara ringkas tanpa dalil dan penghujahan..

dibawah ini saya terjemahkan fatwa dari islamqa.info yang diselia oleh Syeikh Muhammad Salih al-Munajjid ;

Qada’ puasa Ramadan adalah antara puasa yang wajib, tidak boleh bagi seseorang untuk membatalkannya kecuali darurat. Jika seseorang sedang mengqada’ puasanya, maka wajib baginya menyempurnakannya dan tidak harus untuk berbuka kecuali dengan adanya uzur syar’ie.

Telah sabit dari Ummu Hani’ RA berkata

يا رسول الله لقد أفطرت وكنت صائمة ؟ فقال لها : أكنت تقضين شيئا ، قالت لا ، قال : فلا يضرك إن كان تطوعا

maksudnya : “wahai rasulullah, aku telah berbuka sedang aku berpuasa”. Rasulullah saw berkata padanya : “adakah kamu sedang mengqada’kan sesuatu?” jawab beliau ;”tidak”. Kata rasulullah : “maka ia tidak memudaratkan kamu jika ia adalah puasa sunat.” [ Abu Dawud ; 2456 ].

Hadith ini menunjukkan bahawa jika seseorang berpuasa sunat, maka dia tidak berdosa untuk membatalkan puasanya(pen)  tetapi ia memberi mudharat jika puasa tersebut adalah puasa wajib, mudharat disini bermaksud berdosa.

maka, kaffarah jima’ tidak diwajibkan kecuali mereka yang membatalkan puasa dengan jima’ dibulan Ramadan sahaja. Maka tidaklah wajib keatas kamu kaffarah kecuali mengqada’kan puasa yang telah dibatalkan itu, bertaubat serta berazam tidak mengulangi perbuatan tersebut.

Kata Ibn Rusyd ; ” telah sepakat jumhur bahawa tidak ada kaffarah bagi mereka yang berbuka secara sengaja bagi puasa qada’ Ramadan, kerana tiada padanya keharaman sebagaimana Ramadan.[ Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid 2/80].

Link bagi fatwa diatas: http://islamqa.info/ar/ref/40242

p/s ; saya hanya terjemahkan sebahagian fatwa sahaja dan insyaAllah tidak menjejaskan kesimpulan yang boleh diambil dari fatwa tersebut InsyaAllah. Iaitu, tidak mengapa untuk kita membatalkan puasa sunat, tetapi bagi puasa qada’ Ramadan, maka berdosa dan wajib bertaubat tetapi tiada apa-apa kaffarah dikenakan kepada suami mahupun isteri.

Demikian juga kata Ibn Qudamah : ” dan tidak diwajibkan kaffarah bagi mereka yang membatalkan puasa qada’ Ramadan mengikut pandangan ahli ilmu dan jumhur fuqaha’. [al-Mughni 3/138].

dan kata beliau lagi :” sesiapa yang berpuasa sunat, maka adalah sesuatu yang disukai jika dia menyempurnakannya, tetapi tidaklah wajib, jika dia membatalkannya, maka tidak wajib dia mengqada’nya. diriwayatkan dari Ibn Umar dan Ibn ‘Abbas yang berpagi-pagi dalam keadaan berpuasa kemudian mereka berbuka….[ al-Mughni 3/1159].

Justeru di kala syawal masih berbaki, ramai yang sedang berpuasa sunat 6, disamping ada jemputan rumah terbuka, atau adanya tetamu yang berkunjung, adakah boleh kita membatalkan puasa sunat yang sedang dilakukan? atau seseorang yang sedang berpuasa qada’, bolehkah dia membatalkan puasanya? mudah-mudahan telah terjawab sedikit sebanyak dengan tulisan ringkas saya ini..

Wallahua’lam..

Read Full Post »


Kata air oren kepada nasi himpit dan kuih tat nenas : “untunglah korang, semua orang ambil dan makan korang dengan tangan kanan, tapi aku,,selalu dianaktirikan, diorang semua minum aku dengan tangan basuh berak..”

Saya selalu terdengar para ayah dan ibu, apabila terlihat anaknya makan dengan tangan kiri, pasti akan ditegur anak tersebut..” Ha! Makan guna tangan kanan..”

Makan dan minum dengan tangan kanan adalah suatu sunnah, bahkan sebahagian ahli ilmu menyatakan ia adalah suatu kewajiban. Namun apa yang menyedihkan, kita hanya membiasakan diri kita dan anak-anak kecil makan dengan tangan kanan, tetapi tidak kisah dengan minum.

