Pergi ! jangan tengok aku.
Adakah kita sedar? Bahawa kita tidak suka atau benci jika orang melihat kita dalam keadaan sedang melakukan dosa? Dan sedarkah kita bahawa kita suka jika orang melihat kita sedang melakukan kebaikan? Tulisan ini untuk mengingatkan saya tentang apa itu dosa. Dengan itu, setelah mengenal tentang dosa, semoga saya dapat menghindarkan diri dari terjerumus dalam kegelapan dosa.
Apa itu dosa?
Kata Nabi saw :
البر حسن الخلق، والإثم ما حاك في صدرك وكرهت أن يطلع عليه الناس
Maksudnya : Kebaikan itu ialah akhlak yang baik, dan dosa itu ialah apa yang membuatkan hati kamu tidak tenteram dan kamu membenci jika manusia melihatnya. [ Riwayat Muslim ; 2553 ]
Didalam hadis ini, baginda mengatakan yang dimaksudkan dengan kebaikan itu ialah berakhlak mulia. Pernah suatu ketika, Saidatina Aishah r.a ditanya tentang bagaimanakah akhlak Rasulullah saw? Jawab beliau :
كان خلقه القران
Maksudnya : Rasulullah itu, akhlaknya al-Quran [ riwayat bukhari dalam al-Adab al-Mufrad ; 308]
Secara ringkasnya, berakhlak dengan akhlak al-Quran itu bermaksud mengerjakan apa yang terkandung didalam al-Quran dari segala kebaikan dan meninggalkan segala larangan Allah.
Kemudian, baginda saw mengatakan bahawa dosa itu, adalah sesuatu yang kita sendiri merasa tidak tenteram, takut didalam hati, bimbang jika orang melihat kita sedang melakukan dosa.
Tidak dinafikan, terdapatnya golongan yang menzahirkan kejahatan yang dia telah lakukan, sudah melanggan pelacur, dijajanya cerita dan bangga pula dengan perbuatannya itu, malah mempromosi perbuatannya pada kawan-kawan. Namun, saya tidak ingin menyentuh tentang perihalnya manusia sebegitu.
Adapun apa yang menjadi topik saya ialah, mereka yang melazimi solat lima waktu, malah sentiasa menunaikannya secara berjemaah di masjid dan surau. Setiap hari, tidak lupa untuk membaca al-Quran, ditengah masyarakat, dia dianggap orang baik.
Namun apabila dia bersendirian, berubah segala-galanya, dia menodai larangan Allah. Melancap, mencuri, mengambil dan memberi rasuah, menonton benda-benda yang tidak senonoh dan pelbagai lagi dosa-dosa yang lain.
Kenapa ini berlaku?
Kita semua mengetahui bahawa Allah itu maha melihat, maha mengetahui dan tiada suatu pun yang berlaku diatas muka bumi ini, melainkan Allah mengetahuinya. firmanNya :
وعنده مفاتح الغيب لا يعلمها إلا هو ويعلم ما في البر والبحر وما تسقط من ورقة إلا يعلمها ولا حبة في ظلمات الأرض ولا رطب ولا يابس إلا في كتاب مبين
Maksudnya : Dan kunci-kunci perkara ghaib ada padaNya, tiada seorang pun yang mengetahuinya melainkan Allah. Dia mengetahui apa yang ada di bumi dan di langit, tiada sehelai pun daun yang gugur melainkan Allah mengetahuinya, tidak ada sebutir biji dalam kegelapan dan tiada yang basah ataupun kering, yang tidak tertulis dalam kitab yang nyata. [ Surah al-An’am ; 59 ].
Ringkasnya, dimana juga kita berada, Allah mengetahuinya, apa juga yang kita lakukan, secara sembunyi atau pun terang-terangan, semuanya dibawah pengetahuan Ilahi.
Jadi, apa yang menyebabkan kita menodai larangan Allah ketika bersendirian? Jawabnya, bukan kerana tidak mengimani sifat Allah swt yang maha mendengar , melihat, dan mengetahui, tetapi kurangnya rasa muraqobah (pengawasan ) Allah dalam hati kita.
Atau, kita terlupa tentang kewujudan Allah? Firman Allah :
يستخفون من الناس ولا يستخفون من الله وهو معهم
Maksudnya : Mereka dapat bersembunyi dari manusia, tetapi mereka tidak dapat bersembunyi dari Allah, kerana Allah ( pengetahuan Allah ) bersama mereka. [Surah an-Nisa’].
Akibat buruk kerana melakukan dosa.
1- Sudah semestinya, setiap apa yang kita lakukan di dunia ini, akan dikira dan dihisab, tidak ada satu pun perbuatan kita yang akan terlepas, samada diberi ganjaran, ataupun diberi hukuman. Firman Rabbul Jalil :
ونضع الموزين القسط ليوم القيامة فلا تظلم نفس شيئا وإن كان مثقال حبة من خردل أتينا بها
Maksudnya : dan kami meletakkan timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiada seorang pun yang akan dizalimi, sekalipun hanya seberat biji sawi, pasti kami akan mendatangkannya. [ Surah al-Anbiya’ ; 47 ]
Ini bermakna, sekecil mana pun amalan kita, akan dihisab di sisi Allah pada hari kiamat.
