Semasa kecil dahulu, saya selalu mendengar perkataan “sumpah lillah yasin aku tak bohong”, ada juga, “jangan bohong, malam ni malam jumaat”, dan banyak lagi, kita memang diajar agar jangan berbohong, mesti kita pernah dengar ” kecik-kecik membohong, besar-besar mencuri”. Anak-anak membohong orang tuanya, isteri membohongi suami, suami membohongi isterinya, golongan agama dan pakar motivasi mereka-reka cerita untuk menarik orang mendengar ceramahnya, penjual ubat mencipta khasiat palsu tentang ubatnya, dan banyak lagi sebab dan alasan orang berbohong. Dunia penuh dengan muslihat.
Makna berbohong.
Berbohong bermaksud kita bercakap sesuatu yang menyalahi hal yang sebenar. Perbuatan berbohong adalah suatu yang dilarang oleh agama, ia merupakan suatu perbuatan yang dikeji oleh Allah dan Rasulnya.
Asasnya, berbohong adalah hal yang bertentangan dengan iman, kerana iman beerti membenarkan dan berbohong atau mendustakan pula lawannya. Perbuatan ini menunjukkan kelemahan peribadi seseorang itu, kerana takut untuk menegakkan kebenaran.
Sepatutnya setiap insan berhati-hati dan mengawasi setiap kata-kata yang keluar dari mulutnya, kerana setiap kalimah yang dituturkannya itu dihisab dan dikira oleh Allah swt.
Firmannya :
ما يلفظ من قول إلا لديه رقيب عتيد
Maksudnya : “tidak ada satu kata yang diucapkan melainkan ada disisinya malaikat yang sentiasa mencatat” [ Surah Qaf ; 18 ].
Sabda baginda saw :
إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا
Maksudnya : “sesungguhnya bercakap benar itu membawa kepada kebaikan, kebaikan itu membawa kepada syurga, sesungguhnya lelaki yang sentiasa bercakap benar sehingga dia ditulis sebagai orang yang benar disisi Allah. Sesungguhnya dusta itu membawa kepada kejahatan, kejahatan itu membawa kepada neraka, sesungguhnya seorang lelaki yang berterusan berdusta sehingga ditulis disisi Allah sebagai pendusta [ Sahih Bukhari ; 6094 ].
Hadis ini menggambarkan betapa bahayanya dusta, seseorang yang telah terbiasa bercakap bohong, sukar meninggalkannya, suka mereka-reka cerita sehingga masyarakat sendiri telah mengenalinya sebagai penipu. Lebih malang, disisi Allah juga telah dicop sebagai penipu.
Dari kecil juga, kita selalu mendengar hadis baginda saw yang menyatakan antara sifat orang munafiq itu ialah jika dia berbicara, dia akan berbohong.
” آيَةُ المُنَافِقِ ثَلاَثٌ: إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ، وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ، وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ
Maksudnya : “tanda orang munafiq itu tiga ; jika dia berbicara dia berdusta, jika berjanji dia mungkiri, jika diberi amanah, dia khianati” [ Sahih Bukhari ; 33]
Dunia penuh muslihat.
Hari ini, ramai yang mendakwa dia nampak itu dan ini dalam mimpinya, mendakwa dirinya menerima wahyu, dan pelbagai lagi dusta yang disandarkan kepada mimpi.
Tidak kurang juga ada yang mencuri-curi dengar, mengendap dan sebagainya, kemudian disebarkan kepada orang lain, tanpa diselidiki dan dipastikan kebenarannya.
Tidak sedikit juga yang membuat cerita sensasi untuk melariskan jualan akhbar harian, memburuk-burukkan orang, menjatuhkan maruah orang lain dengan berita yang salah dan bohong.
Sungguh..dusta dan bohong menyebabkan ummah menjadi lemah..lihatlah masyarakat kita hari ini, perhatikan sahaja akhbar-akhbar harian, semakin sukar dipastikan, mana satu berita yang benar, dan mana satu yang dusta.
Wujudkah bohong sunat?
Insyaallah, saya akan menulis secara ringkas tentang hal ini pada entri yang akan datang..
p/s ; seperti biasa, tulisan saya adalah ringkasan dari pembacaan dan pengamatan saya sendiri, justeru ia belum cukup mengenyangkan pembaca(kalau ada pembaca) (‘TT)
saya sedang membacanya,hehe ~muhaidir~