Kebiasaan.

Kebiasaan orang kita, akan  minum sedikit sebelum makan, selalunya dia akan minum dengan tangan kanan, tetapi apabila selesai makan, atau sedang makan, pasti atau selalunya dia akan minum menggunakan tangan kiri, pada sangkaan saya, kebiasaan ini kerana tidak mahu mengotorkan cawan dengan tangan kanan yang sudah memegang makanan.

Bagaimana sebenarnya yang diajar baginda saw?

Sabda baginda saw :

إذا أكل أحدكم فليأكل بيمينه وإذا شرب فليشرب بيمينه؛ فإن الشيطان يأكل بشماله ويشرب بشماله

Maksudnya ; jika seseorang kamu ingin makan, maka makanlah dengan tangan kanan, dan jika minum, maka minumlah  dengan tangan kanan, sesungguhnya syaitan makan dan minum dengan tangan kiri. [ riwayat Muslim ; 2020 ]

Dan banyak lagi hadis-hadis yang menggesa dan menyuruh kita untuk makan dan MINUM dengan tangan KANAN.

Justeru, kenapa kita sering menganak tirikan minum ? kita makan dengan tangan kanan, tetapi kenapa menjadi kebiasaan kita minum denan tangan kiri?

Hadis diatas menyebut tentang syaitan menggunakan tangan kirinya untuk makan dan minum, justeru kita semestinya ingin untuk berbeza dengan musuh kita-syaitan-?

Sesiapa sahaja sudah tentu tidak reda dan marah jika orang kata dia macam syaitan, jadi, dalam apa juga kehidupan seharian kita, sehingga di meja makan sekalipun, kita mestilah memastikan kita tidak meniru perbuatan syaitan.

Firman Allah swt :

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا

Maksudnya : sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu, maka ambillah ia sebagai musuh [ surah Fatir ;6 ]

Hari raya.

Kita masih berada dalam kehangatan hari raya, kesana sini kita menziarahi rakan taulan dan sanak saudara, pelbagai makanan dan minuman dihidangkan, maka makanlah dan minumlah kita dengan tangan kanan, janganlah di anaktirikan air yang diminum,  minumlah dengan tangan kanan.

Juga musim perayaan ini, ramai dikalangan kita pemurah dalam memberi duit raya, maka disana ada sunnah juga yang boleh kita amalkan ketika memberi duit raya dan sunnah yang boleh diajar kepada anak kecil ketika menerima duit raya. Iaitu memberi dan menerima dengan tangan kanan! Sabda nabi saw ;

ليأكل أحدكم بيمينه، ويشرب بيمينه، وليأخذ بيمينه، وليعط بيمينه؛ فإن الشيطان يأكل بشماله، ويشرب بشماله، ويعطي بشماله، ويأخذ بشماله

Maksudnya : makanlah kamu dengan tangan kanan, dan minum dengan tangan kanan, dan ambillah dengan tangan kanan,berilah dengan tangan kanan, sesungguhnya syaitan itu makan, minum, memberi dan menerima dengan tangan kiri.[ riwayat Ibn Majah ; 3266 ]

Oleh itu, marilah kita menganan-nganankan dalam melakukan kebaikan melainkan kita mempunyai keuzuran untuk menggunakan tangan kanan, seperti jari tangan kanan dah berbalut sebab main mercun bola atau melecur masa bakar lemang dan sebagainya..

Semoga tulisan ringkas saya ini ada kebaikannya pada saya sendiri dan yang terbaca..=)

Read Full Post »


Ramai yang menyebut, agar menjadikan Ramadan sebagai suatu perantara untuk mendapat ketaqwaan, boleh jadi mereka yang kerap berada di masjid-masjid dan surau-surau sepanjang malam Ramadan ini, awal-awal lagi telah dapat menelah dan mengagak apa yang ingin di sebut oleh penceramah, sering diulang-ulang tentang tujuan berpuasa di bulan Ramadan adalah untuk mencapai ketaqwaan.

Tazkirah diantara tarawih.

Sebagai pendengar tazkirah, Saya tidak nampak dimana salahnya tazkirah diantara solat tarawih yang menjadi kebiasaan masyarakat Malaysia. Namun, yang menjadi keresahan saya ialah penceramah yang tidak mesra jemaah, ramai dikalangan jemaah yang esoknya berkerja, perlukan rehat, namun malangnya tazkirah meleret, bahkan ada yang seakan bukan bertazkirah, tetapi peluang untuk berleter kepada orang ramai. Ia menjadikan cakap agama suatu yang membosankan untuk didengari dan diminati, lebih-lebih lagi orang muda.

