Alhamdulillah kita telahpun berada di bulan Muharram, satu daripada empat bulan haram dalam Islam. Muharram merupakan bulan yang padanya kelebihan yang dikurniakan Allah, ia dibesarkan oleh Allah swt sebagaimana sabda saw :
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ
Maksudnya : dari Abu Hurairah ra berkata, sabda nabi saw : sebaik-baik puasa selepas Ramadhan ialah bulan Allah, Muharram. [Muslim : 1982]
Pencuci dosa.
Bersyukur pada yang Esa, mengurniakan kita pelbagai cara dan jalan untuk menyucikan kotoran dan daki dosa yang terpalit di setiap anggota kita, berwuduk menghapuskan dosa, demikian solat lima waktu, dan pelbagai lagi cara. Dan puasa pada bulan Muharram adalah salah satu caranya untuk proses pemutihan hati dari bintikan dosa yang semakin menggelapkan kita dari cahaya hidayah..
Sejarah hari ‘Asyura dan tasu’a ( 10 dan 9 Muharram)
Sabda baginda saw sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, ketika baginda sampai ke Madinah dan melihat orang yahudi berpuasa pada hari ‘Asyura :
مَا هَذَا قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ فَصَامَهُ مُوسَى، قال: فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya : apa yang mereka katakana bahawa hari ini hari yang baik, hari yang Allah menyelamatkan Bani Israel dari musuh mereka, maka Musa as berpuasa pada hari tersebut, sabda baginda : maka aku lebih berhak dengan Musa as dari kalian, maka baginda berpuasa pada hari tersebut dan menyuruh orang berpuasa padanya. [ Bukhari : 1865 ].
Manakala Tasu’a pula, kata Ibn ‘Abbas ra, ketika baginda saw berpuasa pada hari ‘Asyura, dan baginda menyuruh sahabat berpuasa padanya, mereka berkata pada Rasulullah saw, ” sesungguhnya hari itu adalah hari yang dibesarkan oleh kaum yahudi dan nasrani, maka kata baginda saw : ” pada tahun hadapan dengan izin Allah, kami berpuasa pada hari kesembilan(tasu’a),” namun belum sampai tahun hadapan, baginda telah pun wafat. [ Muslim : 1916 ]
Demikianlah, sejarah bagaimana disyariatkan sunatnya berpuasa pada bulan muharram, lebih-lebih lagi pada hari kesepuluh dan Sembilan Muharram.
Kelebihan berpuasa di 10 Muharram.
Sebagaimana yang diceritakan oleh Ibn Abbas bahawa beliau tidak pernah melihat baginda saw begitu bersungguh-sungguh berpuasa pada satu hari yang memiliki fadilat berbanding yang lain melainkan pada hari ‘Asyura dan bulan Ramadhan.
Sabda baginda saw :
صيام يوم عاشوراء، إني أحتسب على الله أن يكفر السنة التي قبله
Maksudnya : puasa hari ‘Asyura, aku berharap kepada Allah mengampunkan dosa setahun sebelumnya. [ Muslim ;1976].
Subhanallah, baginda bersungguh untuk melaksanakannya, diampunkan Allah dosa setahun. Sangat besar kurniaan Allah..
Sepintas masalah berkaitan puasa ‘Asyura.
Bolehkah berpuasa pada hari kesepuluh sahaja tanpa digabungkan dengan hari Sembilan atau sebelas? Kata Ibn Hajar al-Haithami ; dan tidak mengapa dengan puasa pada ‘Asyura sahaja [ Tuhfatul Muhtaj, jld 3 bab ; puasa sunat].
Sudahnya,,
Marilah kita merebut kelebihan ini, apakah yang lebih berharga buat insan, melainkan diampunkan oleh Allah segala dosanya..dihari yang tiada apa lagi yang boleh disorok dari amalan kita. Tangan, kaki, kulit, dan seluruh anggota kita menjadi saksi segala amalan kita.. Kawan karib, sanak saudara, keturunan, semuanya melarikan diri dari kita,,semoga aku dan kalian tergolong dikalangan hambaNya yang diampunkan..
Tinggalkan Jawapan