Hampir terlupa kata laluan untuk membuka blog ini, menunjukkan betapa lama ia terbiar tidak terusik, entah semangat apa yang mencetus gerak jari menaip aksara untuk berkongsi rasa pada hari ini.
Seminggu yang lalu, kita telahpun selesai menunaikan kewajiban berpuasa, diraikan kemenangannya pun sudah, tetapi biasalah kebiasaan orang kita, kunjung mengunjungi masih berjalan hingga hari ini. Ada yang beraya di rumah kawannya yang terletak nun di daerah yang membolehkan kita mengqasarkan solat, juga ada yang sejengkal cuma dari pintu rumah.
Apakah pencetus luahan rasa ini?
Saya tidak terfikir untuk menulis satu artikel yang sarat dengan dalil dan nas , tetapi lebih suka untuk mengisinya dengan memuhasabah diri, apakah tujuan saya beramal, dan atas landasan apakah saya mendirikan sesuatu amal ibadat yang diperintahkan oleh Allah.
Ketika seperti ada perbalahan kecil antara dua orang yang berbeza cama beramal berkaitan jarak perjalanan yang diharuskan solat jamak dan qasar, saya seakan dijadikan benteng pertahanan untuk membenarkan pendapatnya. Buntu untuk menjawabnya..bukan kerana tidak tahu langsung, tetapi tahu bahawa jawapan pada ketika itu tidak menyelesaikan masalah, maka jawapan terpancul sekadar untuk menenangkan suasana tegang.
Ringkasan pendapat berkaitan masalah ini.
وإذا ضربتم في الأرض فليس عليكم جناح أن تقصروا من الصلاة
Maksudnya :”apabila kamu bermusafir di muka bumi, maka tidak mengapa jika kamu mengqasarkan solat…”[ Surah an-Nisa’; 101]
Ayat ini menjadi asas pensyariatan solat qasar apabila seseorang melakukan sesuatu perjalanan, justeru, perjalanan yang bagaimanakah seseorang dibolehkan mengqasarkan solatnya? Berapa jarak perjalanan tersebut? Bolehkah seseorang mengqasarkan solatnya pada perjalanan yang berjarak kurang 80KM?
Perbezaan pendapat dalam masalah jarak perjalanan yang membolehkan seseorang menunaikan solat wajib secara jamak dan qasar, merupakan satu permasalahan fiqh yang sangat panjang. Justeru sebagaimana tulisan saya yang sebelum ini, artikel di blog ini cuma ringkasan dan bukan bingkisan muktamad..
Antaranya ialah ;
1- Mazhab Syafie dan Ahmad dan Malik: dikadarkan dengan jarak iaitu +-81 KM.
Antara Dalilnya : sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari secara ta’liq dalam bab: [berapakah jarak perjalanan yang diqasarkan solat]
وَكَانَ ابْنُ عُمَرَ، وَابْنُ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ، يَقْصُرَانِ، وَيُفْطِرَانِ فِي أَرْبَعَةِ بُرُدٍ وَهِيَ سِتَّةَ عَشَرَ فَرْسَخًا
Maksudnya : “adalah Ibn Umar dan Ibn ‘Abbas RA mengqasarkan solat dan berbuka puasa apabila bermusafir sejauh 4 burud bersamaan 16 farsakh.”
Satu farsakh dianggarkan dengan KM, kira-kira +-5 KM, jadi 16 farsakh bersamaan dengan +-80 KM.
Justeru jarak perjalanan yang kurang dari 80KM tidak dibenarkan untuk seseorang menjamak qasarkan solatnya. Dan ini juga adalah pendapat jumhur(majority) menurut Imam Nawawi.[ lihat Syarh Sahih Muslim bagi hadith no. 690]
2- Mazhab Hanafi : dikadarkan dengan jarak +-90 km
Antara dalilnya bersandarkan pada keharusan untuk mereka yang bermusafir menyapu wuduk diatas khuf selama tiga hari [lihat hadith riwayat Muslim no. 1338].
Jika dengan kiraan farsakh iaitu 18 farsakh bersamaan dengan +-90km
3- Mazhab Zhohiri : tiada jarak yang ditetapkan secara tepat oleh Baginda saw.
Ini juga merupakan pendapat Syeikhul Islam Ibn Taimiyah dan Ibn Qayyim al-jauziyyah sebagaimana yang disebut didalam karangannya Zaadul ma’ad [lihat m/s 196; Darul Kitab al-Arabi] .
Samada jarak perjalanan itu pendek atau panjang, selagi mana ia dinamakan sebagai satu safar, maka dibolehkan seseorang untuk menunaikan solat secara jamak dan qasar. Bahkan adanya pendapat yang menyatakan bahawa boleh diqasarkan solat bagi jarak perjalanan yang hanya sejauh 15KM. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim[ lihat hadith no.691]. Namun peghujahan menggunakan hadith ini bagi membolehkan qasar bagi jarak itu ditolak oleh Imam Nawawi ketika mensyarahkan hadith tersebut.
Sekian ringkasan.
Demikian ringkasan beberapa pendapat mazhab dan para ulama berkaitan dengan permasalahan jarak perjalanan bagi membolehkan seseorang menunaikan solat fardhu secara jamak dan qasar.
Saya bukanlah orang yang layak untuk menentukan mana satu pendapat yang paling tepat berkaitan masalah ini, namun saya sentiasa cuba mengingati diri ini agar sentiasa mengiringi sesuatu amalan dengan taqwa..
Bahkan ketika menyelak lembaran karangan Imam syafie; al-umm, sebagaimana yang telah disebut diatas, Imam Syafie berpendapat jarak +-80KM bagi membolehkan qasar. Namun katanya ; ” adapun aku suka untuk tidak mengqasarkan solat bagi perjalanan kurang 3 marhalah(+-90) sebagai langkah berhati-hati buat diriku”[ lihat al-Umm,1/211].
Demikian sikap seorang Imam..berhati-hati agar tidak tersilap, tidak tergopoh sebagaimana ramai orang pada hari ini..
Justeru untuk mengelakkan daripada hal ini dipermudah-mudahkan, kelak ditakuti ada orang yang mengatakan “aku boleh berbuka puasa kerana aku bermusafir” sedang jarak perjalanannya 10 minit sahaja dengan kereta. Eloklah diperhatikan apakah safar yang dimaksudkan oleh baginda saw,jika disebut rasulullah saw bermusafir, bagaimana jarak yang dilalui oleh baginda yang dinamakan sebagai safar.
Dikesempatan kita masih segar selepas keluar dari bulan tarbiyah, semoga Allah mengurniakan kita taqwa ..semoga Allah menjadikan kita dikalangan mereka yang mengamalkan agama dari sudut fizikal dan rohani..
Walau mana satu pendapat sekalipun yang kita pegang dan amalkan selama ini, semoga kita mengamalkannya diiringi dengan taqwa atas apa yang kita yakini. Tiada yang mengetahui kebenaran berada di tangan siapa melainkan Allah swt.
Tinggalkan Jawapan