Janin hasil hubungan zina.
Sebenarnya, para fuqaha tidak pun membezakan hukum menggugurkan kandungan, samada hasil dari hubungan yang sah (nikah ) ataupun tidak iaitu zina.
1- Harus digugurkan
Pendapat yag mengatakan keharusan menggugurkan kandungan yang terhasil dari perbuatan zina, sama seperti keharusan yang dinyatakan bagi kandungan yang terhasil dari hubungan yang sah. Iaitu keharusan digugurkan kandungan sebelum roh ditiupkan kepada janin dengan syarat-syarat yang telah saya nyatakan pada tulisan yang lepas, adapun selepas 120 hari, dimana roh telah ditiupkan kepada janin, maka telahpun saya nyatakan kesepakatan ulama mengharamkan pengguguran dijalankan melainkan pada keadaan yang benar-benar mendesak.
Sandaran pendapat yang menyatakan keharusan janin yang terhasil dari hubungan zina harus digugurkan adalah :
a- Terbukanya aib si ibu jika kandungan dilahirkan
b- Kemungkinan si ibu membunuh diri jika si lelaki enggan bertanggungjawab
c- Terputusnya nasab si anak, kemungkinan anak tersebut akan menjadi buah mulut masyarakat.
2- Haram digugurkan.
Sebagaimana yang telah saya nyatakan diatas, para ulama tidak membezakan hukum menggugurkan kandungan, samada terhasil dari hubungan yang sah ataupun tidak, maka kandungan haram digugurkan, ditambah dengan beberapa lagi sandaran seperti berikut :
1- Si anak tidak menanggung dosa yang dilakukan oleh pasangan yang berzina, maka kenapa si anak mesti digugurkan? Kerana untuk menutup malu, anak digugurkan? Firman Allah :
ولا تزر وازرة وزر أخرى
Maksudnya : dan seseorang tidak menanggung beban dosa orang lain [ al-An’am 164 ]
2- Kisah al-Ghamidiah, kisah seorang wanita yang datang kepada Rasulullah, mengaku yang beliau telah berzina dan hamil hasil dari hubungan tersebut. Beliau meminta supaya rasulullah saw menghukumnya dengan hukuman rejam, Rasulullah menyuruh beliau balik, lahirkan dahulu bayi tersebut. Setelah wanita itu bersalin, beliau datang lagi dengan bayinya kepada baginda saw, untuk dijalankan hukuman hudud keatasnya, Rasulullah menyuruh wanita itu pulang dan menyusukan bayi tersebut sehingga bayi itu putus dari penyusuan. Maka wanita itu pulang lagi dan menyusukan anaknya, setelah dia memutuskan penyusuan keatas anaknya itu, dan anaknya itu telah pun memakan makanan lain, beliau datang lagi kepada Rasulullah untuk dijalankan hudud keatasnya, setelah itu, Rasulullah menyerahkan bayi itu kepada seorang lelaki dari kalangan muslimin, kemudian Rasulullah memerintahkan agar ditanam wanita itu sehingga paras dada, kemudian direjam. [lihat hadis riwayat Muslim no : 3208 ].
Hadis ini menunjukkan bahawa baginda saw menangguhkan hukuman hudud keatas wanita tersebut, demi menjaga nyawa janin yang dikandung, hal ini memberi petunjuk kepada kita tentang kewajiban memelihara nyawa janin.
3- Jika pengguguran diharuskan kepada penzina, maka mereka akan lebih berani untuk melakukan zina dimasa akan datang, kerana apa yang hendak ditakutkan, jika ‘melekat’, gugurkan sahaja, maka pengharaman menggugurkan kandungan hasil zina adalah untuk menutup lubang daripada kemungkaran berleluasa.
Kesimpulannya, jika pengguguran janin hasil dari hubungan yang sah juga sangat ketat, bahkan senang cerita, haram melainkan sebab-sebab yang tertentu yang sangat darurat sebagaimana telah dinyatakan sebelum ini, maka apatah lagi bagi si penzina, haram menggugurkan kandungan!
Hampir tiada alasan lain bagi si penzina dari menggugurkan kandungan melainkan demi menutup malu dan menjaga maruah, habis nyawa anak digadaikan demi menanggung dosa ‘ibu dan ayah’ mereka.
Assalamualaikum, abang… cuba ulas sikit pengguguran bayi sebab dirogol…
waalaikumussalam…hehe..berjaya juga cari blog baru abg ea..