Bunyi tangisan seorang bayi yang baru dilahirkan ibunya menggamit keheningan pagi di teratak usang itu. Montel, sempurna sifat zahirnya, disekelilingnya ramai orang tersenyum gembira menyambut kelahiran seorang bayi yang telah dikandung ibunya sejak Sembilan bulan yang lalu…
Bayi itu tidak mengerti sebarang maksud, dilahirkan tanpa sebarang palitan dosa, fitrahnya mengesakan tuhan..matinya ketika kanak-kanak menjaminnya mendapat syurga Allah menurut pendapat yang sahih, sekalipun ibu dan ayahnya mensyirikkan tuhan yang esa..
Demikian seorang bayi..aku merenung dan mengamati dalam-dalam firman Allah :
فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّه
Maksudnya : “…fitrah Allah yang mana Dia mencipta manusia diatasnya, tidak ada perubahan bagi ciptaan Allah..”[ surah al-Rum ; 30 ].
Majoriti ulama tafsir menyatakan bahawa fitrah yang dimaksudkan didalam ayat ini ialah Islam, bayi yang dilahirkan dimuka bumi ini suci bersih..memiliki fitrah yang sejahtera, tidak dicemari oleh sebarang kotoran dosa, telah diambil kesaksiannya sebelum dilahirkan, firman Allah swt :
وَأَشْهَدَهُمْ عَلَى أَنْفُسِهِمْ أَلَسْتُ بِرَبِّكُمْ قَالُوا بَلَى شَهِدْنا
Maksudnya : ” … dan Allah mengambil kesaksian dari diri-diri mereka, bukankah aku ini tuhan kamu? Mereka menjawab ; betul ( engkau tuhan kami), kami bersaksi..”[ surah al-A’raf ; 172 ].
Itulah seorang bayi..tatkala seorang bayi bermain disekeliling kita, ada suara membisik, ‘alangkah beruntungnya seorang bayi, makan dan minum disuap, berak dicebok, tidur didodoi, hendak kemana pun didukung..’
Bayi yang tidak mengerti sebarang maksud itu,hanya tahu ketawa dan menangis, dicorakkan kehidupannya oleh pasangan ibu dan ayahnya, atau sesiapa pun yang menjaganya, sebagaimana sabda baginda saw :
ما مِنْ مَوْلُودٍ إِلَّا يُولَدُ عَلَى الفِطْرَةِ، فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ، وَيُنَصِّرَانِهِ وَيُمَجِّسَانِهِ
Maksudnya : “tidak ada satu bayi yang dilahirkan melainkan dilahirkan diatas fitrah(Islam), ibu dan ayahnya lah yang menjadikannya yahudi, atau nasrani atau majusi…”[ Muslim ; 2658].
Peranan ibu dan ayah
Tanggungjawab pasangan ibu dan ayah keatas anak yang dilahirkan hasil hubungan mereka sangatlah besar, telah dinyatakan kepada manusia bahawa anak adalah satu ujian, firman Allah :
إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَة
Maksudnya :” sesungguhnya harta dan anak kamu adalah fitnah(ujian) ” [surah al-Taghabun ;15].
Berkahwin memang seronok, ‘buat anak’ jauh lebih seronok, namun anak itu mungkin boleh menjadi duri dalam daging, api dalam sekam, gunting dalam lipatan..
mungkin juga menjadi harta kita di akhirat kelak, pada hari yang anak dan harta tiada manfaatnya lagi, namun doa anak yang soleh, yang mana kesolehannya hasil didikan tangan kita, mengalir membantu memberatkan timbangan kebaikan, menyelamatkan kita dari kepanasan neraka.. semuanya banyak bergantung kepada didikan kita terhadap mereka sewaktu mereka kecil.
Bayi yang fitrah, suci bersih itu..semoga membesar dalam mentaati Allah, memakmurkan bumi Allah dengan agamanya, menyelusuri jalan kehidupannya mencari Redha Allah..
Aku yang suatu masa dahulu juga seorang bayi,, dosa dan keburukan yang dilakukan aku sepanjang hidupku ini..semoga diampuni Allah..semoga aku boleh kembali kepadaNYA sebagaimana aku datang dariNYA suatu masa dahulu..datang dalam keadan suci bersih,tiada sebutir debu dosa sekalipun yang mengotori jasad,. Ampunkanlah ibu dan ayahku ya Allah.. sesungguhnya merekalah yang memperkenalkan aku dengan Islam, mendidikku dengan agamaMu..mereka telah menjalankan amanahMu ya Allah…….
yeah, sabiq nak dapat anak doh