Pembaharuan.

Oleh itu mesti ada satu nafas baru bagi sesi ceramah atau tazkirah dikebanyakan tempat di Malaysia ini, 10 minit yang bernas jauh lebih baik dari leteran berjela-jela tanpa hala. Disamping jangan dijadikan tazkirah di bulan Ramadan sebagai rutin harian disetiap tarawih, agar tidak disalah sangka oleh generasi depan, sebagaimana sangkaan mereka kepada selawat-selawat kita pada hari ini.

Memaknakan taqwa.

Ya, sebagaima firman Allah yang bermaksud ;

Wahai orang yang beriman, diwajibkan keatas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan keatas mereka yang sebelum kamu, moga-moga kamu bertaqwa [al-baqarah ; 183 ].

Tersangatlah kerap ayat diatas dulang-ulang pada bulan ini, namun apakah kita benar-benar memaknakannya didalam diri kita?

Taqwa berasal dari perkataan wiqayah yang bermaksud perlindungan, dimana manusia melakukan sesuatu untuk melindungi dirinya dari terkena azab neraka iaitu dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan.

Maka dengan bahasa yang lebih mudah, taqwa ialah kita menjadi sebenar-benar hambanya!

Kenapa puasa dikatakan mampu menghasilkan taqwa(perlindungan)?

Sabda nabi saw yang bermaksud ;

Dan puasa itu perisai [ sahih Bukhari ; 7392 ]

Benar, puasa adalah suatu perisai dan perlindungan untuk insan, dia meninggalkan kelazatan dunia semata-mata mencari keselamatan di sana. Kerana itu Allah menamakannya sedemikian.

Kelazatan makan dan minum, bercanda dengan isteri, perkataan nista dan dusta serta segala keseronokan syahwat ditinggalkan demi sebuah puasa. Mungkin ramai dikalangan kita berjaya melakukannya.

Kerana itu juga ia dianggap sebagai sebuah bulan yang mendidik jiwa dan nafsu agar sentiasa taat kepada tuhan yang satu.

Namun, bagaimana selepasnya?

Adakah kita benar-benar terdidik? Hasil hanya mampu dilihat selepas kita keluar dari bulan tersebut.

Antara kelazatan disini dan keselamatan disana.

Sabda nabi saw yang bermaksud ;

sesungguhnya dunia itu manis dan cantik, Allah menjadikan kamu sebagai pengurusnya dan Dia melihat bagaimana kamu melakukannya, bertaqwalah kamu daripada dunia dan wanita, sesungguhnya fitnah pertama keatas Bani Israel ialah pada wanita. [ Sahih Muslim ; 2742 ].

Keindahan dunia pada mata, dan kelazatannya pada rasa, menyebabkan ramai manusia mengerumuni dunia dan terpedaya dengan helahnya, entah berapa ramai yang tersungkur tewas dengan tipu dayanya.

Entah berapa ramai juga yang hidupnya huru-hara dan tunggang-terbalik dek penangan wanita. Dan kerana itulah wanita dari dulu hingga kini menjadi alat paling berkesan menjatuhkan ramai dikalangan muslimin.

Benar sabdaan baginda saw agar kita berlindung dari fitnah dunia dan wanita, tanpa perlu dibicara panjang, kita sebenarnya sedar tentang kedahsyatan fitnah dunia dan wanita pada semalam, hari ini dan esok.

Maka, antara keseronokan sementara disini(dunia) dan kesenangan disana(akhirat), mana satukah yang kita pilih?

 Memilih kesenangan disana bukan beerti kita meninggalkan keseronokan disini secara total, tetapi setelah kita menetapkan didalam diri kita untuk mendapat kesenangan disana, maka secara tidak langsung, kita berpada dalam mengecap keseronokan disini. Dengan sendirinya kita akan pandai memilih(secara fitrah) dan belajar untuk memilih(belajar agama) ; mana satu yang boleh, mana satu yang dilarang.

Dunia  tidak ubah seperti R&R, dikala raya hampir menjelang, ramai dikalangan kita akan pulang ke kampong, singgah sebentar di R&R untuk melepas lelah menghirup teh dan menjamu selera serta bersolat, kemudian meneruskan semula perjalanan ke destinasi yang dituju. Demikian dunia, hanya tempat persinggahan untuk kita meneruskan hidup di akhirat yang kekal…

Pecutan terakhir.

