Jika pada tulisan yang lalu, menceritakan tentang dosa tersembunyi, disini saya ingin berkongsi tentang beberapa langkah yang mungkin boleh kita ambil untuk mengelak dari terjerumus kedalam lembah kemaksiatan gelap yang menyuramkan kehidupan, baik di alam sementara ini, mahupun di negeri kekal abadi kelak.
a- Mengelakkan diri dari bersendirian.
Sabda nabi saw ;
…..فَإِنَّ الشَّيْطَانَ مَعَ الوَاحِدِ وَهُوَ مِنَ الِاثْنَيْنِ أَبْعَدُ….
Maksudnya :…..sesungguhnya syaitan bersama mereka yang bersendirian, apabila berdua, dia(syaitan) lebih jauh(menjauhi).[ riwayat Tirmizi ; 2165 ].
Serigala juga sukar untuk meyerang sekawan kambing, tetapi apabila ada seekor kambing yang menjauhi kawanan kmbing tersebut, kambing itulah yang akan diserang oleh serigala tersebut.
Demikian kita, insan, kita lebih mudah terpedaya dan dihasut oleh syaitan apabila kita bersendirian, fikiran melayang, mula berfikir tentang hal-hal yang disukai nafsu, kemudian terfikir untuk melakukan larangan Allah, dengan sangkaan,’ah, tiada siapa yang nampak’.
b- Jika dalam keadaan bersendirian, sibukkan diri dengan kebaikan.
Jika kita tidak disibukkan dengan kebaikan, pasti kita akan disibukkan dengan kejahatan. Kerana perlindungan dari melakukan maksiat, adalah anugerah Allah dengan usaha kita. Sabda baginda saw ;
احفظ الله يحفظك
Maksudnya : Peliharalah Allah( hak-hakNYa) nescaya Allah akan memelihara kamu. [ riwayat Tirmizi ; 2516 ].
Jangan kita menodai larangan dalam gelap malam, disudut yang tiada manusia melihatnya, sedang kegelapan gelap malam itu juga ciptaan Allah.
c- Jika tidak mampu juga, buatlah sesuatu yang lebih ringan mudharatnya.
Contohnya, jika kita suka menonton benda yang bukan-bukan, bergayut dengan awek atau apa sajalah yang menjerumuskan kita kepada dosa, ganti semua itu dengan bermain PES2011 ke, atau counter strike ke, atau apa saja game yang kita minat. Kaedah fiqh ada menyebut tentang ;
“ارتكاب أخف الضررين”
Maksudnya : “Melakukan darurat yang lebih ringan”
Sudah pasti semua permainan yang disebut diatas, tidaklah menambah iman, juga membuatkan kita leka dan kemungkinan melewatkan solat.
Namun, saya mencadangkan sedemikian kerana, saya pasti semua setuju bahawa menghabiskan waktu untuk bermain game tersebut lebih baik dari menonton lucah, berkhayal melakukan maksiat, melancap dan pelbagai lagi dosa tersembunyi yang sering dilakukan.
Tetapi, ini adalah penyelesaian bersifat sementara, bukannya selama-lamanya, berusahalah untuk memperbaiki diri dan menjadi hamba Allah yang baik.
Kita pun tahu, hidup didunia ini sementara. Bila-bila saja Allah boleh menarik nyawa kita, bayangkanlah, Allah menarik nyawa kita ketika sedang melakukan maksiat kepadanya..alangkah buruknya kesudahan hidup kita.. wallahua’lam..
Dimanakah keampunan.
Andai terbabas….
Setiap yang bergelar insan, tidak akan terlepas dari melakukan dosa, samada kecil ataupun besar dosa tersebut, tersembunyi atau terang-terangan, sedar ataupun tidak.
Demikian insan, tiada jaminan terpelihara dari melakukan dosa sebagaimana jaminan dan perlindungan yang Allah berikan kepada para nabi.
Oleh kerana itu, hendaklah kita sentiasa berusaha menyucikan diri dari kekotoran dosa yang terpalit pada diri kita. Sebagaimana kita sukakan pada pakaian yang bersih, persekitaran yang bersih, begitu juga kita mesti menyukai diri kita yang dijadikan Allah dalam keadaan fitrah, suci dari dosa.
Sedang baginda saw, seorang rasul, yang dipelihara oleh Allah dari dosa. Beristighfar dan memohon ampun kepada Allah pada setiap hari. Sabda baginda saw :
يأيها الناس توبوا إلى الله فإني أتوب إليه في اليوم والليلة مئة مرة
Maksudnya : “wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah! Sesungguhnya aku bertaubat kepadaNYA seratus kali pada siang dan malam! [ riwayat Muslim ; 2702 ].
Tiada istilah putus asa.
Oleh kerana kita telah menyedari bahawa hakikat yang kita ialah insan, tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan dosa. Maka hendaklah kita sentiasa dan berterusan memohon ampun kepada Allah swt, kerana Allah sentiasa membuka ruang dan peluang untuk hambaNYA yang terbabas dan terlajak melakukan dosa, untuk kembali meraih keampunan dan rahmatNYA. Firman Allah swt :
قل يعبدي الذين أسرفوا على أنفسهم لا تقنطوا من رحمة الله إن الله يغفر الذنوب جميعا إنه هو الغفور الرحيم
Maksudnya : ” Katakanlah, wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya, sesugguhnya Dia maha pengampun dan penyayang. [ az-Zumar ; 53 ].
FirmanNYA lagi :
ومن يعمل سوءا أو يظلم نفسه ثم يستغفر الله يجد الله غفورا رحيما
Maksudnya : sesiapa yang melakukan kejahatan atau menzalimi dirinya sendiri, kemudian dia meminta ampun dari Allah, dia akan mendapati yang Allah itu maha pengampun lagi maha penyayang [ Surah an-Nisa’ ; 110 ].
Demikian Allah swt, sangat mengasihani sekalian hambaNya yang terbabas, diampunkan dosa mereka selagi nyawa dikandung badan, roh belum sampai dikerongkong.
Semoga kita menjadi hambanya yang bertaubat, menjaga hak-hak Allah.
Sebagai kesimpulannya, walaupun kita telah mengetahui bahawa Allah itu maha pengampun. Namun, jangan dilupai bahawa azab Allah swt juga sangat pedih. Ketika kita membaca :
نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
maksudnya : Khabarkan lah ( wahai Muhammad) kepada mereka bahawa aku(Allah) ini maha pengampun dan penyayang [ surah al-Hijr ;49 ].
Teruskan menghayati ayat seterusnya :
وأَنَّ عَذَابِي هُوَ الْعَذَابُ الأَلِيمَ
Maksudnya : dan sesungguhnya azab aku sangat pedih [ surah al-Hijr ; 50 ].
Jadi..janganlah dicabar dan dicuba-cuba kepanasan azab Allah.. Wallahua’lam..
Tinggalkan Jawapan