Wujudkah bohong sunat?
Kita mengetahui bahawa Islam adalah agama yang sentiasa releven untuk diamalkan sehingga hari kiamat. Agama yang meraikan fitrah manusia, agama yang membimbing manusia menjalani kehidupan seharian yang tersusun dan berdisiplin.
Perkataan bohong sunat sering diguna pakai ditengah masyarakat kita, apakah hal ini mempunyai asalnya dalam agama? Ataupun direka-reka untuk menyelamatkan diri dengan berbohong?
Asal berbohong.
Secara asasnya, Islam melarang perbuatan bohong, akan tetapi, terdapat beberapa situasi yang dibenarkan untuk kita berbohong. Hal-hal yang dharurat, mendamaikan dua orang yang sedang bergaduh, menyelamatkan orang daripada dizalimi dan situasi-situasi yang mendesak sehingga tidak dapat dielakkan untuk berbohong. namun istilah ‘bohong sunat’ itu betul ataupun tidak, tidaklah ingin saya panjangkan disini.
Hal ini berdasarkan hadis baginda saw :
لَيْسَ الْكَذَّابُ الَّذِي يُصْلِحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَيَقُولُ خَيْرًا وَيَنْمِي خَيْرًا» قَالَ ابْنُ شِهَابٍ: وَلَمْ أَسْمَعْ يُرَخَّصُ فِي شَيْءٍ مِمَّا يَقُولُ النَّاسُ كَذِبٌ إِلَّا فِي ثَلَاثٍ: الْحَرْبُ، وَالْإِصْلَاحُ بَيْنَ النَّاسِ، وَحَدِيثُ الرَّجُلِ امْرَأَتَهُ وَحَدِيثُ الْمَرْأَةِ زَوْجَهَا
Maksudnya : “Orang yang mendamaikan diantara manusia ( yang bertelagah ) bukanlah pembohong, dia menyampaikan yang baik-baik dan berkata yang baik-baik”
Berkata Ibn Syihab ; ” aku tidak mendengar Rasulullah saw mengharuskan manusia berbohong dalam tutur katanya melainkan dalam tiga perkara : dalam peperangan, mendamaikan manusia yang bergaduh, kata-kata(pujian) suami kepada isteri dan isteri kepada suami .” [ riwayat Muslim 2605 ]
Oleh itu, memang terdapatnya bohong yang diharuskan oleh Islam dalam beberapa perkara seperti yang disebutkan didalam hadis yang saya nukilkan diatas iaitu ;
1-berbohong didalam peperangan, taktik dan muslihat harus digunakan untuk menjatuhkan semangat pihak musuh, menjadikan pihak musuh lemah untuk mara melawan. Namun, hal ini tidaklah boleh digunakan didalam kancah politik, berbohong untuk menjatuhkan maruah pihak lawan, demi meraih undi dan sokongan rakyat. Ia sama sekali tidak termasuk dalam keharusan yang diizinkan oleh rasulullah saw.
2- mendamaikan dua pihak yang bertelagah, diharuskan untuk orang tengah yang mendamaikan dua pihak yang bergaduh berbohong agar mereka berdamai dan kembali sayang menyayangi. Juga termasuk didalam bahagian ini, untuk menyelamatkan seseorang daripada dizalimi. Sebagai contoh, menyelamatkan seseorang yang bersembunyi daripada dikejar oleh orang yang hendak membunuhnya.
3- kata-kata yang menyeronokkan pasangan suami isteri, seperti si suami berkata pada isterinya, ” sedapnya masakan awak..” atau si isteri berkata pada suaminya, ” abang lah lelaki paling gagah didunia..”
Bolehkah berbohong dengan membaca hadis palsu untuk menggalakkan orang beramal?
Didalam hal ini, baginda saw melarang kita berdusta atas namanya untuk tujuan apa sekalipun. Walaupun niat orang tersebut baik, untuk menggalakkan manusia melaksanakan amalan soleh dan kebaikan, atau mencegah manusia dari melakukan maksiat, ia tetap juga sama sekali dilarang. Kata baginda saw :
لاَ تَكْذِبُوا عَلَيَّ، فَإِنَّهُ مَنْ كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَلِجِ النَّارَ
Maksudnya : “Janganlah kamu berbohong keatasku, sesungguhnya, sesiapa yang berbohong keatasku, masuklah dia kedalam neraka” [ riwayat Bukhari 106 ].
p/s ; Wallahua’lam..seperti biasa, tulisan ini adalah ringkasan,, pembaca berhak menerima dan menolak.
Macam mana kalau berbohong atas sebab elak diri daripada terus berikhtilat?
tak perlu berbohong, cakap sahaja hal kebenaran bahawa ikhtilat suatu yang tidak dibenarkan