Ramadan berbaki dua hari, jangan biarkan saat-saat akhir Ramadan ini berlalu tanpa dihirau..

Semoga taqwa yang kita cari di bulan ini, mampu melindungi kita di bulan yang lain..

Read Full Post »


Hampir sahaja Ramadan melabuhkan tirainya pada tahun ini, ramai yang merasai perbezaan antara Ramadan dengan bulan-bulan yang lain. Segala puji dan puja kepada Rabbul Jalil yang membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan membelenggu syaitan yang nakal pada bulan penuh istimewa ini.

Kelihatan mereka yang malas membaca al-Quran di bulan yang lain, namun, masuk sahaja bulan yang mulia ini, menjadi lebih rajin dari kebiasaannya.

Di bulan yang lain, mereka yang hadir bersolat jemaah subuh amat sedikit, tetapi, dengan kehadiran bulan barakah ini, jumlah kehadiran meningkat.

Tidak kurang mereka yang kikir di bulan yang lain, menjadi lebih pemurah tatkala berada di Ramadan.

Segala macam kebaikan yang jarang kita lihat di bulan yang lain, banyak yang timbul dan terzahir di bulan Ramadan.

Hubungan antara pengetahuan dan kemahuan.

Terlalu banyak hadith yang menyebut tentang keagungan dan kelebihan bulan ini, beramal didalamnya digandakan pahala tanpa tara lagi, bahkan ia seakan tidak asing lagi dikalangan ramai orang, antara mahu dan tidak sahaja yang membezakan antara kita.

Sebagaimana seseorang itu tahu tentang bahaya rokok, tetap sahaja terus merokok walaupun dia tahu bahaya tersebut.

Demikian sebagaimana ramainya yang tahu tentang kelebihan akhirat berbanding dunia, tetap sahaja terus mengejar dunia tanpa menghirau akhirat..

Begitulah sifirnya, mereka yang tahu tentang sesuatu, belum tentu mahu pada perkara tersebut.

Kerana itu jugalah perlu dibezakan antara orang yang belajar agama dan orang yang beragama. Tidak perlu dihairankan mereka yang mendapat A bagi matapelajaran pendidikan Islam SPM, tetapi tidak bertudung dan tunggang langgang kehidupannya.

jangan merasa hairan pemegang ijazah bidang syariah melakukan sesuatu yang tak terjangkau dek akal manusia,,

semua ini kerana pengetahuan dan kemahuan seakan tiada lagi hubungannya,,pengetahuan seakan tiada lagi daya untuk mendesak kemahuan beramal soleh dan meninggalkan mungkar.

maka kita mestilah orang yang bukan sekadar tahu bahawa Allah menawarkan keampunan di bulan ini, tetapi mesti mahu merebut keampunan tersebut!

Sabda nabi saw ;

شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ

Maksudnya : celakalah mereka yang mendapati Ramadan, kemudian keluar darinya dalam keadaan tidak diampunkan dosanya. [ riwayat Bukhari dalam al-adab al-mufrad no ; 640 ]

Namun mestilah sentiasa kita berbaik sangka yang Allah itu sentiasa mahu mengampunkan hambaNya yang memohon keampunan darinya dan berusaha memperbaiki diri.

واستغفر الله إن الله كان غفورا رحيما

Maksudnya ; dan mohonlah keampunan dari Allah, sesungguhnya Allah itu maha pengampun dan mengasihani. [ surah an-Nisa’ ; 106]

Beriman dengan tuhan Ramadan

Saya mesti sentiasa sedar yang tuhan Ramadan sentiasa hidup tidak mati, sedangkan Ramadan akan pergi beberapa hari lagi.

Justeru iman bukan untuk Ramadan, tetapi untuk tuhan Ramadan, pada bulan ini, andai kita bersungguh untuk mencapai keampunan Allah, maka itu tidak beerti kita akan terus bersih dan terlepas dari melakukan dosa dimasa depan, ia adalah suatu yang mustahil.

Sabda nabi saw ;

كل ابن آدم خطاء، وخير الخطَّائين التوّابون

Maksudnya : setiap anak adam itu berdosa, dan sebaik-baik orang yang berdosa itu mereka yang bertaubat. [ riwayat Tirmizi ; 2499 ].

Maka kita akan tetap melakukan dosa samada sengaja ataupun tidak.

Kerana itu, kita mesti berusaha memastikan kebaikan di bulan ini, dibawa ke bulan yang seterusnya, kerana iman bukan kepada Ramadan, tetapi kita beriman kepada tuhan Ramadan!

Read Full Post »