2- Tidakkah kita merasa bahawa, kebaikan menjadikan wajah kita berseri, sedang kejahatan dan dosa membuatkan wajah kita kelam dan murung? Semua orang ingin kelihatan cantik, maka soleklah dengan amalan soleh, jangan dicalit dengan kekotoran dosa.
3- Amalan kebaikan menjadi hampas dan tidak bernilai. Sabda Nabi saw :
لَأَعْلَمَنَّ أَقْوَامًا مِنْ أُمَّتِي يَأْتُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِحَسَنَاتٍ أَمْثَالِ جِبَالِ تِهَامَةَ بِيضًا، فَيَجْعَلُهَا اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ هَبَاءً مَنْثُورًا» ، قَالَ ثَوْبَانُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ صِفْهُمْ لَنَا، جَلِّهِمْ لَنَا أَنْ لَا نَكُونَ مِنْهُمْ، وَنَحْنُ لَا نَعْلَمُ، قَالَ: «أَمَا إِنَّهُمْ إِخْوَانُكُمْ، وَمِنْ جِلْدَتِكُمْ، وَيَأْخُذُونَ مِنَ اللَّيْلِ كَمَا تَأْخُذُونَ، وَلَكِنَّهُمْ أَقْوَامٌ إِذَا خَلَوْا بِمَحَارِمِ اللَّهِ انْتَهَكُوهَا.
Maksudnya :” akan datang suatu kaum pada hari kiamat dengan amalan sebanyak seperti Gunung Tihamah, Allah menjadikan amalan mereka itu seperti debu yang berterbangan. “Kata Tsauban, “wahai Rasulullah, beritahu kami ciri-ciri mereka, supaya kami tidak menjadi sebahagian dari mereka sedang kami tidak perasan. Baginda saw bersabda, ” mereka itu saudara-saudara kamu, dari kalangan kaum keluarga kamu, mereka melakukan amalan pada malam hari seperti kamu juga, tetapi apabila mereka bersendirian, mereka menodai larangan-larangan Allah” [ Hadis riwayat Ibn Majah ; 4245. Dinilai sahih oleh al-Albani ].
Hadis ini menggambarkan betapa bahayanya dosa tersembunyi, semoga hadis ini menjadikan kita lebih merasakan pengawasan Allah. Sebagaimana yang kita sebut-sebut tentang hadis Ihsan ;
أن تعبد الله كأنك تراه فإن لم تكن تراه فإنه يراك
Maksudnya : ” beribadahlah kepada Allah seakan kamu melihatNYA, jika kamu tidak melihatnya, maka sesungguhnya Allah melihat kamu.” [ Sahih Bukhari ; 50 ].
4- Jika diamati hadis diatas, amalan kebaikan yang dilakukan menjadi seperti debu yang berterbangan, ditakuti amalan kebaikan kita bukan kerana Allah, tetapi kerana manusia disekeliling. Tanpa kita sedari, kemungkinan kita telah melakukan kebaikan supaya manusia tidak melihat kita sebagai jahat tetapi sebagai seorang yang menjaga agama. Sabda nabi saw;
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ؟ قَالَ: ” الرِّيَاءُ
Maksudnya : “Sesungguhnya perkara yang paling aku takut sekali berlaku keatass kamu ialah syirik kecil.” Para sahabat bertanya ; “ya Rasulullah, apakah maksud syirik kecil?”jawab baginda ; “riya” [ Riwayat at-Tabrani, dalam Mu’jam al-Kabir ; 4301 ].
Riya’ bermaksud, kita melakukan sesuatu amalan kebaikan untuk memperlihatkannya kepada selain Allah, menunjuk-nunjuk amalan kebaikan kepada manusia, atau paling tidak pun, untuk menutup keburukan disebalik tabir kita. Semoga Allah memelihara kita dari musibah yang besar ini..Selamatkanlah kami ya Allah..
*tulisan ini tidak lengkap.. namun semoga setelah kita berkenalan serba sedikit dengan dosa disebalik tabir ini, dapatlah kita bermuhasabah, berusaha dari terjebak dan berusaha untuk berjuang melawan nafsu.. kerana kadang-kadang, atau mungkin faktor utamanya berlaku dosa disebalik tabir ini ialah, bukannya kita ingin melanggar larangan Allah, tetapi kerana mengikut nafsu yang membuak. Kita sedar apa yang kita lakukan itu adalah larangan, tetapi desakan nafsu yang ditunggang syaitan sangat kuat menggoda..maka kita tewas.
Akan datang, InsyaAllah saya ingin menulis tentang taubat, dan langkah-langkah yang mungkin dapat membantu kita meloloskan diri dari terjebak dalam kejahatan ini..
slm biq,,nice writing,,:)..tp msh lg ada mngekalkan stail@ jati diri sabiq yg kukenal dlu semasa kita brukhuwwah di dq..,,iaitu,,sdkt lantang dan jahar dlm memberi misal…hehe..teruskan menulis,,mantop..:)
wslm…tq..ni blog baru..kalau baca blog lama, mesti kau fikir yang dalam hati ada taman…hehe