Bermusafir bersama-sama Ali(pelajar kemboja di Universiti Islam Madinah), pada hari terakhir saya di bumi Kemboja dari Kampung Soi ke ibu Negara Kemboja, Phnom Penh. Perjalanan mengambil masa kira-kira 5 jam, banyak maklumat dan kisah perjuangan serta pengorbanan masyarakat Islam di kemboja diceritakan oleh beliau.
Terserempak dengan rombongan Dr Hasan Ali di sebuah pasar di Ibu Kota Kemboja, sempat bersalaman dengan mufti kerajaan Kemboja, Ustaz Kamaruddin. Juga tidak ketinggalan saya sempat mengunjungi pejabat HPA Kemboja, apa yang mengejutkan ialah, sahabat serumah saya ketika mengajar di Maahad al-Manar, Kelantan, adalah pengurus besar HPA Kemboja. Saudara Sulaiman Muhammad, sungguh tidak disangka pertemuan tersebut. Saya kagum dengan semangat beliau berjuang untuk membantu membangunkan ekonomi Muslim di Kemboja, cara berfikirnya jelas, untuk melihat survival Muslim di Kemboja terus maju.
Perjuangan Muslim di muka bumi Allah ini tidak akan berakhir melainkan nyawa yang dikandung tercerai dari badan. Perjuangan masyarakat Islam yang menjadi minoriti di Negara-negara yang berjiran dengan Malaysia, berterusan sehingga misi yang ingin digapai terlaksana. Lihat saja kesungguhan masyarakat Islam Mindanao di Filipina, dan saudara kita di selatan Thailand.
Sepintas tentang Muslim di Kemboja.
Ziarah saya ke Kemboja, membuka satu lagi lembaran kesedaran dalam diri ini, untuk tidak terus lena dan hanyut dibuai dunia yang sementara. Melihat perjuangan masyarakat Melayu Islam Champa yang berhijrah ke Kemboja sejak lebih seabad yang lalu. Setelah Kerajaan Melayu Champa ditewaskan oleh kerajaan Vietnam, penduduknya bertempiaran lari ke beberapa negeri nusantara, Kemboja satu daripadanya.
Kemboja dijajah oleh Perancis sehinggalah mencapai kemerdekaan pada tahun 1953. Sejarah hitam masyarakat Muslim di Kemboja bermula apabila kerajaan Kemboja dikuasai oleh Presiden yang bernama Pol Pot pada tahun 1975. Beliau menjalankan usaha penghapusan etnik Melayu Champa di Kemboja.
Bangsa Melayu-Champa yang keseluruhannya beragama Islam, bertutur dalam bahasa Cham serta mempunyai adat resam dan sejarah yang tersendiri menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Sejak tahun 1974 lagi ‘alim ulama’ Islam sudah mula dibunuh. Apabila Pnom Penh, ibukota Kemboja jatuh pada tahun 1975, keseluruhan ahli Majlis Mufti Kemboja telah ditangkap, dipenjara dan kemudiannya terus dibunuh.
Wanita ditegah dari memakai tudung, berbaju labuh, sesiapa yang melakukan ritual agama seperti solat dan membaca al-Quran akan dibunuh, masjid dan surau menjadi stor simpanan makanan, dipaksa memakan babi, dan pelbagai lagi seksaan dan penderitaan yang ditanggung oleh masyarakat Muslim dibawah pemerintahan Pol Pot. Hampir 90 ribu Muslim yang dibunuh dibawah pemerintahan lelaki ini.
Keadaan ini berlarutan sehingga tahun 1979, sehinggalah Hun sen( sehingga hari ini beliau terus menjadi Presiden Kemboja) berpakat dengan kerajaan Vietnam untuk menjatuhkan Pol pot, dan ianya berhasil, berakhirlah penderitaan Masyarakat Islam dibawah kekejaman Pol Pot.
Hari ini, masyarakat Islam di Kemboja bebas mengamalkan agama, aktiviti keagamaan tidak dihalang. Namun, terpancar kebimbangan di wajah-wajah sahabat saya di Kemboja, betapa mereka bimbang, bantuan yang dihulurkan oleh Vietnam suatu masa dahulu, bukanlah percuma, hari ini sedikit demi sedikit terlihat, ekonomi dipegang dan dikawal Vietnam, malah mereka dapat membaca yang Vietnam punya misi untuk menjadikan Kemboja itu sebagai sebahagian dari Vietnam, sebagaimana negeri Melayu Champa yang kini hanya tinggal sejarah.
Tinggalkan Jawapan